Kalau anda tak tahu, sebanyak 3/4 hubungan pada masa sekarang berakhir melalui teks. Walaupun kaedah memutuskan hubungan itu dikira sebagai tidak sopan dan menjengkelkan tetapi ia adalah salah satu tindakan yang bagus untuk elak daripada awkward.
Ramai yang menganggap kaedah tersebut memberi tamparan yang hebat dan menyebabkan pasangan rasa dibuang dan tidak dihargai.
Melalui teks, pelbagai salah faham boleh berlaku dan membuatkan ia lebih sukar untuk menerima perpisahan ini. Masa yang sesuai untuk menghantar teks perpisahan ini apabila anda tahu hubungan ini tidak akan dapat bertahan dan jika berterusan ia akan memburukkan situasi.
Untuk mengakhiri hubungan ini, antara solusi yang terbaik adalah break up melalui teks, anda tahu mengapa?
Elak Konfrontasi
Beritahu si dia tentang perpisahan sangat sukar kerana kita akan tertunggu-tunggu reaksinya sama ada menerima dengan terbuka atau berubah menjadi agresif. Apabila berjumpa mungkin pergaduhan, penggunaan ayat atau rasa bersalah apabila melihat si dia bersedih akan memburukkan lagi keadaan.
Jika anda tidak boleh melihat kesedihan dan mula berkira-kira untuk menarik balik perpisahan ini, kemungkinan besar anda akan pura-pura sahaja apabila dengannya. Untuk elak daripada perkara itu berlaku, anda boleh menghantar teks ringkas yang menunjukkan anda ingin berpisah.
Masalah Komunikasi
Sesetengah orang mempunyai komunikasi yang teruk apabila ingin menyatakan sesuatu. Mungkin apabila anda bercakap, si dia tidak mendapat maksud sebenar daripada apa yang anda beritahunya.
Selain itu, penggunaan ayat yang berlainan daripada maksud juga boleh mencetuskan pergaduhan dan dapat bermusuh dengannya.
Jadi, perpisahan melalui teks dapat membantu anda dengan hanya menghantar terus apa yang anda ingin katakan tanpa berselindung.
Tak Mahu Jelaskan
Susah untuk menjelaskan kenapa kita mahu berpisah. Apabila sebab itu dijelaskan, si dia mungkin berasa down atau lebih benci dan bertindak agresif apabila mengetahuinya. Penjelasan yang diberikan boleh melukakan hati si dia untuk tempoh masa yang lama.
Bagi mengelakkan daripada timbulnya perasaan sakit hati dan berdendam, anda boleh mencuba untuk menghantar teks seperti, “Saya mahu berpisah dan ia bukanlah disebabkan awak.”
Tidak Berpatah Kembali
Seperti yang kita tahu, sebelum mencapai kata sepakat untuk berpisah, semestinya si dia akan cuba untuk melakukan apa sahaja supaya kita tidak meninggalkannya.
Jika anda teringat akan peristiwa-peristiwa manis dan perkara yang boleh menahan anda daripada menghentikannya, anda berkemungkinan akan hidup dalam kepura-puraan dan menahan rasa dalam hubungan ini.
Untuk elak daripada si dia fikir yang anda masih sayangkannya, anda perlu hentikan situasi ini untuk tidak memberikan lagi harapan kepadanya. Anda boleh block si dia di media sosial dan nombor sehingga si dia tidak lagi menganggu.
Memang perpisahan melalui teks ini bagus, tetapi untuk long-term relationship, berpisah melalui teks adalah tidak adil dan tidak sopan. Si dia perlukan perpisahan secara bersemuka, mahupun bercakap melalui telefon.
Jadi, untuk short-term relationship, kaedah ini sangat sesuai kerana anda tidak sempat untuk memberikan harapan kepadanya dan si dia pun tidak sempat untuk merasai kehilangan anda.