Sejak kematian suami tercinta Ashraf Sinclair, penghibur cantik Bunga Citra Lestari teruk dikritik.
Bayangkan dari saat suaminya dikebumikan sehinggalah dia aktif bekerja, netizen lantang menyuarakan ketidakpuasan hati – kata BCL tidak mengenakan selendang dengan betul, tidak mengikut garis panduan iddah, selamba bekerja sedangkan masih lagi dalam tempoh iddah, berpakaian mencolok mata serta bermacam lagi yang tidak kena di mata netizen.
https://www.youtube.com/watch?v=l088Q5CWzc4&feature=emb_title
Dengan berlakunya peredaran masa dan zaman, wanita Islam yang berada dalam tempoh iddah sering berhadapan dengan pelbagai persoalan yang memerlukan penjelasan terperinci khususnya dalam hal yang melibatkan batas hukum dan adab bagi seorang wanita beriddah atau berkabung.
Lagi pula, dengan tuntutan kerjaya, kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi hari ini, ia turut memberi impak dan cabaran terhadap cara dan gaya hidup masyarakat.
Perkataan ‘iddah’ adalah sinonim dengan penceraian, sama ada cerai hidup atau cerai mati. Iddah hanya dikenakan kepada golongan wanita sahaja bagi tujuan memuliakan wanita Islam itu sendiri. Setiap bahagian iddah mempunyai pengiraan tersendiri yang akan menentukan tempoh iddah seseorang wanita, jadi bagaimana batasan dalam tempoh iddah kematian suami?
Batasan Hukum Semasa Dalam Iddah Kematian Suami
1. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
2. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Perkahwinan dalam tempoh tersebut adalah tidak sah.
3. Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had yang diperlukan sahaja.
Antara keperluan penting yang dibolehkan adalah untuk bekerja, mendapatkan rawatan, membeli barangan asasi (sekiranya tidak orang lain yang boleh melakukannya) dan keperluan mendesak lain, dengan syarat menjaga peraturan yang disyariatkan Islam. Waktu untuk keluar pula adalah pada siang hari, kecuali terpaksa.
4. Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya sepanjang tempoh perkahwinan, kecuali terdapat bahaya dan mudarat seperti kebakaran dan tanah runtuh.
5. Wajib berkabung sepanjang tempoh iddah, iaitu wajib meninggalkan semua perkara yang berhias, seperti:
- Berpakaian terang atau berwarna-warni dan menarik perhatian
- Mengenakan barangan kemas (walau sebentuk cincin, rantai, gelang dan perhiasan yang diperbuat daripada emas, perak dan permata)
- Memakai wangian pada badan, rambut dan pakaian.
- Bersolek (memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut) serta perbuatan berhias lain pada pandangan masyarakat terdekat.
Diingatkan perintah berkabung ini hanya dikhususkan kepada suruhan meninggalkan hiasan pada tubuh badan dan pakaian sahaja, tidak termasuk tempat tinggal, bilik tidur dan sebagainya. Ini juga tidak bermakna berkabung dengan mengabaikan kebersihan dan kesihatan diri serta ahli keluarga.
“Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan tempoh iddah tidak bermakna wanita itu dikurung di dalam rumah, tidak. Tempoh iddah bermakna tempoh di mana anda tidak boleh berkahwin sebelum tempoh iddah selesai.
Sebenarnya, wanita yang baru sahaja kehilangan suaminya tidak bermakna bahawa semasa tempoh iddah dia mesti tinggal di rumah, memakai pakaian hitam, tidak seperti itu,” ulas Ustaz Maulana bila ditanya tentang isu kontroversi BCL yang dianggap tidak menghormati tempoh iddah.
Ustaz Maulana mendedahkan, Islam tidak mahu seseorang yang bersedih untuk berdiam diri meratapi kesedihannya. Malah mengajak orang-orang yang terdekat dengan keluarga untuk terus memberi sokongan kepada Bunga yang masih berduka.
Ingat jangan nak menghukum seseorang tapi ajarlah dia perkara yang betul. Jika tidak pasti, rujuklah pada pakar, mereka lebih mengetahui. Jangan cepat nak menilai orang – lain orang lain caranya.
Kenapa nak hentam, bukankah lebih baik menyokong.