Kamu pernah dengar tentang unsur feng shui dalam dekorasi rumah? Jika tidak, kamu boleh pertimbangkannya untuk diterapkan ke dalam rumah.
Amalan zaman Cina kuno ini akan memberi keseimbangan tenaga atau dipanggil sebagai chi melalui pengiraan saintifik. Matlamat utamanya adalah untuk mengundang chi positif ke dalam rumah bagi membuatkan hidup kamu rasa lebih terisi dengan nilai-nilai positif.
Dalam pada masa yang sama, suasana rumah dapat diwujudkan dengan elemen dan tenaga yang positif seperti ketenangan, penyayang, bahagia dan paling penting ia boleh menjadi sokongan secara mental dan fizikal.
Jadi buat kamu yang mahu terapkan unsur ini, pertimbangkan beberapa perkara ini ketika sedang dekorasi rumah.
Laluan Masuk
Paling penting sekali untuk sebuah rumah adalah laluan masuk atau pun pintu utama. Bahagian ini menjadi penting kerana dari situlah pelbagai tenaga akan diserap masuk ke dalam badan dan menentukan mood seseorang itu.
Untuk menerapkan nilai dan tenaga positif, pastikan laluan masuk kamu terang dan paling terang. Ini kerana laluan masuk yang terang dan cerah boleh menimbulkan suasana yang ceria dan gembira.
Manakala laluan masuk yang kelihatan gelap dan suram, ia boleh menerapkan tenaga yang negatif. Sesiapa sahaja yang melaluinya pasti akan terus berubah mood dan tidak bersemangat.
Selain itu, penting untuk tidak membiarkan bahagian ini menjadi serabut dan penuh dengan debu bagi menarik nasib baik serta menjadikan ruangan ini kelihatan sangat mesra.
Dapur
Kalau kamu lihat dapur sekarang, boleh dikatakan sangat canggih dan terkini reka bentuknya mengikut peredaran zaman. Bahagian dapur ini juga turut dikatakan sebagai ‘jantung’ wanita. Dapur yang bersih, luas dan cantik dapat menaikkan mood wanita untuk menyediakan hidangan.
Menurut feng shui, di bahagian ini kamu perlu elakkan untuk meletakkan dua kaunter secara berhadapan. Sebaliknya letakkan kaunter ini secara bersebelahan.
Ini kerana sinki dan dapur memasak yang diletakkan secara bertentangan boleh menimbulkan ketegangan dan konflik dalam keluarga.
Bilik Air
Siapa sangka bilik air boleh menjadi bahagian yang menarik nasib baik dan kekayaan.
Untuk menarik nasib baik dan juga kekayaan, kamu perlu memastikan penutup tandas sentiasa berada dalam keadaan yang tertutup. Pada masa yang sama, pastikan juga pintu tandas sentiasa ditutup selepas menggunakannya.
Jika kamu tidak lakukannya sebegitu, ia boleh menyebabkan tenaga negatif berkeliaran dan boleh ‘mengelilingi’ rumah sekiranya tidak menutup pintu bilik air.
Selain itu, pastikan barang-barang dalam bilik air tidak terlalu banyak. Hanya letakkan beberapa barangan yang penting sahaja seperti berus gigi, ubat gigi, sabun, pencuci muka dan sebagainya.
Bilik Tidur
Part yang paling best untuk deko adalah bilik! Di sinilah kita akan mengeluarkan kembali idea-idea dan gambaran tentang bilik idaman.
Semasa deko bilik, pastikan kamu meletakkan katil secara berhadapan dengan pintu bilik tidur. Untuk pengetahuan kamu, katil yang menghadap pintu bilik ini menunjukkan kedudukan memerintah.
Tidak semestinya kamu perlu meletakkan secara berhadapan. Jika kamu mahu meletakkan di sudut lain juga boleh. Tetapi pastikan pintu bilik boleh dilihat dari arah katil kamu. Atau kamu boleh letakkan cermin besar yang boleh menampakkan katil dan pintu bilik.
Ruang Tamu
Ruang tamu adalah salah satu ruang yang sering menjadi port ahli keluarga untuk luangkan masa bersama-sama atau tetamu yang hadir ke rumah.
Pastikan penggunaan lampu dan dekorasi yang sesuai bagi memberikan mood yang tenang dan ceria kepada setiap orang yang duduk di bahagian ini.
Dalam pada masa yang sama, kamu boleh menggunakan hiasan tanaman di ruangan ini. Menurut feng shui, tanaman yang banyak di sekitar bahagian ini boleh membawa kekayaan, kesegaran dan nasib baik kepada penghuni rumah.
Jadi kalau kamu lihat kembali rumah kamu dan rasakan seperti memerlukan perubahan, pertimbangkan beberapa perkara di atas. Selain menarik tenaga positif ke dalam rumah, kamu juga dapat merawat fizikal dan mental.
Selamat mencuba!