Jika seseorang itu meninggal dunia, berapa lamakah yang diperlukan untuk mengebumikan mayatnya?
Masa yang diperlukan untuk mengurus mayat seseorang itu bergantung kepada pegangan agama, kaum atau etnik individu tersebut. Bagi agama Islam, mayatnya perlu dikebumikan dengan secepat mungkin seperti yang dituntut dalam agama.
Proses pengebumian ini merupakan salah satu usaha untuk ahli keluarga memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Dan pengebumian ini sering kali dihadiri oleh ahli keluarga terdekat, kenalan rapat dan sahabat.
Lain daripada yang lain, sebuah etnik di Indonesia iaitu Toraja sangat terkenal dengan pengebumian yang unik. Keunikan majlis pengebumian ini sering kali mendapat perhatian orang ramai terutamanya para pelancong.
Etnik Toraja
Etnik ini tinggal di kawasan Tana Toraja (Tanah Toraja) di Pulau Sulawesi, sangat berlainan dengan etnik yang lain kerana terkenal dengan ritual-ritual pengebumian yang unik.
Menjalani hidup yang sederhana dan percaya fahaman animisme iaitu semua entiti bukan manusia mempunyai intipati rohani yang perlu dihormati agar semangat tersebut tidak mengganggu manusia.
Ritual pengebumian etnik Toraja ini adalah sangat penting dalam masyarakat tersebut. Ia melibatkan keluarga dan penduduk kampung berdekatan kerana ritual ini memakan masa selama beberapa hari.
Perbelanjaan Yang Sangat Mahal
Jika seseorang meninggal dunia, ahli keluarganya perlu anjurkan beberapa siri ritual pengebumian mayat yang dipanggil Rambu Solo.
Kebiasaannya, ritual ini tidaklah dilakukan sejurus selepas seseorang itu menghembuskan nafasnya. Ini kerana ahli keluarga perlu mengumpul wang bagi menganjurkan ritual pengebumian yang sangat mahal.
Bergantung kepada kewangan keluarga, ritual ini kadang-kadang mengambil masa berhari, minggu, bulan malah bertahun-tahun kerana mengumpul wang bagi menjalankan ritual.
Apa Yang Dibuat Pada Mayat?
Sementara menunggu wang yang cukup bagi anjurkan ritual, mayat si mati tidak akan dikebumikan malah disimpan di suatu sudut istimewa dalam rumah keluarganya. Etnik ini percaya jika si mati tidak dikebumikan, si mati sebenarnya belum benar-benar mati tetapi hanya dianggap sedang menderita penyakit.
Ahli keluarga si mati akan hidup normal seperti si mati masih lagi hidup bersama-sama mereka. Mayat tersebut akan dihias oleh ahli keluarga dengan memakaikan si mati pakaian yang sempurna seperti hari-hari kebiasaannya.
Anjurkan Seperti Pesta Atau Perayaan
Sangat normal di Indonesia apabila mereka mencampurkan agama dan adat sehingga mencipta beberapa tradisi yang unik di dunia. Segelintir etnik ini menganggap mereka menganuti agama Kristian tetapi masih juga jalankan ritual nenek moyang yang disebut sebagai Aluk Todolo (cara nenek moyang).
Mengikut undang-undang, Aluk Todolo dikatakan kepercayaan rakyat dan sering disatukan dengan agama Hindu tetapi perkara itu tidak halang etnik Toraja Kristian untuk melakukannya.
Semasa Aluk Todolo, peristiwa penting dalam kehidupan akan diraikan dengan dua jenis upacara atau ritual yang dipanggil Rambu Tuka dan Rambu Solo.
(Rambu Tuka: Peristiwa dari kelahiran dan perkahwinan sehingga penuaian. / Rambu Solo: Upacara yang berkaitan dengan kematian.)
Di antara kedua ritual ini, Rambu Solo adalah lebih besar perayaannya kerana ia seperti menghantar si mati ke dunia lain. Walaupun sedih untuk mengucap selamat tinggal, tetapi Aluk Todolo membantu tangani perasaan sedih.
Tarikan Pelancong
Kos secara keseluruhan menelan belanja sekitar RM 28,330. Kebiasaannya, ahli keluarga akan menyimpan wang dari awal sebagai persediaan, dan ada kalanya tidak mencukupi sehingga terpaksa menunggu lama untuk kebumikan.
Antara ritual penting adalah upacara mengebumikan haiwan. Mereka percaya kerbau yang dikorbankan akan membawa si mati ke puya (alam kematian). Semakin banyak kerbau dikebumikan, semakin cepat perjalan ke puya.
Keluarga yang berpendapatan sederhana selalunya menyembelih antara 8 ekor kerbau dan bagi bangsawan, mereka akan menyembelih antara 24-100 ekor kerbau. Selain itu juga, mereka perlu menyembelih khinzir (50 ekor) untuk para tetamu.
Di Mana Kebumikan Mayat?
Etnik Toraja jarang menanam mayat dalam tanah. Si mati akan ditempatkan di gua-gua yang digali di sisi batu gunung atau diletakkan dalam keranda kayu yang digantung di tebing. Kubur yang mahal ini memerlukan beberapa bulan untuk siap.
Bulan Ogos setiap tahun, ritual Ma’Nene dijalankan iaitu si mati digali semula untuk dicuci, dirawat dan dipakaikan dengan pakaian baru. Mumia kemudiannya dibawa berarak sekitar kampung seperti zombie.
Ritual yang menarik dan mahal ini menjadikan Tana Toraja sebagai destinasi pelancongan kedua selepas Bali oleh Kementerian Pelancongan Indonesia. Walaupun berbeza agama, kaum dan etnik, sesuatu pegangan bagi setiap masyarakat yang berbeza membuatkan mereka menjadi unik dalam cara yang tersendiri.