Limau gedang atau popular dikenali sebagai grapefruit adalah buah sitrus yang mempunyai kandungan air yang paling tinggi sebanyak 92% berbanding dengan buah-buahan yang lain.
Kalau kamu mahu tahu, limau gedang ini adalah buah yang dikacuk daripada limau bali dan buah oren. Dan rasanya sedikit masam dan pahit tetapi ada juga yang rasa manis seperti gula.
Mengandungi Vitamin C, citric acid, gula semula jadi dan pelbagai nutrien yang lain, limau gedang ini sangat berkhasiat dan memberikan pelbagai manfaat pada kesihatan kamu.
Kalau kamu tahu apakah manfaat yang boleh diperolehi, pasti kamu tidak akan skip untuk mengambilnya.
Turunkan Berat Badan
Berat badan boleh diturunkan dengan lebih efektif apabila kamu mengambilnya ketika sarapan pagi. Mengandungi pelbagai jenis serat, limau gedang boleh membuatkan kamu berasa lebih cepat kenyang dalam tempoh yang lama.
Jika kamu mahu pelbagaikan cara pemakanan limau gedang ini, kamu boleh campurkannya dengan bahan-bahan lain untuk dijadikan sebagai salad, smoothies mahupun makan bersama yogurt asli.
Tingkatkan Pembentukan Kolagen
Mengandungi kandungan Vitamin A dan C yang tinggi, limau gedang ini dapat membantu meningkatkan pembentukan kolagen dalam badan.
Hasilnya, kamu boleh mendapatkan kulit yang lebih muda, tegang, cantik disebabkan oleh peningkatan kolagen dalam badan. Selain itu, kamu juga boleh atasi tanda-tanda penuaan dan membuatkan kulit menjadi lebih anjal secara semula jadi.
Memudahkan Proses Pencernaan
Sebenarnya ada orang yang sering sembelit tidak kira lapisan umur. Apabila mengalami situasi begini, mereka akan menghadapi kesukaran untuk mencerna dengan normal.
Bagi menyelesaikan masalah ini, kamu boleh memakan limau gedang setiap hari. Ini kerana buah tersebut dapat merangsang pencernaan dengan cara tingkatkan pengaliran cecair gastrik dalam perut.
Semasa makan limau gedang itu, jangan buang kesemua tisu kulit luar buah yang berwarna putih kerana ia merupakan serat tambahan yang dapat membantu dalam pergerakan usus bagi proses mencerna.
Bengkak Kaki Ketika Hamil Dapat Dikurangkan
Tidak dinafikan ketika hamil, kebanyakan wanita akan mengalami bengkak-bengkak pada kaki mereka. Untuk kurangkan bengkak pada kaki, wanita hamil boleh amalkan untuk makan limau gedang.
Ini kerana limau gedang yang mengandungi bioflavonoid dan Vitamin C dapat membantu mengurangkan air yang tertahan di dalam badan dan kaki sepanjang hamil. Jika sering dijadikan amalan, tidak mustahil bengkak kaki dapat disurutkan.
Pelbagaikan Cara Makan Limau Gedang Dengan 3 Resepi Ini
Resepi 1: Kek Vanila Limau Gedang
(A) Bahan Kek:
- Parutan kulit limau gedang (1 biji)
- Gula (1 cawan)
- Telur (3 biji)
- Buttermilk (1/2 cawan)
- Jus limau gedang (1/2 cawan)
- Esen vanila (1 sudu besar)
- Tepung (1 3/4 cawan)
- Baking powder (1/2 sudu makan)
- Baking Soda (1 1/2 sudu makan)
- Serbuk vanila (1/2 sudu makan)
- Garam laut (1/4 sudu makan)
- Poppy seed (1 sudu makan)
- Minyak masak (2/3 cawan)
(B) Bahan Glaze Limau Gedang
- Gula serbuk (1/2 cawan)
- Serbuk vanila (1/4 sudu makan)
- Jus limau gedang (2 sudu makan)
Cara-caranya:
(A) Kek:
- Ambil satu mangkuk kecil dan gaulkan gula serta parutan limau gedang.
- Kemudian, pindahkan gaulan tersebut ke dalam mangkuk besar dan campurkan bersama telur, buttermilk, jus limau gedang dan esen vanila.
- Kacau campuran tersebut sehingga sebati.
- Selepas itu, masukkan baking powder, baking soda, serbuk vanila, garam laut dan kacau sehingga sebati.
- Akhir sekali, campurkan poppy seed dan minyak masak. Gaul sehingga sebati.
- Pindahkan campuran tersebut ke dalam baking tray dan bakar selama 1 jam pada suhu 177°C.
(B) Glaze Limau Gedang:
- Menggunakan satu mangkuk, campurkan gula serbuk, serbuk vanila dan jus limau gedang.
- Gaul sehingga ia membentuk cecair yang melekit.
(A) +(B) :
- Selepas kek sudah dibakar dan disejukkan, letakkan di atas pinggan.
- Kemudian, layangkan perlahan-lahan (B) di atas permukaan kek dan sedia untuk dimakan.
Resepi 2: Grapefruit Lemonade
Bahan-bahan:
- Limau gedang (2 biji)
- Sirap maple (3-4 sudu besar)
- Daun pudina
- Air (4-5 cawan)
- Ais
Cara-caranya:
- Potong limau gedang dalam bentuk yang kamu selesa untuk perah.
- Ambil mangkuk dan letakkan penapis di atasnya kemudian perah limau gedang untuk dapatkan jusnya.
- Buang biji limau gedang dalam penapis dan tuangkan pulp ke dalam air.
- Ambil gelas dan isikan dengan ais.
- Masukkan daun pudina mengikut kuantiti kesukaan masing-masing.
- Kemudian, masukkan jus limau gedang dan sirap maple.
- Akhir sekali, masukkan air dan kacau sebelum kamu menikmatinya.
Resepi 3: Gula-Gula Kulit Limau Gedang
Bahan-bahan:
- Kulit limau gedang (4 biji)
- Gula (2 cawan)
- Air
- Serbuk halia (1 sudu makan)
Cara-caranya:
- Kupas limau gedang dan ambil kulitnya.
- Kemudian, potong kulit limau secara memanjang.
- Ambil satu periuk saiz sederhana dan masukkan kulit yang sudah dipotong ke dalamnya dan isi dengan air. Selepas itu, didihkan kulit buah dengan api sederhana.
- Kemudian, ulang semula dengan didihkan kulit buah menggunakan air yang baru sebanyak 5 kali. Untuk didihan kali ke-5, tambahkan 2 cawan gula dan masak selama dua jam. Jika air berkurangan, tambah sedikit air.
- Selepas dua jam, pindahkan kulit yang disaluti dengan gula ke atas rak pengeringan dan biarkan ia mengeras.
- Apabila sudah sejuk dan mengeras, ambil kulit tersebut dan golekkan ke dalam mangkuk berisi 1 cawan gula dan siap!
Terliur rasanya lepas tengok resepi-resepi yang berasaskan limau gedang ini! Kalau kamu mahu mencuba jangan lupa untuk kongsikan bersama Wanista.