Bila buka baju dan tengok dekat cermin, mula nampak bintik-bintik merah dekat badan. Apa sebenarnya bintik-bintik merah ini? Kenapa bintik ini timbul pada badan? Macam-macam persoalan yang timbul.
Disebut sebagai cherry angiomas, bintik-bintik merah ini selalunya akan timbul di permukaan kulit pada bahagian dada, perut dan belakang badan. Bintik merah ini tidak akan membuatkan kamu rasa sakit tetapi ianya boleh berdarah jika terkena kuku atau digaru.
Kebiasaannya, doktor akan menyuruh kamu untuk membiarkannya kerana tidak bahaya. Tapi jika kamu tidak selesa akan penampilan bintik merah di badan, rawatan laser boleh membantu untuk hilangkannya.
Untuk mereka yang mempunyai bintik-bintik merah atau cherry angiomas pada badan, mesti tertanya-tanya bagaimana ia terjadi dan apa penyebabnya?
Apa Sebenarnya Cherry Angiomas?
Boleh terjadi di kebanyakan kawasan pada badan, ia sebenarnya bukan kanser dan cherry angiomas ini terjadi disebabkan oleh saluran darah. Berbentuk seperti tahi lalat, ia mempunyai tiga jenis angioma iaitu:
Cherry Angiomas
Dipanggil sebagai senile angiomas, Campbell de Morgan spots atau de Morgan spots, angioma ini berbentuk seperti tahi lalat yang berwarna merah, ianya tidak bahaya dan tidak sakit.
Cherry angiomas ini sering muncul pada bahagian dada, perut dan pada bahagian lengan dan belakang badan.
Spider Angiomas
Mempunyai pusat titik merah dan kumpulan saluran darah yang melebar di sekelilingnya seperti seekor labah-labah pada bahagian dada dan muka.
Spider angiomas ini sering terjadi dalam kalangan kanak-kanak, mereka yang mempunyai penyakit hati, wanita mengandung yang mengambil pil kawalan kelahiran.
Venous Lakes
Angioma jenis ini sering muncul pada bahagian bibir dan telinga. Warnanya pula pada kebiasaannya akan menjadi kebiruan tetapi boleh sahaja menjadi warna merah atau ungu.
Venous lakes ini selalunya berlaku pada lelaki yang telah berumur 65 tahun dan ke atas yang sering terdedah kepada cahaya matahari.
Bentuk, Saiz & Warna
Cherry angiomas ini adalah angioma yang biasa sahaja di mana ia tidak berbahaya dan bukannya sel kanser. Berukuran sebesar pinhead iaitu sekitar 1/4 inci.
Mempunyai bentuk sama seperti tahi lalat tetapi ianya berbeza dari segi warna. Pada kebiasaannya ia berwarna merah terang seperti ceri, ada juga individu yang mempunyai warna kebiruan, ungu dan warna hampir kehitaman.
Bagi sesetengah orang, mereka akan mempunyai cherry angiomas yang tunggal, dan ada jugak yang mempunyai sekelompok angioma malah ratusan pun turut ada.
Seiring dengan pertambahan usia, cherry angiomas ini selalunya akan bertambah dari segi saiznya dan bilangan selepas seseorang itu berusia 40 tahun dan lebih.
Penyebab
Tiada penyebab spesifik, tetapi menurut Medline Plus, cherry angiomas ini boleh diwarisi dalam keturunan.
Selain itu, beberapa penyebab ini mungkin boleh menyebabkan seseorang itu mempunyai cherry angiomas;
- Umur – Bagi mereka yang berusia lebih daripada 30 tahun, bilangan cherry angiomas akan meningkat serta kajian yang dilakukan menunjukkan sebanyak 75% individu berusia lebih 75 tahun mempunyai angioma ini.
- Keadaan – Individu yang mempunyai tahap kolestrol yang tinggi berkemungkinan mempunyai cherry angiomas.
- Kehamilan Dan Penyusuan Badan – Peningkatan prolaktin dapat meningkatkan peluang cherry angiomas terjadi pada wanita.
- Kerosakan Hati Dan Penyakit – Pertambahan bilangan cherry angiomas pada seseorang individu boleh menjadi simptom kepada penyakit dan kerosakan hati.
Rawatan
Walaupun tidak berbahaya dan menyakitkan, doktor tidak menyarankan individu ini untuk membuang cherry angiomas pada badan mereka. Tetapi jika seseorang individu itu tidak selesa akan penampilannya, ada beberapa rawatan yang boleh membantu mereka.
- Electrocauterization
Kaedah ini melibatkan pembakaran angioma menggunakan arus elektrik melalui probe kecil.
Untuk menjalani prosedur ini, doktor akan meletakkan grounding pad pada badan untuk mengelakkan daripada terkena kesan arus elektrik yang dapat membahayakan kamu.
- Cryrosurgery
Kaedah yang mudah dan cepat ini melibatkan pembekuan pada angioma dengan bantuan daripada nitrogen cair.
Sekitar 10 saat sahaja dengan hanya satu sesi, cherry angioma boleh dihilangkan dengan tahap kesejukan yang melampau daripada nitrogen cair.
- Pembedahan Laser
Menggunakan Pulsed Dye Laser (PDL), ia adalah laser kuning pekat yang mengeluarkan haba yang cukup untuk membuang angioma tersebut.
Bergantung kepada jumlah angioma seseorang individu itu ada, kadang kala rawatan ini memerlukan sehingga tiga sesi sahaja dan boleh menyebabkan lebam yang sedikit selepas pembedahan.
- Shave Excision
Rawatan ini hanya melibatkan pencukuran pada bahagian atas kulit sahaja, shave excision ini adalah alternatif yang melibatkan jahitan dan luka.
- Rawatan Di Rumah
Untuk mereka yang ingin melakukan rawatan di rumah tanpa pengawasan doktor, jangan lakukan sebaliknya dapatkan nasihat daripada doktor.
Walaupun tidak berbahaya dan bukannya sel kanser, doktor perlu mengesahkan sama ada ianya cherry angiomas atau lesion yang memerlukan pemerhatian daripada pakar.
Jika kamu tetap melakukannya, ia boleh menyebabkan jangkitan dan menyakitkan serta parut pada badan. Untuk mereka yang ingin merawat di rumah, jangan lakukannya tetapi lebih baik segera berjumpa dan dapatkan nasihat daripada doktor.
Walaupun bentuk cherry angiomas ini seperti tahi lalat berwarna merah yang terjadi disebabkan oleh saluran darah kecil atau kapilari, tetapi ianya adalah jenis benign tumor yang tidak berbahaya.
Jarang terjadi pada kanak-kanak, tetapi jika kamu mempunyainya, percayalah ianya hanyalah berkait dengan usia yang semakin meningkat dan sebagai tanda-tanda penuaan.