Sudah menjadi pantang larang bagi wanita yang datang haid tidak boleh melawat Taman Negara Komodo yang terletak di Indonesia. Agak-agaknya kenapa?
Bagi rangers yang berada di sana, mereka akan melarang wanita yang datang haid untuk mengunjungi taman negara tersebut kerana haiwan ini sangat sensitif dan boleh menjadi pemangsa.
Biawak komodo ini sangat sensitif pada bau darah manusia, tambah-tambah lagi darah haid. Dikatakan mempunyai deria bau yang sensitif, haiwan ini mampu menghidu darah sejauh 10 kilometer.
Jika tidak berhati-hati, bau darah haid tersebut akan dapat menarik perhatian dan menjadikan kamu sebagai mangsanya.
Bahaya yang terdapat pada biawak komodo ini adalah air liurnya mengandungi lebih daripada 50 jenis bakteria yang boleh membawa maut dalam sekelip mata kepada mereka yang digigitnya.
Haiwan ini juga mampu untuk makan apa sahaja termasuklah haiwan yang kecil dan besar seperti kerbau, rusa malah manusia. Biawak komodo ini juga mampu berlari sejauh 15km per sejam untuk mengejar mangsanya.
Biawak komodo ini sebenarnya tidak agresif, mereka hanya menyerang apabila berasa terancam. Apabila ia menyerang, haiwan ini tidak makan secara terus tetapi menunggu mangsanya menjadi bangkai.
Jadi tidak hairanlah jika haiwan ini tertarik pada bau darah yang tidak segar seperti darah haid.
Jika kamu ke taman negara tersebut, rangers akan memberikan beberapa kayu sebagai alat untuk menghalang haiwan ini daripada mendekati. Hanya pukul pada bahagian hidung sahaja dan lebih banyak kayu, lebih selamat untuk kamu.
Taman negara ini tidak mempunyai akses tempat penginapan untuk para pelancong kerana ia merupakan lokasi biawak komodo untuk bergerak bebas dalam kawasan mereka.
Bagi kamu yang ingin mengunjungi Taman Negara Komodo ini, ada beberapa pantang larang selain wanita datang haid yang perlu dipatuhi:
Tidak Pergi Secara Bersendirian
Jangan sesekali cuba pergi ke taman negara ini secara bersendirian. Jika kamu mahu mengunjunginya, pergi dalam bentuk kumpulan dan mempunyai pengawasan rangers yang berlesen.
Penting juga untuk kamu tahu trekking path yang dibina oleh rangers kerana jika kamu tidak mengikutinya, berkemungkinan kamu akan berjalan dalam laluan biawak komodo.
Jaga Jarak
Pernah dalam satu kejadian yang telah terjadi, pelacong daripada Singapura telah digigit oleh biawak komodo ini kerana usahanya untuk menangkap gambar dalam jarak yang dekat.
Jadi apabila rangers kamu memberitahu tentang penjagaan jarak dengan haiwan tersebut, jangan abaikannya kerana ia adalah untuk keselamatan kamu.
Apabila berada dalam kawasan yang mempunyai biawak komodo, jangan melakukan pergerakkan secara tiba-tiba kerana ia akan dianggap sebagai ancaman dan boleh membuatkan haiwan ini menyerang kamu.
Berlari Dalam Corak ZigZag & Cari Rumah Berpagar
Jika kamu diserang oleh biawak komodo, cuba untuk lari dalam keadaan corak zigzag kerana haiwan ini mampu berlari dalam keadaan lurus dan gerakan tersebut boleh mengelirukannya.
Dan sekiranya kamu melihat rumah yang berpagar dan mempunyai tangga, segera naik ke atasnya kerana haiwan ini tidak boleh memanjat. Tetapi elakkan daripada memanjat pokok kerana biawak komodo yang muda boleh memanjat untuk menyerang kamu.
Jika kamu ingin mengunjungi taman negara itu juga, sila beritahu rangers sebelum bertolak agar mereka dapat mengawal keadaan dan mengelakkan beberapa perkara daripada terjadi.