“Ouch, apasal tiba-tiba kena renjatan elektrik ni”
Kamu pasti pernah mengalami situasi di atas bukan? Kadang-kadang bila tersentuh sesuatu tubuh akan mengeliat terkejut dek kerana renjatan elektrik yang berlaku secara tiba-tiba. Apa yang peliknya bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku.
Adakah tubuh kita seperti magnet yang mengundang elektrik pada tubuh, bertambah haru ada segelintir individu kerap mengalami renjatan elektrik dalam masa sehari.
Pasti ada sebab musabab mengapa diri kita sering mengalami renjatan elektrik ini, berikut adalah beberapa faktor yang menyebabkan renjatan elektrik berlaku ke atas diri kita.
#1 Terdapat Sistem Elektrik Dalam Tubuh Manusia
Menurut doktor Azmi Alias, Pakar Perunding Bedah Otak dan Saraf (Neurosergeri), Hospital Kuala Lumpur (HKL), di dalam tubuh manusia memang terdapat sistem elektrik. Bahkan tubuh manusia merupakan sistem elektrik yang paling canggih dan kompleks berbanding semua perkakas elektronik di dunia.
Apa yang dimaksudkan dengan sistem elektrik di dalam tubuh manusia adalah merujuk kepada pergerakan zarah yang bercas dalam sistem saraf apabila rangsangan diberikan.
#2 Saraf Mengandungi Bahan Bercas
Untuk pengetahuan kamu semua, sistem saraf di dalam tubuh kita terbentuk daripada neuron, saraf tersebut diselaputi membran dan di dalam serta luar saraf terdapat cecair yang mengandungi bahan bercas.
Kandungan mineral, kalium dan natrium dalam tubuh membawa cas positif dan manakala klorida membawa kepada cas negatif di dalam tubuh.
#3 Tubuh Merupakan Konduktor Elektrik
Tubuh manusia merupakan konduktor elektrik dan mampu menjana tenaga elektrik namun jumlah voltan yang dihasilkan terlalu kecil. Tenaga elektrik yang terhasil disebut elektrik statik kerana ia tidak mampu mencetuskan renjatan yang besar seperti barangan elektrik.
#4 Cas Negatif
Manusia yang mengumpul banyak cas negatif lalu menyentuh objek bukan elektrik yang neutral atau positif seperti besi boleh menyebabkan berlaku renjatan elektrik kecil.
Ini merupakan fenomena biasa dan ada juga manusia yang mempunyai cas negatif terlalu banyak lalu melantunkan semula cas tersebut dengan menghasilkan renjatan elektrik apabila menyentuh manusia yang mempunyai cas dalam jumlah normal atau kurang.
#5 Tabiat Menggesek Ketika Berjalan Atau Duduk
Selain faktor berkaitan dengan tubuh badan manusia, tabiat harian juga memainkan peranan berlakunya renjatan elektrik pada diri. Seperti contoh kamu melakukan gesekan ketika berjalan atau duduk boleh menyebabkan cas negatif terkumpul.
#6 Persekitaran Yang Lembap
Persekitaran yang lembap dan sejuk juga menggalakkan berlakunya arus elektrik pada kawasan lengan. Perkara ini berlaku kerana dikawasan siku terdapat saraf ulna yang bersifat superfisial kerana saraf tersebut tidak dilindungi oleh apa-apa otot.
Cara Elak Kena Renjatan Elektrik
Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan bagi mengelak berlakunya renjatan elektrik, seperti:
- Ubah cara berjalan supaya tidak menyeret ketika berjalan.
- Elak dari menggunakan karpet.
- Elak menggunakan pakaian daripada polyester.
Banyak faktor boleh menyebabkan renjatan elektrik berlaku, sama ada ia berkait dengan faktor diri, persekitaran atau benda yang disentuh ia adalah perkara biasa. Jadi kamu tidak perlu risau atau berasa diri adalah pelik jika renjatan elektrik berlaku.