Teringat pada satu ketika dahulu, penulis pernah menonton cerita animasi berkisarkan tentang masakan dan chef muda yang merupakan watak utama dalam cerita animasi tersebut mula menjelajah di seluruh daerah di China dan menunjukan bakat masakannya dalam memasak pelbagai jenis makanan mengikut daerah yang terdapat di China!
Salah satu daerah yang penulis masih ingat sehingga ke hari ini adalah daerah Szechuan, kerana chef yang dalam cerita animasi tersebut menghasilkan pelbagai jenis menu masakan dari Szechuan yang menggiurkan!
Dek terpengaruh dengan cerita animasi tersebut, penulis ingin berkongsi serba sedikit tentang masakan dari wilayah Szechuan ini dan beberapa menu masakan Szechuan yang boleh kamu cuba masak di rumah nanti.
Sejarah Daerah Szechuan
Pada era tiga kerajaan, Szechuan atau Sichuan berada di kerajaan Shu yang terletak di kawasan barat daya China. Orang-orang di daerah Szechuan pada ketika itu cukup menggemari makanan manis sehingga tibanya dinasti Jin, mereka mula menambah halia, bawang, daun bawang dan biji sawi dalam masakan yang menghasilkan makanan pedas.
Sekitar 200 atau tiga ratus tahun yang lalu, cili di bawa ke China dan masyarakat mereka mula menggunakan cili ke dalam masakan harian dan di rekodkan pengunaan cili adalah sangat popular di kalangan rakyat.
Dengan penggunaan cili dalam makanan, masakan Szechuan mula berkembang dengan keunikan karakteristik dalam masakannya iaitu pedas dan mati rasa atau kebas. Kedua-dua aspek ini menjadi kunci dalam masakan di daerah Szechuan.
Di tambah pula dengan penghasilan tanaman cili dan juga lada, ia menjadi sumber utama dalam masakan rakyat Szechuan. Dan kini terdapat lebih dari 100 jenis rasa dan makanan dalam masakan Szechuan!
Menu Masakan Szechuan Pedas & Sedap!
Bagi pencinta makanan pedas, penulis cadangan kepada kamu untuk cuba memasak masakan dari daerah Szechuan ini. Rasa pedas yang menyengat boleh menyebabkan air mata mengalir dan lidah pula menjadi kelu kebas apabila memakan masakan pedas ini!
Nah berikut merupakan beberapa masakan Szechuan yang penulis pilih dan mudah untuk di masak di rumah! Dan yang paling penting bahan-bahan untuk memasak masakan Szechuan ini mudah di cari dan tidak sukar, semestinya menepati citarasa rakyat Malaysia. Apa yang penting berani untuk mencuba dan belajar pelbagai jenis masakan.
Minyak Cili Szechuan
Minyak cili ini sememangnya sangat popular dalam mana-mana masakan di China dan penggunaan minyak cili dalam masakan akan memberikan rasa pedas yang membara dengan bau yang aromatik menusuk deria.
Penggunaan minyak cili ini boleh di letakkan dalam masakan bersup, bergoreng atau sebagai pencicah makanan.
Bahan-bahan
- 100g cili kering (yang di potong kecil)
- 1 sudu makan lada Szechuan
- 1 sudu makan bijan putih
- 2 cawan minyak masak
- 2 batang daun bawang
- Halia sebesar ibu jari
- 2 biji bunga lawang
- 2 helai dau bay
- 1 biji kayu manis
Cara-cara
- Potong cili kering, jika kamu nak kurangkan rasa pedas buang biji cili untuk kurangkan kepedasan
- Goreng cili dengan api yang perlahan sehingga cili bertukar menjadi merah gelap
- Toskan cili tersebut dan masukan dalam batu lesung dan hancurkan cili tersebut sehingga kasar
- Masukan cili yang telah di tumbuk kasar dalam mangkuk dan tambah lada serta bijan putih ke dalam mangkuk
- Masukan minyak, daun bawang, halia, bunga lawang, daun bay dan kayu manis ke dalam kuali dan menggunakan api yang perlahan. Masak sehingga menjadi keemasan atau coklat
- Selepas masak sehingga bau aroma naik, keluarkan bahan-bahan tersebut.
- Masukan 1/2 cawan minyak panas tersebut ke dalam mangkuk cili dan gaul rata. Kemudian masukkan lebihan minyak ke dalam cili flakes tersebut sehingga ia menjadi asap.
- Setelah minyak cili di gaul sebati, masukan dalam balang dan tunggu sehingga 1-2 hari sehingga minyak cili menjadi warna merah.
Chongqing Mala Chicken
Chongqing Mala Chicken ini merupakan makanan popular di Szechuan dek kerana kepedasan yang lebih tinggi daripada Kung Pao Chicken! Lagi pula nak masak Chongqing Mala Chicken ini mudah saja cuma renyah sikitlah nak menyediakan bahan-bahannya tu.
