Kemelut penularan virus Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini, membuatkan rakyat gusar dan gelisah. Tambahan lagi, terdapat penyebaran berita palsu di sosial media mengenai Malaysia akan di ‘Lockdown’ pada hari ini (Isnin, 16 Mac 2020).
Tetapi berita palsu tersebut, segera di tepis oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan memohon agar rakyat tidak menyebarkan berita palsu tersebut.
Rakyat harus faham bukan mudah untuk kerajaan mengisytiharkan perintah ‘lockdown’ serta merta, dan ini yang harus kita semua faham mengenai ‘lockdown’ ini.
Apa Itu Lockdown
‘Lockdown’ atau berkurung merupakan situasi di mana rakyat tidak dibenarkan masuk atau keluar dari bangunan atau kawasan sesuka hati atas faktor kecemasan. Seperti contoh di Wuhan, di mana rakyat mereka tidak dibenarkan masuk dan keluar dari bangunan kediaman mereka sesuka hati, hatta ke pasar dan farmasi bagi mendapatkan bekalan kerana khuatir penularan virus Covid-19 semakin berleluasa.
Jika ‘Lockdown’ Berlaku, Apa Boleh Kita Lakukan?
Kini banyak negara telah mengeluarkan perintah ‘lockdown’ dan pastinya rakyat Malaysia juga terkesan sama jika kerajaan Malaysia mengeluarkan perintah yang sama. Jadi apa yang perlu rakyat lakukan jika Malaysia juga di isytihar ‘lockdown’?.
Terdapat beberapa cara dan nasihat dari pakar yang boleh kamu lakukan jika situasi ‘lockdown’ berlaku, ikutinya di bawah.
#1 Jangan Terlalu Menyendiri
Jika berlaku perintah berkurung, jangan terlalu menyendiri dan mengkuarantinkan diri kamu dari orang sekeliling kamu. Sepanjang tempoh ‘lockdown’ ini, kamu boleh menghubungi rakan dan ahli keluarga, bertanya khabar serta kesihatan mereka.
Sekurang-kurangnya dengan mengambil berat sesama sendiri tidak membuatkan diri kamu berasa sunyi dalam situasi getir sebegini.
#2 Simpan Bekal Makanan
Mula simpan bekal makanan di rumah, tetapi pastikan barang yang di beli boleh di simpan dan digunakan untuk jangka masa yang panjang. Satu lagi, elakkan membeli barang yang tidak perlu agar tidak berlaku pembaziran, dalam masa-masa getir sebegini gunakan wang dengan bijak.
#3 Cergaskan Diri Dengan Bersenam
Tertekan berkurung di rumah, kamu boleh lakukan aktiviti seperti bersenam di rumah. Dengan bersenam diri kamu pun akan berasa segar dan cergas setiap hari.
#4 Rumah Bersih, Barulah Virus Tak Ada
Dijangkiti oleh virus adalah satu yang ditakuti oleh semua orang, oleh itu penting untuk kita semua pastikan bukan saja diri bebas dari kuman. Malah di rumah juga perlu bebas kuman, dalam tempoh sebegini kamu wajib bersihkan setiap sudut rumah dengan produk pembasmi kuman sama ada yang di buat sendiri atau pun beli produk yang sedia ada di pasaran.
#5 Guna Internet Sebaik Mungkin
Sepanjang tempoh berkurung berlaku, kamu juga boleh menghabiskan masa dengan melayari internet dan mengetahui perkembangan semasa dalam dan luar negara setiap hari. Selain itu, kamu juga boleh mencari tips-tips menarik yang boleh dilakukan di rumah dan kongsikan bersama rakan dan ahli keluarga.
#6 Rancang Aktiviti Hiburan Sendiri
Siapa kata di rumah tidak boleh berhibur seperti di China, ibubapa di sana mencipta pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan bersama anak-anak mereka di rumah, sepanjang tempoh perintah berkurung berlaku. Antaranya mengadakan mini ‘fun fare’, aktiviti bermasak, pertandingan meneka gambar dan banyak lagi idea menarik yang mereka lakukan sepanjang tempoh ‘lockdown’ berjalan.
#7 Lakukan Kerja Dari Rumah
Bagi yang bekerja pula, dalam perintah berkurung kamu hendaklah menyelesaikan segala tugasan yang diberikan oleh bos di rumah. Pastikan kamu dan rakan sekerja yang lain kekal berhubung menerusi email dan ruang chat bagi menyelesaikan hal-hal kerja sepanjang tempoh ‘lockdown’ dijalankan.
#8 Jika Tertekan, Befrienders Ada Sebagai Teman
Jika kamu atau ada kenalan yang kamu kenali berasa risau dan terlalu cemas dengan perintah ‘lockdown’ yang dijalankan, apa yang boleh kamu lakukan adalah mendapatkan khidmat pakar Befrienders dan jangan menyendiri sehingga memberi kesan buruk pada diri mahupun orang sekeliling.
#9 Jaga Kebersihan Diri, Patuhi Saranan KKM
Sepanjang tempoh perintah berkurung berlaku, pastikan kamu sentiasa menjaga kebersihan diri dan kerap membasuh tangan dengan sabun, pakai hand sansitizer dan topeng penutup mulut serta minimakan sentuhan bersama orang lain.
Apa yang penting, jika negara mengisytiharkan perintah ‘lockdown’ di harap kita semua tidak panik, tanganinya dengan tenang dan ikuti arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Semoga penularan Covid-19 akan segera reda.