Sejak 10 tahun yang lalu lambakan produk-produk makanan tambahan atau supplement telah membanjiri pasaran tempatan seperti di toko-toko jamu, drug store, dan farmasi.
Kemudian apabila teknologi semakin canggih dan maju, mulalah ramai penjual produk-produk cuba menarik pelanggan dengan melakukan lebih banyak iklan dan promosi produk supplement di WhatsApps, Facebook, Instagram, televisyen, dan juga radio.
Tapi tahukah kita bahawa produk-produk tersebut boleh memberi mudarat kepada kesihatan diri. Untuk menjawab berkaitan produk supplement ini, doktor Rafidah Abdullah beri penerangan mengapa netizen harus berhenti membeli dan makan supplement menerusi penulisannya di laman Facebook dan Instagram.
Produk Lulus KKM Bukan Bermaksud Selamat
Bagi yang menghidapi penyakit kronik dan kemudian kamu ambil pula supplement lain kerana yakin bahawa produk tersebut mendapat kelulusan KKM.
Sebaliknya, selidik semula dengan berjumpa dengan doktor yang merawat kamu dan tunjukkan produk supplement yang kamu ambil kepada doktor, agar doktor dapat menyemak sama ada supplement yang kamu ambil itu selamat untuk diambil dan serasi dengan keadaan kesihatan diri kamu.
Kamu juga perlu bertanya kepada doktor yang merawat kamu, sama ada produk supplement yang kamu ambil tersebut memberi kesan sampingan pada kesihatan diri kamu atau tidak.
Jangan Mudah Terpedaya Dengan Iklan
Ramai yang mudah terpedaya membeli produk-produk supplement menerusi iklan dan propaganda di sosial media, dan hasilnya diri yang menanggung bahana atas kesilapan diri sendiri.
Doktor Rafidah Abdullah menegas agar jangan terpedaya dengan iklan yang bersifat ‘OVERCLAIM’ dengan menjanjikan kesan mujarab dan bagus untuk kesihatan dan juga kecantikan.
Periksa dan bincang dengan doktor adakah diri kamu perlu mengambil supplement tersebut. Jika kamu menghidap penyakit kronik, sangat penting untuk kamu merujuk kepada doktor yang merawat diri kamu dan bukannya pandai-pandai membeli sebarang supplement yang memberi janji manis semata.
Produk Supplement Mengandungi Bahan Terlarang
Adakah kamu tahu kandungan yang terdapat di dalam supplement yang kamu makan itu? Tak ramai yang ambil serius mengenai apa kandungan yang terdapat di dalam sesuatu produk supplement yang dibeli, kerana masing-masing sibuk ingin mendapatkan kesan yang pantas.
Hal ini sering berlaku pada wanita yang mengambil produk kecantikan dan kesihatan, dek kerana mudah percaya dengan testimoni yang ditunjukkan maka diri juga ikut terjerumus dan mengamalkan produk tersebut. Doktor Rafidah menyatakan tidak perlu mengambil apa-apa jenis supplement, apatah lagi diri sihat walafiat.
Cukuplah dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang, itu semua mampu memberi kesan kesihatan yang baik pada diri dan organ dalaman.
Berbanding memakan supplement yang memudaratkan kesihatan dengan kandungan bahan berbahaya seperti dexmethasone, yang merupakan sejenis steroid yang boleh menyebabkan buah pinggang rosak. Biasanya bahan ini terdapat dalam produk supplement kesihatan seperti contoh kapsul ubat saraf (seperti dalam gambar atas).
Ini baru satu bahan yang ditemui dalam supplement ‘kesihatan’ dan belum lagi supplement-supplement popular yang lain, yang terdapat dipasaran kita.
Produk Supplement = Sampah
Sama ada niat nak kekal cantik atau menjaga kesihatan, itu bukan tiket untuk kamu membeli produk-produk supplement yang ada diluar sana. Doktor Rafidah sendiri telah menyatakan pandangannya bahawa produk supplement adalah sampah.
Doktor Rafidah juga berpesan agar jangan bebankan organ dalaman dengan produk-produk sampah seperti itu, ianya tidak perlu pun. Apa yang penting adalah mengamalkan gaya hidup yang sihat, bukan susah mana nak amalkan gaya hidup sihat.
Kesan gaya hidup yang sihat disamping menjaga pengambilan makanan yang seimbang, diri kita dapat menghindari penyakit. Bagi yang menghidap penyakit berbahaya atau kronik, kamu harus lebih serius dalam menjaga kesihatan.
Jangan mudah terpedaya dengan hasutan dan propaganda penjual produk yang hanya akan memudaratkan kesihatan untuk jangka masa panjang.
Bagi yang telah mengambil produk supplement dan tiada apa-apa berlaku, kesan pengambilan supplement bukan boleh dilihat dalam jangka masa pendek ia akan menunjukkan kesan pada jangka masa panjang nanti. Apatah lagi kamu pula jenis ‘rajin’ mengamalkan produk-produk supplement tersebut.
Sebenarnya ramai doktor-doktor telah berkongsi pandangan dan memberi penjelasan mengenai pengambilan supplement menerusi sosial media masing-masing. Tapi sayang hanya segelintir yang betul-betul mendengar nasihat yang diberikan.
Nak kekal sihat, amalkan gaya hidup sihat dan pemakanan yang seimbang. Bagi yang masih berdegil, kamu tanggunglah risikonya kelak.
Selamat beramal!