Seperti yang anda tahu, sunburn terjadi apabila kulit kita terdedah kepada cahaya matahari atau sinaran ultra violet (UV) terutamanya pada pukul 10 pagi sehingga 5 petang.
Gelombang sinaran UV yang berbahaya ini memberikan kesan yang tidak bagus kepada kulit yang menyebabkan seseorang itu mengalami keradangan dan inflamasi kulit.
Jika anda kerap mendedahkan kulit kepada matahari, ia bukan sahaja menggelapkan kulit, malah masalah lain juga timbul seperti jeragat, pigmentasi dan lebih teruk lagi, kulit kelihatan lebih tua daripada yang sepatutnya.
Macam Mana Nak Elak Sunburn
#1 Pelindung Matahari
Memakai pelindung matahari sangat penting sebelum keluar rumah atau bercuti. Pastikan anda menyapu pelindung matahari sebanyak 1 ounce 15 minit sehingga 30 minit sebelum keluar untuk ia lebih berkesan pada kulit.
Untuk memilih pelindung matahari, anda perlu mencari produk yang mengandungi sun protection factor (SPF) sekurang-kurangnya 30 dan broad-spectrum yang melindungi daripada sinaran UVA dan UVB.
#2 Lindungi Badan
Selain memakai pelindung matahari, anda boleh lindungi badan dengan menutup menggunakan topi dan pakaian. Tak semua jenis pakaian dapat menghalang sinaran UV seperti pelindung matahari. Jadi pakai pakaian yang mempunyai pelindung UV yang disarankan.
Jika anda memakai topi, pastikan anda memilih topi yang lebar. Biar topi tersebut menutup bahagian kepala, leher, muka dan telinga. Jangan sesekali memakai topi biasa ketika berjemur atau keluar.
#3 Cermin Mata Hitam
Sama seperti kulit anda, mata juga memerlukan perlindungan. Mudah terkena sinaran matahari, anda perlu pakai cermin mata hitam. Ini bukan sahaja melindungi mata, tetapi kulit-kulit lembut di sekitar mata.
Anda seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu cermin mata hitam yang melindungi mata daripada sinaran UV sebanyak 99% sehingga 100% daripada sinar UVA dan UVB atau cermin mata yang menawarkn penyerapan UV sehingga 400nm.
#4 Tempat Berlindung
Anda perlu tahu matahari memancarkan gelombang sinaran UV pada pukul 10 pagi sehingga 5 petang. Jika anda keluar atau berjemur pada waktu ini, cari tempat untuk berlindung sama ada membawa payung atau pokok yang rendang.
Jika mahu ke pantai, elakkan pergi pada waktu tersebut. Anda boleh pergi pada awal pagi atau lewat petang kerana air dan pasir dapat mencerminkan sinaran UV yang dapat merosakan kulit anda.
Cara Merawat Sunburn
#1 Air Sejuk
Sunburn menyebabkan kulit menjadi keradangan. Salah satu cara yang mudah, anda boleh sejukkan kawasan yang terkena sunburn dengan menggunakan air sejuk.
Anda boleh duduk di bawah shower untuk seketika bagi meredakan kawasan yang terkena sunburn sebelum menjadi lebih teruk. Jika mahu berendam di kolam, anda perlu berhati-hati kerana air klorin boleh merengsakan kulit.
#2 Baking Soda dan Oatmeal
Jika anda ada tab mandi, penuhkan tab dengan air sejuk. Kemudian, letak beberapa sudu besar baking soda ke dalamnya. Selepas itu, anda boleh berendam di dalamnya selama 15 minit sehingga 20 minit.
Anda juga boleh menambahkan secawan oatmeal ke dalam tab mandi bagi menenangkan kerengsaan dan membantu kulit mengekalkan kelembapan semula jadinya.
#3 Mayonis
Selepas berjemur, sapu sedikit mayonis pada kulit bagi mendapat kesan kelegaan selepas berjemur di bawah sinaran matahari. Mayonis yang mengandungi cuka berfungsi dalam membantu mengurangkan kesan kulit terbakar.
#4 Lidah Buaya
Ambil beberapa tangkai lidah buaya dan patahkan di bahagian tengahnya. Gel atau lendir lidah buaya tersebut diambil secara langsung dan diletakkan di tempat yang terdedah dengan sunburn.
Jika anda tidak mempunyai tanaman lidah buaya, gel aloe vera pun boleh digunakan. Tetapi pastikan gel yang asli dan bukannya losyen atau minyak.
#5 Teh Chamomile
Selain memberikan ketenangan pada badan ketika meminumnya, teh ini juga dapat digunakan pada kulit.
Bancuh teh chamomile seperti biasa dan biarkan ia sejuk. Setelah itu, rendam sehelai kain lap ke dalamnya dan sapu di bahagian yang terkena sinaran matahari. Jika anda alah kepada debunga, jangan cuba teknik ini.
#6 Madu
Madu bukan sahaja bertindak melembapkan kulit tetapi mengurangkan kemerahan dan juga bengkak pada badan. Nutrien yang terdapat dalam madu dapat memulihkan semula tisu kulit yang rosak akibat luka terbakar.
Untuk teknik ini, anda boleh sapukan madu secara berlapis pada bahagian kulit yang terbakar. Kemudian, balut bahagian tersebut menggunakan bandage atau apa-apa jenis kain.
Bagi sesetengah orang, mereka tak mahu melepaskan peluang untuk berjemur di bawah matahari bagi mendapatkan kesan terbakar pada kulit. Tetapi jika anda tidak mahukan kesan tersebut, ambil langkah pencegahan awal bagi mengelakkan daripada kulit terbakar.