Mesti ada dikalangan pembaca Wanista biasa dengan sabun bath bomb atau sabun bom? Ala bom mandian yang dikenali sebagai bath bomb adalah bahan berbuih dan wangi sebagai tambahan ketika waktu mandi. Anda hanya campakkan sahaja dalam bath tub dan sabun tersebut akan berbuih dan mengeluarkan warna serta aroma mengasyikkan. Memang feel lain macam kalau berendam di dalamnya.
Ada laporan mengatakan sabun mandian bom tidak selamat untuk kulit malah bahagian intim wanita, betul ke?
Kenali sabun bom
Bahan diperbuat menggunakan gabungan serbuk penaik dan asid sitrik. Di dalam air, gabungan kedua-dua bahan tersebut akan bertindak balas untuk melepaskan gas karbon dioksida.
Tindak balas yang berlaku dikatakan tidak jauh bezanya apabila anda melarutkan tablet ubat di dalam air. Ketika pelepasan gas berlaku, sabun mandian tersebut akan pecah dan mengeluarkan pewarna, pewangi dan bahan pelindung kulit seperti garam dan minyak.
Gabungan bahan-bahan itu menjadikan air dalam tab mandian berwarna dan mempunyai aroma wangi. Apabila bercampur dengan air, bahan-bahan tersebut umumnya akan meneutralkan satu sama lain.
Sabun ini juga mungkin mengandungi bahan lain yang berpotensi membahayakan kulit, antara:
- Wangian – sama ada sintetik atau daripada minyak pati yang memberikan rasa dingin
- Pewarna – sama ada secara semula jadi atau buatan makmal, menjadikan tab mandian berubah warna
- Bahan pengawet – untuk mengekalkan bentuk sabun bom stabil lebih lama
- Bahan tambahan – seperti glitter, menjadikan saat ketika mandi lebih meriah namun berisiko menjadikan kulit melecet
Tanda sabun bom tidak sesuai pada kulit
Agar bom mandian manjadi wangi dan berwarna-warni, bahan-bahan yang ditambahkan boleh menyebabkan reaksi tidak menyenangkan apabila terkena kulit, seperti gatal atau kemerahan. Dan bahan-bahan glitter yang melekat pada badan boleh menyebabkan kerengsaan.
Antara tanda biasa menunjukkan bath bomb tidak sesuai dan menyebabkan kerengsaan pada kulit termasuklah:
- Kemerahan
- Gatal-gatal
- Kulit berkuping (scaling)
Jika bom mandian boleh merosakkan permukaan kulit, siapa tahu pada bahagian badan yang lain. Lagi pula bila anda berendam lama, seperti faraj anda? Bergantung pada produk, bom mandian sebenarnya boleh mempengaruhi pH vagina anda dan boleh menyebabkan kerengsaan atau menyebabkan jangkitan yis.
Bahaya pada faraj
Bahan tambahan yang digunakan seperti dalam bom mandian, malahan mandian buih turut boleh mempengaruhi keseimbangan pH badan. Bagi wanita dan kanak-kanak perempuan, perubahan pada pH faraj dan sekitarnya boleh mengubah flora bakteria dan menyebabkan kerengsaan atau lebih teruk, jangkitan yis.
Bagi wanita yang pernah mengalami masalah berkaitan kerengsaan faraj, sebaiknya anda hanya mandi dengan pancuran air panas dan mandi menggunakan sabun biasa. Anda harus ingat bahawa bahagian sulit wanita mempunyai fungsi membersihkan diri sendiri, bermakna anda tidak perlu meruang atau melakukan sebarang proses pencucian faraj.
Nasihat Wanista, jika anda alah kepada bahan-bahan dalam sabun bom, dinasihatkan untuk elak penggunaan bahan mandian tersebut ketika mandi.
Jika ingin mencubanya, pastikan anda menyemak kandungan bahan di dalam bom mandian dan mengujinya terlebih dahulu sebelum berendam di dalamnya.