Sebagai organ terbesar, kulit tidak dapat menyembunyikan apa-apa rahsia. Melalui kulit, anda boleh mengetahui tentang kesihatan dalaman, tahap penghidratan, kualiti tidur dan lain-lain lagi.
Jika anda merawatnya dengan baik, kulit anda akan memberikan warna yang berseri dan bercahaya tetapi jika sebaliknya, kulit akan menjadi kusam, kedut dan mempunyai garis-garis halus.
Kulit anda sentiasa berkomunikasi, jadi dengar dan lihat dengan teliti. Dari sini anda akan tahu apakah mineral dan vitamin yang diperlukan oleh kulit. Penggunaan vitamin sangat penting secara dalaman mahupun luaran.
Tetapi apabila vitamin digunakan pada kulit secara terus, penyerapannya melebihi 90% berbanding makan. Jadi vitamin apa yang perlu diambil terutamanya dalam skincare?
VITAMIN A
Vitamin A atau retinoid adalah molekul yang memprogramkan semua sel. Dalam erti kata lain, ia membuatkan sel kulit menjadi baru dengan mempengaruhi sel, meningkatkan pembaharuan, keanjalan dan keseimbangan kulit secara menyeluruh.
Dengan merangsang fibrolasts, Vitamin A juga meningkatkan pengeluaran kolagen dan elastin. Setelah pakai di kulit, anda boleh melihat tanda penuaan seperti liang pori yang terbuka, garis halus dan bintik pigmentasi berkurangan.
Oleh sebab ia berfungsi memperbaharui sel, Vitamin A juga digunakan untuk merawat jerawat, kulit seborrheic dan kulit berminyak. Dalam pada masa yang sama, ia membantu menghilangkan pigmentasi iatu dengan menormalkan tindakan tyrosinase, sejenis enzim yang menghasilkan melanin.
VITAMIN B3
Dikenali dengan Niacin, ia adalah vitamin larut dalam air. Berfungsi dalam meningkatkan daya ingatan, pengekalan kalsium dan memperbaiki sistem pencernaan.
Niacamide yang yang menjadi agen yang terbaik dalam produk skincare kerana ada ciri anti-penuaan dan anti-radang serta menenangkan kulit. Ia berfungsi memperbaharui kulit dengan membekalkan tenaga ke sel dan bagus dalam merawat bekas jerawat.
Berfungsi dengan bahan semula jadi di kulit, ia membantu mengecilkan liang pori, warna tidak sekata dan kekusaman kerana ia mampu memperbaharui dan pulih permukaan kulit daripada kehilangan kelembapan dengan tingkatkan pengeluaran ceramide.
VITAMIN B5
Pantothenic acid berfungsi dalam mencegah kehilangan air dan kekalkan kelembapan untuk mengelakkan daripada kulit kekeringan dan gatal. Vitamin B5 ini juga dapat melindungi kulit daripada kemerahan yang disebabkan oleh pendedahan sinaran UV.
Dalam pada masa yang sama, ia juga meningkatkan pengeluaran glutathione iaitu antioksidan kuat yang melawan kerosakan radikal bebas.
VITAMIN C
Paling popular, Vitamin C sangat serba boleh. Bertindak sebagai photo-protective dan menghalang daripada kerosakan akibat sinaran UV. Sejenis antioksidan yang kuat, vitamin ini membantu melawan kerosakan radikal bebas dan tanda penuaan pratamang seperti pigmentasi dan garis halus.
Bentuk Vitamin C yang stabil adalah L ascorbic acid yang mempunyai 15%-20% dalam krim atau serum. Sekiranya kulit anda mempunyai luka dan jangkitan, Vitamin C ini sangat bagus.
Krim dan serum Vitamin C berfungsi dalam membina sistem imun kulit dan mencegah penuaan pramatang serta kawal kerosakan kulit yang lebih teruk.
VITAMIN E
Larut dalam lemak dan berfungsi sebagai pelembap dan krim yang menenangkan kulit. Alpha-tocopherol adalah bahan yang paling aktif dan Vitamin E berikan photo-protection pada kulit untuk menyerap sinaran UV.
Dalam biosentesis kolagen dan elastin, ia membantu dalam membangunkan dan meremajakan kulit. Apabila digabungkan dengan Vitamin C, alpha-tocopherol berfungsi sebagai antioksidan dan melawan radikal bebas. Vitamin E juga digunakan untuk menenangkan kulit yang terbakar, radang dan berparut.
VITAMIN K
Menjadi agen anti-radang dan mempunyai kesan pada pembuluh darah iaitu bantu dalam membeku darah dengan cepat.
Diformulasikan untuk krim selepas pembedahan, Vitamin K sangat membantu untuk menyembuhkan dan mengurangkan bengkak. Jika anda mempunyai dark circle, ia juga boleh mengurangkan penampakannya.
Seperti yang kita tahu, fungsi-fungsi setiap vitamin ini sangat penting kulit dan badan. Selepas ini kalau nak beli produk skincare, anda boleh check pada label untuk tahu sama ada produk itu sesuai atau tidak untuk keperluan kulit anda.
Jika ragu-ragu atau kulit menjadi teruk, dapatkan nasihat daripada doktor berkaitan dengan kulit anda. Selamat beramal!