Bagi pasangan yang sudah berkahwin, perkara yang penting untuk hubungan yang kekal adalah kebahagiaan dan kejujuran. Dalam sebuah rumah tangga, persefahaman yang baik dan tolak ansur boleh mengeratkan lagi perhubungan tersebut.
Bagi seorang isteri, akan ada masa kita merungut tentang perihal si suami, tetapi pernahkah anda terfikir si suami pernah merungut tentang kita? Mungkin ada cuma, si isteri sahaja yang tidak tahu.
Selain inginkan si suami yang memahami kita dan bertolak ansur, cuba kamu pula yang lakukan hal itu. Cuba untuk memahami dan tarik perhatian si suami untuk membuatkan si dia bertambah sayang.
Bukan apa, tidak rugi untuk mencuba kerana mana tahu kalau kamu tiada, perkara yang dilakukan oleh kamu itu membuatkan si suami rindu akan kamu. Tak salah mencuba untuk kebahagian rumah tangga.
Jadi ini adalah beberapa perkara yang kamu boleh menarik perhatian si suami dan buatkan si dia sentiasa teringat dan merindui kamu.
Sambut Ketika Pulang Dari Kerja
Paling disukai oleh setiap suami. Cubalah kamu tanya adakah si suami suka kalau kamu menyambutnya di hadapan pintu, dan si dia pasti mengatakan ya.
Si suami yang letih daripada kerja akan kelihatan segar dan gembira apabila melihat isterinya menunggu kepulangannya di hadapan pintu. Jika si isteri tidak bekerja, mudahlah untuk kamu menyediakan minuman petang dan memasak makanan kegemaran si suami.
Bagi isteri yang bekerja, kamu boleh telefon atau mesej si suami untuk bertanyakan tentang waktu pulang kerjanya. Dalam masa yang sama, kamu boleh bertanyakan apa yang si suami mahu makan atau kamu boleh membelinya ketika perjalanan pulang.
Jaga Penampilan Diri
Sebagai seorang wanita sama ada belum berkahwin atau sudah berkahwin, menjaga penampilan ini sangat penting dalam kehidupan kita. Bagi yang sudah berkahwin, tidak ada masalah untuk mengambil sedikit masa bagi mencantikkan diri kamu.
Apabila si suami melihat isterinya kelihatan kemas dan cantik, pasti si suami berasa lebih gembira dan bersyukur menjadikan kamu sebagai peneman hidupnya. Walaupun duduk di rumah, kamu juga boleh gunakan pelembap bibir yang berwarna dan bedak asas.
Kurangkan memakai baju kelawar tetapi cuba untuk pakai baju yang nampak bergaya walaupun hanya duduk di rumah. Tak salah kalau meminta wang belanja daripada si suami untuk mencantikkan diri kerana seorang isteri adalah investment si suami.
Jaga Penampilan Si Suami
Tak ramai lelaki yang tahu untuk menjaga penampilan diri mereka. Mereka sangat beruntung kalau dijodohkan dengan isteri yang pandai dan mengambil berat akan penampilan mereka.
Buat isteri yang suka memilih gaya dan menggayakan suami, si suami pasti berasa beruntung kerana mempunyai seseorang yang mengambil berat tentang penampilannya.
Berikan pendapat kamu tentang apa yang patut dipakai dan tak patut dipakai dan jangan tidak mengendahkan pendapat si suami.
Kemas Tempat Tidur
Highlight kepada rumah tangga. Tempat tidur yang kemas dan bersih mencerminkan pasangan tersebut. Jika boleh kemas tempat tidur kamu dan pasangan setiap pagi. Dan cuba untuk tukar cadar setiap tiga kali seminggu.
Selepas berkahwin dan berkeluarga, ruang bilik tidur adalah tempat privasi untuk suami isteri. Jika kamu mempunyai anak, pastikan anak-anak kamu tidur di bilik masing-masing dan jangan bermain dalam bilik tidur kamu.
Menjadi Pendengar Yang Setia
Setiap suami memerlukan seorang isteri yang mendengar dengan setia. Kadang kala si suami ini bukan mahu merungut atau bergosip tetapi hanya ingin meluahkan apa yang dipendamnya sama ada tentang kerja atau rakan-rakannya.
Sebagai seorang isteri, kamu jangan pula menyampuk dan memberikan pendapat jika tidak diminta. Jika kamu cuba menyampuk luahan si suami, jangan tertanya-tanya kenapa si suami tidak bercerita lagi kepada kamu selepas ini.
Ucap Terima Kasih
Tak salah sama ada suami atau isteri mengucapkan terima kasih. Bagi si isteri, kamu perlu ucapkan terima kasih kepada si suami, tak kiralah apa yang diberikan atau dilakukannya.
Dengan ucapan terima kasih ini, si suami merasakan kamu menghargainya malah rasa sayang makin kuat di antara kamu. Jika kamu selalu ucapkan terima kasih, jangan terkejut kalau si suami sering berikan sesuatu kepada kamu selepas ini.
Bermanja Dengan Si Suami
Apa yang dicari oleh suami ialah manja seorang isteri. Ada perbezaan antara manja dan mengada. Kamu boleh bermanja-manja dengan si suami tetapi jangalah sampai si suami suruh kamu berhenti kerana rimas.
Kalau nak bermanja, kamu boleh ucapkan kata-kata yang romantis, memeluk si suami atau melayan kehendaknya. Bila kamu tidak lakukan perkara ini, si suami pasti akan meminta kamu lakukannya dan ini menunjukkan si suami rindukan kamu.
Tak susah kan nak buat perkara ini? Bukan sahaja buatkan si suami makin sayangkan kamu, malah jika kamu skip salah satu daripada ini pasti buatkan si suami merinduinya. Selamat beramal!