Popular dengan tagline “Guna tanpa was-was”, jenama ubat gigi Zaitun ini sangat ikonik pada tahun 90-an.
Berfokuskan kepada pelanggan Muslim, penjualan produk ubat gigi halal sangat memberangsangkan sehingga memberi ancaman kepada produk jenama ubat gigi yang lain terutamanya Colgate.
Tahun 1978, diinspirasikan oleh nama anak perempuannya, Dato Seri Haji Mohammad Eusuff Teh telah menubuhkan Zaitun Industri. Menjadi perintis kepada produk halal muslim dan terkenal dengan tagline mereka, syarikat ini mengeluarkan kelengkapan peribadi (toiletries) dan kosmetik.
Perniagaan yang cukup hebat sehingga berlaku pengeksportan ke Brunei, Singapura, Indonesia dan sebagainya. Masa depan Zaitun dianggap cerah dan banyak peluang menanti untuk terus maju telah terkubur.
Ramai yang membuat spekulasi sendiri berkaitan kejatuhan jenama Zaitun ini, jadi apakah penyebab sebenarnya?
Pasaran Saham
Anak kepada pengasas, Mohd Kamal telah menyenaraikan Zaitun Berhad di papan kedua Kuala Lumpur Stock Exchange (KLSE) pada Jun 1997. Semasa penyenaraian, unjuran keuntungan yang disebut sebagai prospektus berjumlah RM5.7 juta dan pasca penyenaraian lebih kurang RM4.3 juta pada Disember 1997.
Dalam tahun yang sama, selepas penyenaraian, Zaitun Berhad mengalami kerugian sebanyak RM14 juta dan perbezaan ini sangat besar berbanding unjuran dan laporan (Forecast vs Actual).
Sejak tahun pertama, ekuiti pemegang saham yang bermula pada RM41 juta (1997) telah menjadi defisit iaitu RM29 juta (2001). Punca kepada kejatuhan ini adalah tadbir urus korporat yang sangat lemah.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila Zaitun telah memeterai perjanjian beli tanah dengan Benua Rezeki Sdn Bhd (RM36 juta) di mana pengarah Zaitun sendiri yang menjadi pengarah dalam Benua Rezeki.
(Fakta: Mohd Kamal Eusuff dan Aisha Mohd Eusuff adalah adik beradik.)
Pentadbiran
31 Disember 1997, sebanyak 50% deposit telah dibayar kepada Benua Rezeki Sdn Bhd. Perjanjian jual beli tanah dibatalkan selepas itu dan deposit harus dipulangkan sebulan dalam tempoh 6 bulan yang diberikan. Sehingga Ogos 1998, hanya sebanyak RM345,000 sahaja dipulangkan.
Situasi ini dikategorikan sebagai RPT (Related Party Transaction) dan tidak mendapat persetujuan daripada pemegang saham.
(RPT: Perjanjian yang dibuat antara dua pihak yang bergabung dengan hubungan perniagaan atau kepentingan bersama.)
Dalam tahun yang sama, pihak pengurusan melibatkan diri dalam perdagangan saham yang menggunakan pembiayaan margin (share margin financing) sebanyak RM20 juta pada tahun 1997. Tiada persetujuan dalam kalangan pemegang saham dan tiada pendedahan tentang transaksi yang dilakukan.
(Share Margin Financing: Kemudahan yang boleh tingkatkan kekuatan kewangan dan tingkatkan pelaburan dalam stok dan saham.)
September-November 1997, pembelian saham telah dibuat ke atas Hai Ming (13.7% = RM13.7 juta) dan Grand Central Enterprise (1.48% = RM3 juta). Kemudian kedua-dua saham ini dijual pada RM6.5 juta dan menyebabkan kerugian RM10.2 juta. Ini menyebabkan Mohd Kamal mempunyai pegangan 6% dalam GCE paid up capital.
(Paid Up Capital: Jumlah wang syarikat yang diterima daripada pemegang saham sebagai pertukaran saham.)
Zaitun Berhad didenda disebabkan RPT yang dilakukan dan sekaligus dinyahsenaraikan daripada KLSE pada 16 Jun 2003 kerana gagal patuh langkah penstrukturan semula untuk status PN4.
(PN4: Nota Amalan 4 Bursa Malaysia yang merangkumi syarikat tersenarai yang berada dalam kewangan yang buruk dan diminta untuk berikan cadangan untuk susun semula atau menghidupkan semula syarikat.)
Selain itu, antara punca utama kerugian adalah isu pengedar dan penceburan dalam bidang MLM untuk pasarkan produk. Antara pengedar Zaitun adalah Boustead Trading, Harrison, Harpers dan Sime Darby Marketing.
Syarikat ini juga memberikan jualan kredit yang longgar yang menyebabkan hutang pelanggan sebanyak 95% daripada jumlah jualan.
Kejatuhan yang dialami oleh Zaitun terjadi disebabkan pelanggaran yang serius dalam prinsip corporate disclosure and transparency dalam menjalankan transaksi yang tiada persetujuan daripada pemegang saham.
Kelemahan pentadbiran di mana lembaga pengarah, pengarah eksekutif dan bukan eksekutif perlu menjadi telus, berakautabiliti dan mentadbir urus korporat dengan sewajarnya.