Bahan-bahan
- 4 ketul paha ayam
- Minyak masak
- 1 cawan setengah untuk cili
- 1 cawan setengah untuk peppercorn Szechuan
- 1 batang halia yang di hiris
- 2 biji bunga cengkih
- 2 batang daun bawang dan di potong kecil-kecil serta di asingkan bahagian putih dan hijau
- 1 sudu makan gula
- 1 sudu makan bijan putih
- Garam
Bahan-bahan untuk perapan ayam
- 1 sudu makan sos soya
- 1 sudu makan jus buah apple atau jus buah anggur hijau
- 1/2 sudu teh serbuk lada putih
- 2 sudu teh tepung jagung
- Sedikit garam
Cara-cara
- Potong cili kering yang di buang biji kemudian rendam dalam air selama 15 minit.
- Potong ayam menjadi ketulan kecil dan buang tulang. Masukan ayam yang telah di basuh bersih dan masukan bahan-bahan perapan ke dalam mangkuk berisi ayam tersebut. Perap ayam selama 10 minit.
- Panaskan minyak sehingga naik buih dan masukan goreng ayam sehingga menjadi kekuningan.
- Bersihkan kuali, masukan setengah sudu minyak dan mula menggoreng cili selama 1-2 minit dengan api yang perlahan, masak sehingga cili bertukar merah gelap. Kemudia masukan peppercorn Szechuan dan teruskan menggoreng selama 1 minit.
- Ketepikan cili-cili tersebut dan tambah lagi setengah sudu minyak dan masukan halia, daun bawang (bahagian warna putih) dan bawang putih. Goreng sehingga naik bau.
- Kemudian masukan ayam, bijan putih, gula, garam dan daun bawang hijau dan kacau rata dan boleh di hidang.
Mapo Tofu
Sebut sahaja mapo tofu, pasti terbayang bentuk dan tekstur tofu putih yang lembut itu. Mapo tofu merupakan di antara 10 menu paling terkenal dalam masakan tradisional China. Dan nak masak mapo tofu ini cukup mudah dan pasti kamu tak akan berhenti untuk makan bila dah siap masak nanti!
Bahan-bahan
- 450g tofu
- 100g daging cincang
- 1/2 sudu makan minyak bijan
- 1 dan 1/2 sudu makan pes kacang
- 1/2 sudu makan kacang hitam atau kacang soya yang di cincang
- 1 sudu serbuk cili atau cili kisar kasar
- 1/2 sudu teh garam
- 1/2 sudu makan serbuk cili Szechuan
- 1 sudu makan sos soya
- 400ml air
- 2 sudu makan minyak masak
- 2 batang daun bawang bahagian putih di hiris
- 4 batang daun bawang bahagian hijau di hiris
- 2 biji bunga cengkih
- 5 hiris halia
- 1 sudu teh gula
- 1 sudu makan tepung jagung
Cara-cara
- Daging cincang di gaulkan bersama secubit garam dan minyak bijan. Kacau rata dan biarkan seketika.
- Masukkan 2 cawan setengah air dan 1 sudu makan tepung jagung untuk buat air tepung jagung.
- Potong tofu 2cm kemudian didihkan air, masukan secubit garam dan masukan tofu ke dalam air mendidih tersebut selama 1 minit. Toskan dan buang air didihan.
- Panaskan kuali dan masukan 2 sudu makan minyak, goreng daging cincang sehingga garing.
- Goreng pes kacang selama 1 minit dengan api perlahan dan kemudian masukan bawnag putih, daun bawang putih, halia dan kacang hitam/soya yang di cincang ke dalam kuali. Masak selama 30 saat sehingga bau naik. Kemudian masukan serbuk cili ke dalam.
- Masukan air dan garam, masak menggunakan api yang tinggi. Masukkan tofu perlahan-lahan dan tambah sos soya dan daging cincang. Masak dengan api yang berlahan setelah masakan mendidih. Biarkan seketika sehingga 6-8 minit dan masukan daun bawang hijau.
- Masukan separuh air tepung jagung dalam masakan dan gaul rata perlahan-lahan. Tunggu sehingga 30 saat dan masukan lagi separuh air jagung dan kacau rata. Rasa tofu dan tambah garam jika kurang rasa. Jika terlalu pedas, boleh tambah gula untuk kurangkan pedas.
- Hidangkan mapo tofu dalam pinggan dan taburkan serbuk cili dan daun bawang di atas.
Apa lagi, jom cuba masak masakan daerah Szechuan di rumah. Bagi yang gila pedas, menu resepi yang penulis kongsikan pasti berguna untuk kamu yang suka pedas!