Selalu dapat panggilan telefon dari ejen insurans, sampai rasa tak nak angkat nombor telefon yang tidak dikenali lagi.
Terpaksa tadah telinga mendengar manfaat dan kebaikan insurans sekian-sekian di telefon, membuatkan diri berasa ingin segera putuskan talian telefon.
Tapi tahukah kamu sebenarnya diri kita memang perlu memiliki insurans, dan ianya tidak boleh dipandang ringan ini yang perlu kamu tahu tentang insurans dan kepentingannya.
Ketahui Jenis-Jenis Insurans
- Foto – Consumer Approach
Di Malaysia kebanyakan ejen insurans akan menawarkan beberapa jenis insurans yang penting untuk kita pilih, setiap insurans yang ditawarkan mengikut keperluan semasa dan pelan jangka masa panjang.
Kalau nak tahu insurans terbahagi kepada dua bahagian iaitu insurans am dan juga insurans hayat, dan dalam dua insurans ini terdiri beberapa pecahan insurans yang perlu kamu tahu.
Insurans Hayat
Insurans hayat dapat memberi perlindungan kepada pemegang polisi untuk kematian, penyakit kritikal, kehilangan upaya danmasuk hospital.
Biasanya tempoh perlindungan adalah lebih daripada setahun dan mempunyai pilihan untuk bayaran premium. Berikut adalah jenis-jenis insuran hayat yang ditawarkan.
- Foto – Investopedia
Insurans Hayat Seumur Hidup
Menawarkan perlindungan sepanjang hayat dan premium dibayar seumur hidup. Wang manfaat dibayar setelah berlaku insiden.
Insurans Bertempoh
Menawarkan perlindungan bagi tempoh terhad sahaja. Wang manfaat dibayar sekiranya berlaku insiden dalam tempoh polisi.
Insurans Endowmen
Menggabungkan perlindungan dan simpanan. Mendapat manfaat tunai pada akhir polisi.
Insurans Pelaburan
Menggabungkan pelaburan dan perlindungan, boleh memilih jenis pelaburan dan jumlah perlindungan premium adalah fleksibel.
Insurans Perubatan Dan Kesihatan
Melindungi kos rawatan perubatan seperti kos di hospital dan pembedahan.
Insurans Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA)
Premium cuma dibayar sekali dan jumlah perlindungan mengikut baki pinjaman. Melepaskan hak milik hartanah kepada kamu sekiranya berlaku insiden.
Insurans Am
Bagi insurans am pula, ia mempunyai polisi untuk melindungi kerugian yang disebabkan oleh kecurian, kerosakan barangan peribadi, kerosakan barangan pihak ketiga, kematian, kecederaan pihak ketiga yang melibatkan kos hospital.
Biasanya tempoh insurans am ini adalah setahun, dan pembayaran premium di buat setahun sekali sahaja. Berikut adalah jenis-jenis insurans am yang ditawarkan
- Foto – Investopedia
Insurans Motor
Melindungi kenderaan daripada risiko kecurian, kemalangan atau kebakaran, dan jika membeli perlindungan pihak ketiga, kamu akan dilindungi daripada tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga seperti kecederaan, kematian, kerugian atau kerosakan.
Insurans Kediaman
Insurans ini mempunyai polisi kebakaran bagi melindungi kediaman akibat kebakaran, kilat atau letupan. Selain itu terdapat juga polisi kerugian atau kerosakan akibat banjir, paip pecah dan polisi isi rumah bagi melindungi barangan dalam rumah.
Insurans Perjalanan
Insurans ini perlu dibeli sekiranya kamu pergi luar negara, ia bertujuan untuk melindungi diri dari insiden dalam perjalanan seperti kemalangan diri, kelewatan perjalanan, kehilangan bagasi, belanja perubatan dan lain-lain.
Insurans Barangan Peribadi
Insurans ini bertujuan bagi melindungi barangan peribadi seperti komputer, telefon bimbit dan kamera akibat kehilangan atau kecurian.
Pilih Insurans Mengikut Kepentingan Dan Keperluan
Kamu mungkin berfikir dalam usia diri yang masih belia dan gagah, tidak perlu memiliki sebarang insurans untuk perlindungan.
Tetapi sebenarnya makin meningkat usia, lagi penting untuk kamu miliki insurans sebagai pelindungan diri, bukan kamu saja kena ada insurans ahli keluarga kamu juga perlu ada untuk perlindungan di masa akan datang.
- Foto – Buro Malaysia
Mungkin buat masa yang getir ini kamu boleh fokuskan untuk mendapat insurans perubatan dan kesihatan sebagai pelindungan kesihatan, apatah lagi dengan penularan pandemik ketika ini semakin menjadi-jadi.
Dan juga insurans endowmen atau pelaburan, bagi membantu kamu di masa akan datang jika terdapat kekangan dan masalah kewangan.
Jangan Tunggu Dah Berlaku Insiden Baru Nak Cari Insurans
Biasanya bila dah berlaku kemalangan barulah orang ramai nak mencari insurans sebagai pelindungan diri, dan mula menyesali serta menyoalkan kenapa dari awal dahulu tidak mengambil sebarang insurans.
Ini antara sebab kenapa pentingnya insurans dalam kehidupan kamu dan juga keluarga kamu.
- Dapat melindungi diri dan keluarga dari terpaksa menjelaskan kos perubatan yang mahal di hospital.
- Dapat membuat persedian jika berlaku insiden yang tidak diingini.
- Dapat melindungi harta benda
- Dapat mengurus pembiayaan pembelajaran anak dengan lancar.
- Dapat melancong dengan senang hati dan tanpa risau.
- Dapat memberi bantuan jika berlaku masalah kewangan.
- Foto – Arkib Wanista
Pendek kata, banyak lagi manfaat dan kebaikan yang kamu dapat untuk jangka masa panjang nanti, jika kamu ambil insurans dari sekarang.
Selepas ini jika kamu mendapat panggilan telefon dari orang insurans, mungkin kamu boleh fikirkan dulu kebaikan dan manfaat yang bakal diperolehi untuk jangka masa panjang nanti.