Bila fikirkan tentang senyuman, apa yang muncul di fikiran? Selalunya sepasang bibir yang menunjukkan barisan gigi yang putih seperti dalam iklan ubat gigi. Tetapi pernah tak anda terfikir kalau seseorang itu senyum dan tiba-tiba giginya hitam pekat?
Kalau nak tahu, pada zaman Jepun purba dahulu, setiap orang terutamanya wanita mengidamkan gigi mereka berwarna hitam. Mempunyai gigi hitam atau diwarnakan dianggap sebagai simbol kecantikan di Jepun dan ini dipanggil sebagai Ohaguro.
Sejarah Ohaguro
Budaya Ohaguro ini wujud pada awal era Kofun (250-538), dan ia dibuktikan dengan penemuan tulang dan gigi yang menandakan amalan itu diamalkan sejak dahulu. Dan ada yang mengatakan ia diamalkan sehingga era Heian (794-1185).
Pada awalnya, setiap lelaki dan wanita berumur 15 tahun akan mewarnakan gigi mereka sebagai tanda telah menginjak ke alam dewasa. Pada penghujung era Heian, ia semakin popular dalam kalangan wanita aristokrat, terutamanya yang muda dan mahu berkahwin.
Pernah diharamkan semasa pemerintahan Maharaja Meiji (1870-an) dan menyebabkan budaya ini hampir pupus. Tetapi anda masih melihat ia diamalkan oleh segelintir masyarakat terutamanya Geisha untuk acara tertentu.
Siapa Yang Warnakan Gigi Dan Kenapa?
Apa sahaja yang berwarna hitam dianggap sangat cantik. Wajar bagi sesiapa pun yang suka mendekati apa sahaja yang dianggap cantik.
Menggunakan larutan yang disebut sebagai kanemizu, iaitu serbuk besi, cuka, teh dan wain beras, ia bertujuan untuk meraikan seseorang individu yang telah akil baligh.
Kanak-kanak lelaki dan perempuan yang berumur 15 tahun, akan mengecat gigi mereka buat pertama kali menggunakan larutan tersebut sebagai tanda mereka telah memasuki alam dewasa. Akhir zaman Heian (794-1185), ohaguro turut dilakukan dalam kalangan bangsawan tanpa mengira jantina.
Zaman Edo Jepun (1603-1868), ohaguro dilakukan di kalangan wanita kaya yang sudah berkahwin tetapi bukan secara eksklusif. Beberapa wakil yang paling terkenal dalam amalan ini adalah geisha.
Teori awal yang menghentikan amalan ini mendakwa ohaguro dilakukan untuk mencegah isteri daripada menipu suaminya dan gigi hitam digunakan untuk membuatnya kelihatan tidak menarik.
Kelebihan Amalkan Ohaguro
Memiliki wajah yang dicat putih itu dianggap cantik, dan memiliki gigi hitam pekat menjadikan seseorang itu lengkap dan sempurna. Masyarakat Jepun percaya amalan ini menyembunyikan warna gigi yang kekuningan kerana ia dianggap mencacatkan senyuman wanita yang memiliki muka putih.
Selain itu juga, ia bertujuan sembunyikan segala kecacatan pada gigi dan bahan yang digunakan memberikan perlindungan kepadanya seperti halang daripada pembentukan kaviti dan kuatkan gusi. Selain itu, samurai juga amalkan ohaguro sebagai tanda taat setia kepada tuan atau ketua mereka.
Ohaguro Dalam Fesyen
Amalan ini sering dilakukan dalam kalangan wanita yang belum dan sudah berkahwin, baru akil baligh, pelacur dan geisha. Gigi hitam ini juga menandakan kematangan seksual seseorang wanita.
Zaman Muromachi, anak-anak perempuan panglima tentera juga mula mewarnakan gigi mereka untuk menunjukkan usia mereka ketika berumur antara 8 tahun sehingga 10 tahun.
Selepas itu, trend memutihkan gigi dianggap sebagai fesyen terbaru. Pada tahun 1873, permaisuri Jepun telah muncul di khalayak orang ramai dengan gigi putih yang mempersona.
Sekarang, gigi putih telah dianggap sebagai simbol kecantikan yang menggantikan ohaguro. Dan kini, ohaguro hanya digunakan dalam filem atau festival tradisional sahaja.
Ohaguro Bettari
Menariknya di sebalik amalan ini adalah yokai, iaitu sejenis hantu yang disebut sebagai Ohaguro Bettari yang diterjemahkan sebagai “tiada apa-apa selain gigi hitam”.
Daipada belakang, yokai ini kelihatan seperti wanita cantik yang memakai baju perkahwinan dan sering memanggil lelaki bujang untuk mendekatinya. Sementara lelaki bujang menghampirinya, dia akan menyembunyikan wajahnya.
Tetapi semakin dekat dengan yokai, dia akan pamerkan wajah putih yang tidak berwajah kecuali sepasang gigi hitam pekat. Selain menakutkan lelaki, ia tidak menyebabkan apa-apa kecederaan berlaku.
Amalan Ohaguro ini walaupun telah pupus di Jepun, tetapi amalan ini dipercayai turut diamalkan oleh segelintir etnik atau kaum di India dan Madagascar sehingga ke hari ini.