Pernah alami tekak bengkak?
Rasa perit ketika menelan makanan menyebabkan diri terasa tidak selesa. Sakit tekak boleh dikatakan berpunca dari jangkitan virus yang tidak serius dan boleh pulih dengan sendirinya.
Berikut merupakan cara tradisional yang diakui keberkesanan dalam merawat bengkak di tekak.
Madu
Madu berpotensi bertindak sebagai pemulih luka yang berkesan. Hasil kajian mendedahkan, madu lebih berkesan dalam merawat tengkak bengkak berbanding ubat batuk (dextromethorphan). Ia juga mengurangkan kekerapan batuk pesakit.
Air garam
Tujuan utama berkumur air garam adalah untuk membunuh bakteria yang telah menjangkiti tekak. Ia berkesan dalam melegakan tekak bengkak dan dalam masa yang sama melancarkan aliran lendiran di dalam tekak.
Teh Kamomil (Chamomile tea)
Kamomil merupakan salah satu herba tertua di dalam dunia perubatan tradisional. Ia sering digunakan bagi mengubati penyakit seperti keradangan, spasme otot, masalah berkaitan haid, insomnia, ulser dan masalah gastrousus.
Pada tahun 2011, kamomil (terutamanya the kamomil ataupun wap kamomil) dibuktikan mampu merawat sakit selesema, termasuklah tekak bengkak. Herba ini juga dapat membantu memperkuatkan sistem imuniti badan bagi melawan jangkitan mikroorganisma.
Pudina
Jika anda suka mengunyah gula-gula getah, anda pasti tahu makanan tersebut mengandungi peppermint, kan? Ia diperbuat daripada mentol yang memberi rasa kesejukan dalam mulut.
Mentol mempunyai keupayaan untuk mencairkan kahak dan melegakan sakit tekak. Ia bertindak sebagai agen antiradang, antibakteria dan antiviral; memberikan ruang kepada tekak untuk beransur pulih dengan kadar yang segera.
Halba
Halba mempunyai sifat antiradang dan boleh digunakan untuk merawat penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria serta kulat.
Kajian yang dijalankan pada tahun 2018 mendapati halba mengandungi bahan bioaktif yang berpotensi untuk merawat penyakit kencing manis, masalah kesuburan, kolesterol tinggi dan jangkitan mikroorganisma.
Cuka epal
Banyak kajian telah membuktikan keberkesanan cuka epal untuk melawan jangkitan bakteria. Ini sedikit sebanyak disebabkan oleh sifat bahan tersebut yang berasid. Ia mampu untuk mencairkan kahak dan menghalang bakteria daripada terus membiak.
Bawang putih
Baunya mungkin tidak menyenangkan, namun khasiatnya dapat melindungi badan dari jangkitan bakteria. Bau busuk bawang putih datang dari satu kompaun yang dipanggil sebagai organosulfur. Ia mempunyai sifat antibakteria semula jadi menjadikan ia satu agen yang sangat bernilai dalam menghindarkan diri daripada jangkitan bakteria.
Kajian membuktikan penggunaan suplemen yang ada ekstrak bawang putih dapat melindungi diri daripada penyakit selesema.
Semoga tips ini bermanfaat kepada semua.
Selamat Beramal!