Pertama di dunia, siapa sangka jenama Perancis yang terkenal ini boleh beralih kepada dunia masakan pula.
Louis Vuitton yang terkenal dalam dunia fesyen dan menjual barangan mewah telah membuka kafe dan restoran pertamanya yang terletak di Osaka, Jepun.
Dibuka pada bulan Februari 2020, pasti kamu pun boleh keras seperti patung selepas melihat kafe dan restoran yang sangat cantik ini!
Le Café V, Gabungan Kafe Dan Restoran
Terletak di bahagian atas butik utama, Le Café V ini merangkumi teres luar yang menyediakan tempat duduk untuk para pelanggan menikmati minuman mereka sambil melihat pemandangan luar.
Manakala di bahagian dalam pula, kamu boleh melihat pihak Le Café V telah menyediakan bar koktel serta tempat duduk yang berbentuk bujur iaitu Cocoon Room yang nampak sangat selesa dan santai untuk para pelanggan.
Di sebalik pintu speakeasy-style, terletaknya sebuah restoran yang menampakkan konsep dapur terbuka bagi para pelanggan menikmati makan malam yang disediakan oleh chef khas yang membuatkan momen itu lebih istimewa dan berharga.
Sugalabo V, Restoran Dapur Terbuka
Hanya beroperasi ketika waktu makan malam sahaja, Sugalabo V menyajikan makanan yang mempunyai gabungan Jepun dan Perancis hasil tangan chef Jepun yang terkenal iaitu Yosuke Suga.
Menggunakan konsep dapur terbuka, pelanggan boleh memilih untuk berada di tempat duduk biasa atau berada di kaunter untuk menikmati hidangan makan malam sambil melihat chef menyediakan makanan.
Jika kamu lihat susun atur dan reka bentuk restoran ini, mesti kamu akan berasa sangat tergamam. Bukan apa, persekitarannya memberikan kamu pengalaman makan malam yang lebih private dan istimewa.
Sebelum Makan Di Restoran, Tempah Dulu
Sekiranya kamu berminat untuk menikmati makanan di restoran ini, kamu perlu tempah terlebih dahulu.
Restoran ini hanya menyediakan bilangan tempat duduk yang terhad iaitu sebanyak 24 kerusi tempat duduk sahaja. Jadi kalau kamu mahu berkunjung ke restoran ini, pastikan membuat tempahan lebih awal.
Walau bagaimanapun, kafe dan beberapa tingkat lain butik ini boleh diakses oleh orang ramai tanpa perlu membuat tempahan.
Sangat unik apabila jenama terkenal ini mengambil keputusan untuk membuka kafe dan restoran yang berada dalam butik yang sama. Selepas penat berbelanja, bolehlah kamu menikmati makan malam di restorannya.