Buat peminat buah strawberi dan madu, sedap bukan kalau makan kedua-dua makanan ini secara serentak?
Selain ia memberikan kesedapan ketika makan, ternyata buah strawberi dan madu juga memberikan pelbagai manfaat kepada badan terutamanya kulit kamu!
Buah strawberi yang terkenal sebagai salah satu buah yang kaya dengan antioksidan dan madu pula bertindak sebagai agen anti penuaan. Dan paling mengejutkan gabungan kedua-dua ini sebenarnya boleh mematikan jerawat.
Bagaimana kedua-kedua gabungan ini boleh mematikan jerawat? Adakah makan atau jadikan jus? Kalau kamu nak tahu, teruskan membaca!
MANFAAT MADU
#1 Melembapkan Kulit
Kebanyakkan produk penjagaan kulit mahupun kecantikan akan menggunakan madu sebagai bahan asasnya.
Ini kerana madu dapat melembapkan kulit wajah dari dalam. Enzim yang terdapat dalam madu membuatkan ia mampu meresap ke dalam kulit sambil melembutkan serta menganjalkannya.
#2 Bertindak Sebagai Anti Penuaan
Antioksidan semula jadi yang terkandung dalam madu dapat membantu wajah kamu mengawal kedutan dan garis-garis halus. Pada masa yang sama, ia juga bertindak mengawal radikal bebas yang dapat mengelakkan proses penuaan daripada berlaku.
Selain itu, madu juga dapat membantu kulit wajah kamu mencegah dan meredakan keradangan serta alergi yang membuatkan kulit kamu lebih teruk dan mudah rosak.
#3 Mempercepatkan Penyembuhan Luka
Jika wajah kamu mempunyai luka atau parut akibat jerawat, jangan risau kerana madu dapat mempercepatkan proses penyembuhan luka dan menghilangkan parut pada wajah.
Madu bertindak membunuh bakteria, membuang sel kulit mati dan merangsang pembentukan kulit baru di wajah bagi menutup luka yang terjadi.
#4 Mencegah Dan Mematikan Jerawat
Madu yang terkenal sebagai salah satu agen dalam membunuh dan mencegah jerawat daripada terbentuk pada wajah.
Untuk pengetahuan kamu, madu mempunyai sifat anti bakteria dan anti radang yang dapat membuang lebihan minyak daripada kulit wajah. Selain itu, ia juga dapat membersihkan liang pori daripada tersumbat untuk mengelakkan pembentukan jerawat pada wajah.
MANFAAT BUAH STRAWBERI
#1 Melindungi Kulit Daripada Sinaran UV
Ellagic acid iaitu anti oksidan sangat bermanfaat dalam melindungi kulit daripada sinaran UV yang berbahaya.
Kajian yang dilakukan oleh universiti di Korea telah mendapati tikus yang terdedah kepada sinaran UV menunjukkan pengurangan kedutan selepas diberi ellagic acid berbeza dengan tikus yang tidak diberikan rawatan.
#2 Mengurangkan Kulit Berminyak
Kaya dengan Vitamin C, buah strawberi sering digunakan dalam produk penjagaan muka dan kecantikan bagi mengurangkan kulit daripada berminyak secara berlebihan.
Buah strawberi yang mempunyai sifat berasid ini berkesan dalam menghilangkan lebihan sebum yang terbentuk pada wajah serta menyuburkan dan membuatkan kulit kamu kelihatan lebih glowing!
#3 Mencerahkan Kulit
Jus buah strawberi sangat berkesan dalam menghilangkan parut jerawat dan mencerahkan kulit. Mengandungi ekstrak pencerah kulit dan ellagic acid, buah strawberi juga berfungsi dalam mengurangkan pembentukan bintik gelap pada kulit.
#4 Agen Anti Penuaan
Kaya dengan ellagic acid iaitu anti oksidan yang berfungsi dalam mencegah pemusnahan kolagen di mana ia membuatkan proses penuaan pada wajah kamu berlaku dengan cepat.
Ellagic acid mempunyai kesan photoprotective yang melawan kerosakan sinaran UV pada wajah. Jadi buah strawberi ini sangat bagus dalam mencegah penuaan yang terbentuk pada wajah dan memberikan kesan wajah yang sihat dan lembut.
Topeng Muka Buah Strawberi + Madu
Untuk kamu yang mahukan manfaat daripada buah strawberi dan madu, kamu boleh gabungkan kedua-dua bahan ini dan jadikannya sebagai topeng muka.
Bahan-bahan:
- Buah strawberi (3 biji sehingga 5 biji)
- Madu (1 sudu makan)
Cara penyedian:
- Basuh buah strawberi tersebut dan letak dalam sebuah mangkuk.
- Hancurkan buah strawberi sehingga menjadi pes.
- Kemudian, letakkan satu sudu makan madu dan gaul sehingga sebati.
- Setelah selesai, sapu di seluruh permukaan muka dan biarkan selama 15 minit.
- Kemudian, cuci sehingga bersih menggunakan air suam.
- Lakukan sebanyak 1 sehingga 2 kali seminggu.
Kalau kamu perasan, buah strawberi dan madu sering digunakan dalam kebanyakkan produk penjagaan kulit malah kecantikan. Jadi untuk mereka yang ingin mematikan jerawat dalam masa semalaman, jangan lupa untuk diy face mask di rumah.
Selamat mencuba!