“Eee, kenapa badan kau ada bintik-bintik putih?”
Ramai yang ingat bintik-bintik putih di badan terjadi disebabkan genetik. Kalau kamu fikir macam ini, sebenarnya salah sama sekali!
Kebanyakkan individu yang ada panau ini tinggal di kawasan tropikal, sub-tropikal atau seorang yang jenis kuat berpeluh dan memiliki imuniti yang rendah.
Sudah ada panau di badan mulalah rasa tidak berkeyakinan. Jadi apa agaknya cara yang terbaik untuk hilangkan panau ini?
Jangkitan Kulat?
Keadaan ini dipanggil sebagai panau atau bahasa saintifiknya adalah Tinea Veriscolor.
Kalau kamu mahu tahu, panau ini terjadi apabila seseorang individu itu terkena dengan jangkitan kulat seperti genus Malassezia.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan panas dan lembap, potensi untuk mendapat panau ini sangatlah tinggi.
“Oh! Patutlah kebanyakkan orang di Malaysia ada panau di badan mereka”
Ya betul! Seperti di Malaysia, kamu boleh lihat iklim negara kita yang panas dan lembap boleh membuatkan seseorang itu berpeluh seperti baru lepas mandi.
Tetapi bukan disebabkan kelembapan di badan dan cuaca sahaja boleh jadi salah satu puncanya, malah mereka yang mempunyai imuniti yang rendah juga boleh dapat panau.
Panau ini boleh dikatakan sebagai ‘normal’ tetapi untuk beberapa situasi tertentu, ia boleh menjadi tidak terkawal dan membentuk hampir di setiap bahagian badan.
Penyebab Panau
Selain cuaca dan iklim yang menjadi peranan penting dalam pembentukan panau, ada juga beberapa penyebab lain seperti:
- Kulit berminyak
- Peluh berlebihan
- Penggunaan steroid
- Sistem imun yang lemah
- Kelenjar adrenal dibuang
- Tidak jaga kebersihan diri
- Cuaca (panas dan lembap)
- Memakai pakaian yang basah dan lembap
Kalau kamu mahu tengok panau ini muncul di bahagian mana, ia sering berada di kawasan muka, leher, kulit kepala, dada dan kebiasaannya belakang badan kamu.
Bentuk Panau
Kalau orang-orang dulu, mereka akan panggil panau ini sebagai peta kerana bentuknya mirip seperti itu.
Berbentuk bulat, berbintik dan bertompok seolah-olah sama seperti peta. Panau ini juga mempunyai kepelbagaian warna. Ada yang putih, ada yang coklat gelap, kelabu, malah pink pun ada!
Untuk pengetahuan kamu, kulat ini menghasilkan bahan kimia di badan untuk menghalang fungsi normal sel pigmen iaitu melanin. Apabila ia mula terhalang, terjadilah perubahan warna kulit akibat panau ini.
Cara Rawatan
Sebenarnya tidak perlu risau dan runsing jika kamu rasakan panau ini akan kekal. Setiap perkara yang terjadi pasti ada jalan penyelesaiannya, sama juga seperti situasi ini.
Kamu boleh menggunakan beberapa ubat-ubatan seperti:
- Losyen 2.5% Selenium Sulphide
- Propylene Ointment
- Whitfield’s Ointment
- Krim Terbinafine
- Kumpulan Azole (Clotrimazole/Miconazole/Ketoconazole/Econazole/Tioconazole)
Selain makan ubat-ubatan, kamu juga boleh rawat panau seperti ini;
Bawang Putih
Bersifat anti-kulat, kamu hanya perlu ambik beberapa ulas bawang putih. Kemudian sapu di bahagian yang dijangkiti atau kamu juga boleh makan bawang putih ini secara mentah.
Yogurt
Jadikan sebagai masker, ambil yogurt dan sapu secara rata di permukaan yang dijangkiti. Biarkan sehingga kering dan basuh menggunakan air suam. Kalau kamu mahu tahu, yogurt ini adalah agen yang efektif dalam mematikan kulat.
Mentega + Serbuk Kunyit + Serbuk Cendana
Selain boleh menjaga dan merawat kulit, campuran bahan-bahan ini juga boleh menghilangkan panau dia badan.
Caranya, kamu hanya campurkan ketiga-tiga bahan ini untuk dijadikan seperti masker. Kemudian sapu secara rata di tempat yang dijangkiti kulat.
Limau + Kapur
Mampu neutralkan kembali kadar pH kulit, limau dan kapur ini adalah bahan yang bersifat alkali. Kamu hanya perlu perahkan limau pada kapur dan campuran tersebut diletakkan di kawasan panau.
Jaga Kebersihan Diri
Bukan bermaksud mereka yang ada panau ini malas menjaga kebersihan diri. Mereka yang mempunyai panau memerlukan penjagaan kebersihan diri sebanyak dua kali ganda berbanding dengan orang biasa.
Kalau kamu seorang yang kuat berpeluh, mandi dengan kerap kerana ia boleh menghalang pertumbuhan kulat pada kulit.
Jangan risau jika ada yang ‘geli’ lihat panau. Keadaan ini normal dan boleh dihilangkan jika kamu konsisten dalam merawatnya. Selamat beramal!