Wajahnya masih kelihatan ayu, tatkala bibirnya mengukir sebuah senyuman terpancar aura ayu dan manis diri. Itulah gambaran apabila melihat wajah artis veteran Fauziah Latiff atau lebih dikenali sebagai kak Gee. Meski usianya hampir mencecah 50 an, tetapi rupa parasnya masih tetap sama seperti di zaman muda remaja.
Penyanyi A-list Malaysia ini masih tetap kelihatan cantik jelita, pasti ramai yang masih mengingati lagu-lagu popular Fauziah Latiff yang masih lagi mendapat tempat di hati rakyat Malaysia seperti lagu berjudul ‘Dia’, ‘Tua Mengejar Kita’, ‘Teratai Layu Di Tasik Madu’ dan banyak lagi lagu-lagu popular dendangan Fauziah Latiff yang hit sehingga ke hari ini.
Seperti mana lagu-lagunya yang masih hits dan menjadi pilihan orang ramai tatkala singgah ke pusat karaoke, begitu jugalah kejelitaan dirinya yang masih top seperti zaman anak dara.
Pasti ramai yang ingin mengetahui apakah rahsia artis veteran ini mengekalkan kejelitaan wajah dan menjaga bentuk tubuh seperti anak dara. Ikuti tips rahsia awet muda Fauziah Latiff di bawah!
Fauziah Latiff mengamalkan beberapa tips untuk mengekalkan kecantikan diri dan dalam masa yang sama mengekalkan kesihatan. Almaklum, Fauziah Latiff sendiri telah berkecimpung dalam industri seni sejak usianya 15 tahun, pelbagai pengalaman serta ilmu telah di kumpul lalu digunakan untuk mengekalkan kecantikan dan kesihatan diri.
Guna Produk Yang Bersesuaian
Menurut Fauziah Latiff, penggunaan produk yang betul dan sesuai untuk kulit adalah sangat penting. Dengan memilih produk yang betul ia akan meningkatkan keupayaan kulit dan membuatkan wajah lebih cantik berseri.
Rajin Buat Rutin Penjagaan Wajah
Jangan sesekali ambil ringan tentang isu rutin penjagaan wajah, dengan rajin melakukan rutin penjagaan wajah, barulah muka tak di mamah usia. Seperti Fauziah Latiff, dirinya akan melakukan rutin penjagaan wajah seminggu sekali dengan memakai penyegar, serum dan krim mata.
Selain itu, dirinya juga turut mencuci, memakai pelembap dan melakukan urutan wajah. Kena rajin kalau nak cantik!
Guna Bahan Semula Jadi
Biasanya kalau kulit berdaki atau berkerak pasti kita akan menggunakan produk-produk yang berasaskan bahan-bahan kimia dari jenama sekian-sekian untuk menanggalkan sel-sel kulit berdaki dan berkerak tersebut bukan.
Tiru cara kak Gee kita, cukup hanya menggunakan bahan-bahan semula jadi dan mudah didapati dalam rumah seperti kopi, beras, kunyit dan sebagainya untuk menghasilkan pes bagi menanggalkan proses pengelupasan kulit.
Jaga Pemakanan, Kekalkan Kesihatan
Menjaga pemakanan dan berdiet bukan untuk kurus sebaliknya untuk mengekalkan kesihatan diri. Gaya pemakanan yang sihat dan betul akan dapat menjamin kesihatan diri dan kak Gee juga mengamalkan pemakanan suplemen.
Berzumba
Selain menjaga pemakanan, kak Gee juga melakukan senaman zumba bagi mengekalkan kesihatan diri dan dalam masa yang sama dapat kekalkan bentuk badan yang ideal. Jadi bagi yang malas nak bersenam bolehlah ikuti senaman zumba yang sudah tentunya lebih menyeronokan di samping dapat menjaga kesihatan diri.
Selain itu, aktiviti seperti berenang juga sangat bagus untuk mengekalkan kesihatan fizikal. Patutlah kak Gee nampak segar belia, rupanya ini yang dilakukannya.
Nasihat Khas Untuk Anak Muda – Kak Gee
Nah ini adalah nasihat yang sangat bagus dan berguna untuk anak muda yang dikongsikan oleh kak Gee kita. Dari aspek pemakaian mekap, golongan muda tidak perlu menggunakan produk-produk mekap yang terlalu banyak sehingga menjejaskan kulit.
Di usia muda, kulit pada waktu itu sangat anjal dan bebas dari bahan-bahan kimia jadi jangan spoil keremajaan kulit yang semula jadi dengan memakai mekap-mekap yang terlalu sarat.
Kata kak Gee bekerja dalam industri seni berjam-jam lamanya di set dengan mekap akan membuatkan kulit menjadi tua dari usia sebenar.
Oleh itu, dengan membebaskan kulit dari sebarang produk-produk mekap akan membuatkan kulit lebih mudah bernafas.
Projek Terbaru Fauziah Latiff
Pennyanyi dan pelakon veteran Fauziah Latiff, mendapat penghormatan terbesar dalam perjalanan karier seninya dengan membawa watak Tun Dr Siti Hasmah dalam filem Mahathir: The Journey arahan Profesor Mohamad Hatta Azad Khan.
Filem ini akan menjadi buah tangan yang istimewa dalam perjalanan seni Fauziah Latiff sebagai artis veteran Malaysia. Malah dirinya sendiri berasakan ia menggalas tanggungjawab besar dalam melakonkan watak utama sebagai isteri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Selain Fauziah Latiff, antara yang menerajui filem tersebut adalah:
- Azhar Amir sebagai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
- Hilal Azman sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim
- Dian P.Ramlee sebagai Datuk Seri Wan Azizah
- Lisdawati sebagai Nurul Izzah
- Ning Baizura sebagai Datin Paduka Marina Mahathir
- Dazrin Kamarudin sebagai Syed Saddiq
- Afieq Hussain sebagai Datuk Seri Mukhriz Mahathir
- Muhamad Harminder Singh sebagai Gobind Singh Deo
Sama-sama kita nantikan lakonan Fauziah Latiff dalam filem Mahathir : The Journey akan datang. Dan bagi yang ingin kekal kelihatan muda belia, ikut cara Fauziah Latiff untuk sentiasa tampak muda dan juga sihat!