Ramai yang ingat kalau anda sedang bersedih atau patah hati itu disebabkan oleh hubungan percintaan. Itu salah sama sekali, kerana hubungan persahabatan juga boleh mengundang perasaan ini untuk timbul berdasarkan beberapa situasi.
Hubungan persahabatan boleh menjadi kompleks malah lebih daripada itu jika anda mempunyai hubungan yang toksik, negatif dan rakan yang tidak sefahaman dengan anda. Persahabatan ini tidak selalunya indah, ada masa anda dan rakan okay dan ada masa tidak okay.
Kalau diikutkan, hubungan persahabatan mestilah menjadi positif dan sihat kerana kamu memerlukan seseorang yang boleh dipercayai, menjadi diri sendiri dan tidak berasa tertekan apabila bersamanya.
Apabila situasi ini terjadi, pasti anda tertanya-tanya bagaimana untuk mengetahui bahawa adakah rakan ini terbaik untuk diri anda atau bagaimana untuk mengakhiri hubungan ini.
Sebab itu penting sebelum berkawan, kamu perlu lihat bagaimana ciri-cirinya, adakah kamu perlu elak atau tidak. Jadi, ini ciri-ciri kawan yang kamu perlu elak dalam kehidupan.
#1 Kompetitif
Dalam kehidupan, tak salah untuk bersaing, tetapi maksud bersaing di sini adalah apabila rakan anda melakukan persaingan yang tidak sihat sehingga boleh menjejaskan hubungan kamu.
Apabila hubungan persahabatan sering menjadi persaingan, ini masanya untuk anda mengakhiri hubungan tersebut. Rakan jenis ini akan sentiasa bersaing tak kira apa situasi termasuklah menarik perhatian lelaki, pujian, pekerjaan, kehidupan dan lain-lain.
Rakan yang suka bersaing ini tidak akan senang jika si dia melihat anda mempunyai sesuatu lebih daripadanya.
Sebagai contoh, anda dinaikkan pangkat di tempat kerja, rakan anda tidak akan mempunyai kekuatan untuk mengucapkan tahniah kerana si dia rasa tercabar. Daripada berkongsi dan meraikan berita gembira ini, secara dalam diam si dia akan bermusuh dengan anda.
#2 Mungkir Janji
Bukan bermaksud mungkir janji untuk pertama kali, anda perlu putuskan hubungan ini. Mungkir janji di sini adalah apabila rakan anda telah berulang-ulang kali berjanji dengan anda tetapi si dia tetap mungkir janji.
Seperti contoh, si dia mungkin menelefon kamu untuk bertemu pada hujung minggu. Apabila harinya telah tiba, kamu menunggu si dia untuk masa yang lama tanpa sebarang maklum balas daripadanya.
Selepas menunggu dengan terlalu lama, mula lah si dia menelefon kamu untuk membatalkan pertemuan itu. Rakan seperti ini akan sentiasa mengharapkan segalanya daripada anda sebagai balasan. Jika kamu tidak bertindak, si dia pasti mempunyai anggapan bahawa kamu tidak kisah.
#3 Pengkritik
Rakan seperti ini sangat bahaya. Percayalah, kamu tidak akan selesa dan menjadi diri kamu kerana setiap masa kamu akan dikritik. Dari cara anda bercakap, berfikir, berpakaian, makan dan semuanya si dia akan akan memerhati dan mengkiritik.
Kamu tidak akan menjadi diri sendiri apabila bertemu dengannya kerana tekanan yang diberikan oleh si dia sangat merimaskan. Hubungan persahabatan ini akan menjadi lemah dan tidak dapat bertahan dengan lama.
#4 Kaki Gosip
Sangat menakutkan apabila mempunyai rakan seperti ini. Ciri-ciri rakan seperti ini sememangnya tidak boleh menyimpan rahsia sedikit pun. Percayalah jika anda baru sahaja memberitahunya tentang sesuatu rahsia, tidak sampai 24 jam akan ada orang lain yang mengetahuinya.
Jadi janganlah anda percaya apabila si dia berjanji atau mengatakan dirinya boleh menyimpan rahsia. Rakan seperti ini tidak sesuai untuk diberikan kepercayaan bagi menyimpan rahsia. Sangat toksik!
#5 Ambil Dan Tidak Memberi
Maksud ambil dan tidak memberi ini apabila si dia memerlukan pertolongan atau apa-apa sahaja dan anda memberikannya, tetapi jika anda dalam situasi itu, si dia tidak akan memberikan apa-apa pertolongan yang menyusahkan dirinya.
Seperti contoh, si dia memerlukan pertolongan untuk kerjanya dan anda menolongnya dengan bersungguh-sungguh.
Tetapi jika anda memerlukan seseorang untuk mendengar dan menelefon dirinya, tidak sampai lima minit si dia sudah rasa seperti beban. Kawan yang mengambil semestinya akan memberi juga. Jika hubungan seperti ini, sudah tiba masanya untuk anda menilai semula persahabatan anda.
#6 Ambil Kesempatan
Kalau difikirkan, ramai yang menjadi rakan yang hanya menggunakan rakan mereka untuk kepentingan peribadi. Kamu akan jarang mendengar tentang dirinya atau kamu sering bertanya tentang dirinya tetapi susah untuk si dia membalas.
Tetapi suatu-suatu masa, si dia akan mencari ketika memerlukan sesuatu. Jika anda sering menolong hanya ketika mereka baru mencari, orang seperti ini bukanlah rakan yang anda perlu dalam kehidupan mereka. Mereka akan sentiasa mengambil kesempatan jika kamu sering berkata ‘ya’ kepada semua pertolongan yang diminta.
#7 Penting Diri Sendiri
Ketika kamu sedang berkumpul untuk berkongsi cerita, kamu akan perasan bahawa si dia hanyalah bercerita tentang dirinya sahaja. Apabila kamu menunjukkan minat untuk mendengar tentang dirinya, apa yang dilakukan olehnya, si dia akan terbawa-bawa untuk bercerita tanpa berhenti.
Apabila tiba masa untuk anda bercerita, si dia tidak mahu dengar dan memotong cakap anda dan terus bercerita tentangnya.
Rakan seperti ini tidak mementingkan sedikit pun tentang kamu malah si dia hanya peduli tentang dirinya sahaja. Sekiranya anda mempunyai rakan yang tidak menghormati seperti ini, kamu harus memutuskan hubungan tersebut.
Bukan mudah untuk mengakhiri sesuatu perhubungan disebabkan oleh personaliti mereka yang membuatkan persabahatan menjadi toksik.
Kamu boleh mencari persektif baru dengan bercakap dengan rakan yang bukan toksik untuk dapatkan nasihat dan pandangan. Jika tidak, satu-satunya cara untuk keluar daripada hubungan ini adalah dengan menamatkannya sepenuhnya.