Ulat buku tiada apa yang boleh menarik minat diri kamu selain mencari port atau lokasi yang boleh kamu luangkan masa bersama koleksi buku tercinta! Tapi bayangkan ada port yang lebih bagus dan terbaik yang boleh kamu lawati dengan dekorasi dalaman gedung buku yang unik dan cantik di Malaysia.
Jom jelajah bersama Wanista ke port-port toko buku unik ini dan alami sendiri pengalaman membaca buku sambil menikmati dekorasi dalaman gedung buku bersama rakan-rakan, keluarga atau secara solo!
#1 BookXcess
Kedai buku BookXcess ini akan membuat pencinta buku kagum melihat dekorasi unik di dalamnya. Terowong buku yang tersergam indah di bahagian pintu masuk kedai ini memberi rasa yang berbeza. Masuk sahaja di dalam BookXcess ini, kamu akan melihat betapa tinggi dan besarnya terowong buku ini.
Bukan itu sahaja, kamu juga dapat menghabiskan masa membaca buku kegemaran sambil menghirup kopi yang di bru segar dan menikmati aneka juadah ringan di dalam kedai buku unik ini. Jadi ulat buku sekalian, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke BookXcess ini.
Gedung buku: BookXcess Sunsuria
Alamat: Sunsuria Forum @ 7th Avenue, Seksyen U13, Setia Dagang AL U13/AL, Setia Alam, 40170 Shah Alam, Selangor
Waktu operasi: Isnin – Ahad (10.00 Pagi – 10.00 Malam)
#2 L45 Kurau Community Library
Siapa sangka di kawasan kejiranan di Bangsar ini memiliki perpustakaan yang unik dan gempak! L45 Kurau Community Library ini memberi ruang kepada para pelajar dan pengunjung menghabiskan masa yang berkualiti di gedung ilmu ini.
Menariknya, menurut Malay Mail bangunan perpustakaan ini merupakan sebuah rumah yang di beli dan kemudiannya dibangunkan menjadi sebuah perpustakaan oleh pemilik misteri yang tidak di ketahui namanya sehingga kini.
Gedung buku: L45 Kurau Community Library
Alamat: 45, Lorong Kurau, Bangsar, 59100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu operasi: Khamis – Sabtu (3.00 Petang – 6.00 Petang)
#3 Little Giraffe Book Club
Little Giraffe Book Club ini merupakan perpustakaan milik peribadi sebuah keluarga yang terletak di Cheras. Perpustakaan ini dibangunkan untuk menanam habit membaca secara sihat dan menggalakan ibubapa dan anak-anak menghabiskan masa berkualiti bersama-sama.
Perpustakaan peribadi ini memberikan suasana keluarga di samping ditemani dengan pelbagai koleksi buku-buku bahasa Malaysia, Chinese dan Inggeris. Malah sebulan sekali terdapat sketsa penceritaan yang menarik dilakukan oleh tukang cerita berpengalaman.
Gedung buku: Little Giraffe Book Club
Alamat: 114, Jalan 15, Batu 11 Cheras, 43200 Batu 9 Cheras, Selangor
Waktu Operasi: Rabu – Sabtu (12 Tengah hari – 10 Malam), Ahad (12 Tengah hari – 7 Petang)
#4 Japan Foundation Kuala Lumpur
Kamu minat komik dan novel daripada Jepun dan mahu merasai suasana seperti berada di Jepun? Nah, terus kunjungi Japan Foundation Kuala Lumpur di mana tempat ini merupakan pusat pertukaran budaya diantara Jepun dan Malaysia. Suasana perpustakaan Jepun dengan tatami dan dekorasi Jepun memberi pengalaman segar buat kaki buku.
Perpustakaan yang terletak di tingkat 18 di bangunan Northpoint, Mid Valley ini menawarkan koleksi buku seperti majalah, novel, dan komik dalam bahasa Inggeris dan Jepun!
Gedung buku: Japan Foundation Kuala Lumpur
Alamat: Tingkat 18, Blok B, Northpoint, Mid Valley City, No. 1 Medan Syed Putra, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Selasa – Jumaat (10.30 Pagi – 6.30 Petang), Sabtu (10.00 Pagi – 6.00 Petang)
#5 Penang Digital Library
Penang Digital Library ini sangat berlainan dengan perpustakaan yang lain di Malaysia. Ini kerana koleksi buku-buku dan bahan bacaan adalah dalam bentuk digital sesuai dengan nama perpustakaan ini Digital Library!
Lebih 3,000 buku, majalah dan bahan bacaan dalam bentuk digital. Jadi jangan berasa pelik jika kamu berkunjung ke sana dan melihat rak-rak buku semuanya kosong! Kawasan perpustakaan yang lapang dan luas memberikan kepuasan buat kaki buku menghabiskan masa di situ.
Gedung buku: Penang Digital Library
Alamat: No. 135 Jalan Masjid Negeri, Georgetown, Penang
Waktu operasi: Buka 24 jam
#6 Rumah Attap Library & Collective
Rumah Attap library & Collective ini sangat popular di kalangan anak-anak muda yang menghabiskan masa berdiskusi di situ. Suasana di dalam rumah menjadikan ia destinasi ulat buku menghabiskan masa di situ.
Perpustakaan Rumah Attap ini telah lama dibangunkan, perpustakaan ini menjadi ruang untuk melakukan perbincangan, bengkel dan juga forum. Bagi yang inginkan port diskusi berkumpulan, kamu boleh berkunjung ke perpustakaan di Rumah Attap ini.
Gedung buku: Rumah Attap Library & Collective
Alamat: 84c, Jalan Rotan, Off Jalan Kampung Attap, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Sabtu – Ahad (11.00 Pagi – 7 Petang)
#7 Hedley Books Cafe
Toko buku yang berkonsepkan cerita Harry Potter! Perpustakaan dengan dekorasi serta jubah Harry Potter ini menarik ramai pengunjung ke kafe ini. Pelbagai koleksi buku-buku novel di pamerkan di dalam perpustakaan mini ini.
Dahulu kafe buku ini terletak di Kota Bharu, Kelantan dan kini telah di tutup dan beralih ke Kuala Lumpur untuk membuka kafe baharu. Hedley Books Cafe bakal di buka di Taman Melawati. Nantikan kafe berkonsepkan Harry Potter ini tidak lama lagi!
Gedung buku: Hedley Books Cafe
Alamat: Taman Melawati, Kuala Lumpur
Waktu operasi: Tiada buat masa ini
Sosial media: Instagram
Jadi jangan lepaskan peluang untuk melawati gedung-gedung buku yang unik dengan dekorasi menarik ini di Malaysia okay!