Untuk rekaan musim bunga dan musim panas pada tahun depan, Atelier Swarovski menampilkan enam koleksi rekaan barang kemas yang cukup memukau pandangan mata.
Ke semua koleksi barang kemas yang di hasilkan menjadikan alam semula jadi sebagai inspirasi dalam menghasilkan aksesori yang menakjubkan ini.
Pastinya para wanita tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan koleksi barang kemas yang memukau pandangan mata ni.
Koleksi Botanical Jewels Oleh Penelope Cruz
Aktres dan duta Atelier Swarovski ini menghasilkan koleksi Botanical Jewels untuk koleksi barang kemas tahun hadapan. Penelope Cruz mendapat ilham menghasilkan rekaan barang kemasnya menerusi inspirasi daripada alam semula jadi, lalu terhasillah rekaan yang bermotifkan bunga-bungaan.
Koleksi barang kemas yang bermotifkan rekaan flora ini, pasti dapat menambat jiwa wanita yang mencintai alam flora dan sesuai di gayakan untuk musim bunga pada tahun hadapan.
Koleksi Botanical Jewels yang di reka oleh Penelope Cruz ini tampil beberapa rekaan untuk gelang tangan, cincin, subang dan juga rantai.
Penggunaan batu-batu permata serta corak rekaan yang sepadan memukau dan menggoda jiwa wanita. Dengan rekaan yang eksklusif dan elegan ini, akan membuatkan wanita jatuh cinta dengan rupa bentuk barang kemas mewah dari Atelier Swarovski ini.
Koleksi Beautiful Earth Oleh Susan Rockefeller
Susan Rockefeller yang merupakan seorang pembuat filem dan penyokong pemuliharaan telah mereka koleksi barang kemas dengan mengambil ilham daripada panda dan buluh yang berwarna hijau.
Rekaan barang kemas yang di hasilkan oleh Susan Rockefeller ini menampilkan cincin, gelang tangan, rantai, subang dan tas tangan.
Barang kemas yang di hasil dengan motif bulu dan panda ini sangat elegan dan bercirikan alam semula jadi. Aksesori elegan ini menggunakan batu permata warna hijau zamrud menguatkan aura alam semula jadi kepada si pemakai.
Koleksi Sea Life Oleh Catherine Prevost
Pereka pakaian wanita dan barang kemas Catherine Prevost menampilkan koleksi barang kemas Sea Life yang mana semua rekaannya berinspirasikan haiwan-haiwan laut seperti penyu, ikan Parrot dan Union Island Gecko.
Catherine menampilkan rekaan barang kemas seperti subang, cincin, choker, gelang tangan, kerongsang dan tas tangan.
Koleksi barang kemas ini menggunakan warna-warna alam seperti warna biru laut, ungu dan hijau ini mengetengahkan motif hidupan laut yang sangat comel!
Koleksi Tigris
Koleksi Tigris menampilkan inspirasi daripada Tree of Life, dengan rekaan barang kemas yang berbentuk seperti akar pokok yang berselirat menonjolkan kekuatan dan hubungan antara bumi.
Koleksi Tigris menampilkan rekaan barang kemas seperti cincin, gelang tangan, buah rantai, rantai dan cincin double.
Koleksi Gilded Treasures
Rekaan barang kemas untuk koleksi Gilded Treasures ini menampilkan rekaan seni Jepun purba Kintsugi yang merupakan teknik mencantum ceramik bersama emas. Kini teknik ini di bawa dengan menghasilkan rekaan barang kemas yang memukau mata!
Antara koleksi yang terdapat dalam Gilded Treasures ini adalah cincin, subang, buah rantai, gelang tangan, pin, cincin untuk selendang dan clutch.
Koleksi Surreal Dream
Manakala bagi koleksi Surreal Dream pula menampilkan rekaan barang kemas dengan sumber inspirasi dari tahun revolusi 1920 an. Motif-motif surrealisme ini cukup provokatif dan menarik perhatian mata.
Koleksi Surreal Dream menampilkan pilihan barang kemas seperti subang, buah rantai, dan choker. Rekaan barang kemas yang sangat artistik dan ikonik, sesuai untuk di gayakan pada musim bunga dan panas tahun depan.
Ke semua koleksi Atelier Swarovski musim bunga dan panas tahun 2020 ini akan mula berada di pasaran tempatan bermula pada bulan Januari 2020 ini nanti. Bagi yang ingin mendapatkan koleksi barang kemas dari Atelier Swarovski ini, anda boleh berkunjung ke Swarovski Pavilion Kuala Lumpur.