Mempunyai keinginan untuk menjadi cantik adalah lumrah bagi seorang wanita. Untuk menjadi cantik semestinya memerlukan produk untuk membantu seorang wanita itu mendapatkan kepuasan level kecantikan yang menjadi keinginannya.
Dalam memilih produk kecantikan, kita perlu berhati-hati agar tidak tertipu dengan produk kecantikan timbang kilo.
IDEOLOGI PUTIH ITU CANTIK
Masyarakat di serata negara mempunyai ideologi yang sama iaitu memiliki kulit putih dilabelkan sebagai manusia yang cantik. Tidak kurang seperti masyarakat di Asia iaitu mempunyai kulit putih akan menampakkan penampilan diri seseorang itu cantik, menawan dan menjadi perhatian masyarakat.
Disebabkan ideologi ini, kebanyakan pengeluar produk kecantikan tempatan tidak mensia-siakan peluang ini. Mereka berlumba-lumba mengeluarkan produk timbang kilo yang memudaratkan kesihatan dan kulit. Kebanyakkan daripada mereka akan meracuni pemikiran pelanggan dengan menabur janji-janji manis berkaitan dengan produk timbang kilo ini.
APA ITU TIMBANG KILO?
Produk timbang kilo ini adalah krim kosmetik yang dibeli secara pukal daripada kilang-kilang OEM negara jiran seperti Thailand atau China. Produk ini tidak melalui proses kajian atau proses pengilangan yang betul. Kebanyakkannya hanyalah produk penjenamaan semula (rebranding) dan pembungkusan semula (repacking) mengikut jenama yang ingin dikeluarkan oleh pengeluar tempatan.
Bahan yang terdapat dalam produk timbang kilo ini menggunakan bahan kimia yang berbahaya dan murah. Bahan kimia seperti Hydroquinone, Tretinoin dan Merkuri.
(Nota: OEM ialah Original Equipment Manufacturer yang menghasilkan bahan yang produk akhir dibeli oleh pengeluar untuk dijual kepada pengguna.)
Hydroquinone adalah bahan pemutih yang digunakan untuk mencegah pigmentasi kulit. Kesan daripada bahan ini ia akan menipiskan kulit, mudah sunburn, kulit menjadi kering dan mengganggu sistem pernafasan (jangka masa panjang).
Tretinoin digunakan sebagai bahan campuran untuk merawat kulit seperti mencegah atau menghilangkan jerawat di kulit. Tetapi jika ia berlebihan, kulit akan menjadi redness, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada sinaran matahari.
Merkuri bertindak sebagai pemutih di dalam produk seperti krim dan sabun. Bukan di dalam bentuk organik, merkuri juga mencegah pembentukan melanin untuk menjadikan tona kulit kelihatan lebih cerah. Merkuri juga memberi kesan kepada kerosakan buah pinggang, ruam, pengurangan jangkitan bakteria dan kulat serta masalah berkaitan dengan saraf.
MACAM MANA NAK TAHU?
Jika anda tidak tahu dan takut ditipu ketika membeli produk kecantikkan, berikut adalah ciri-ciri yang terdapat pada produk timbang kilo:
- Tiada pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebarang hasil ujian makmal.
- Warna krim timbang kilo terlalu pekat dan ‘shining’.
- Tekstur yang tidak rata dan terlalu melekit.
- Bau seperti logam atau terlalu wangi bagi menyembunyikan bauan logam.
- Kulit menjadi pedih, merah dan gatal ketika memakai produk.
- Kulit menjadi merah atau mudah terkena sunburn.
- Kulit menjadi terlampau putih seperti pucat atau putih kelabu.
- Berkesan dalam jangka masa 3 hari dan perlu bergantung secara berterusan pada produk tersebut.
- Tidak dipasarkan di farmasi dan drugstore.
- Tiada kandungan bahan dan alamat pengilangan dipaparkan di produk tersebut.
- Menggunakan testimoni yang direka-reka untuk menarik perhatian masyarakat.
KESAN TIMBANG KILO
Menurut Siti Hawa Mohd Nor iaitu ahli farmasi dan influencer telah menyampaikan informasi-informasi berkaitan dengan produk timbang kilo kepada masyarakat melalui platform media sosial. Beliau menyatakan kesan produk timbang kilo yang mempunyai bahan kimia berlebihan boleh merosakkan kulit wajah, sarah dan buah pinggang.
Bagi wanita yang memakai produk timbang kilo ini akan mendapat kesan yang diidamkan. Kulit akan menjadi flawless, putih dan tiada sebarang parut tetapi untuk jangka masa panjang, ia akan menjejaskan dalaman tubuh seorang wanita.
Sekiranya seorang wanita itu berhenti menggunakan produk timbang kilo itu, Siti Hawa mengingatkan supaya pengguna perlu berjumpa dengan pakar kulit untuk mendapatkan rawatan sekiranya kulit muka menjadi teruk seperti ditumbuhi jerawat dan kulit yang menjadi semakin nipis.
“Rawatan akan diberikan mengikut kesesuaian dan tahap kerosakkan kulit wajah seseorang itu. Di samping rawatan itu, individu tersebut akan diberikan ubat makan seperti antibiotik, ubat hormon dan isotretinoin,” ujar Siti Hawa.
Ubat-ubatan tersebut mestilah didapati dengan preskripsi dan pemantauan doktor. Sebelum membeli sesuatu produk, pengguna boleh memeriksa nombor sesuatu produk melalui Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia (NPRA).
Untuk menjadi cantik tidak semestinya perlu membeli produk timbang kilo bagi mendapatkan kesan yang cepat dalam masa yang singkat. Sebagai seorang wanita dan pengguna yang bijak, kita perlulah berhati-hati dalam membeli dan memilih produk untuk digunakan di tubuh badan kita.