“Pernahkah kamu mencuba ujian keperibadian di internet seperti MBTI?”
Untuk pengetahuan kamu, Myers-Briggs Type Indicator (MBTI) adalah salah satu ujian keperibadian yang sangat popular di seluruh dunia.
Menampilkan 16 jenis keperibadian, laman web syarikat ini dikatakan mempunyai nilai ketepatan dan korelasi ujian semula sebanyak 90%. Di mana ketepatan ini menjadikan ianya sebagai salah satu penilaian keperibadian yang paling tepat dan dipercayai.
Melihatkan perkara itu, kebanyakan penyelidik dan pakar psikologi cuba untuk membongkar bagi mengetahui sama ada MBTI ini sebenarnya tepat atau tidak.
Apa Sebenarnya MBTI?
Untuk pengetahuan kamu, MBTI adalah salah satu ujian penilaian keperibadian dalam membantu individu memahami dengan lebih mendalam tentang diri mereka. Sama ada dari segi cara mereka bekerja, belajar dan bergaul.
Terdiri daripada 93 jenis soalan, keputusan soalan ini akan memberikan jawapan keperibadian yang sesuai mengikut pilihan yang didorong oleh minat, nilai, keperluan dan motivasi.
Selepas selesai menjawab kesemua soalan, ia akan berubah menjadi kod personaliti MBTI, iaitu hasil akhir kepada ujian keperibadian tersebut. Berdasarkan jawapan itu, ia akan menunjukkan keperibadian kamu sebenarnya.
Kenapa Penyelidik Dan Pakar Ragu-Ragu?
Pemahaman sains dan teori menjadi penyebab utama kenapa pakar psikologi tidak mempercayai ujian MBTI ini.
Digelar sebagai sains empirical, ujian MBTI ini dicipta daripada idea yang dikemukan tanpa ujian psikologi. Ianya adalah sebuah idea yang tidak diuji dengan alat yang diiktiraf sebelum menjadikannya sebagai sebuah ‘produk’ komersial.
“Dalam sains sosial, kami menggunakan 4 standard seperti dipercayai, sah, bebas dan komprehensif.
Tetapi ujian MBTI, ianya hanya menggunakan ‘sedikit baik’, ‘baik’, ‘sangat baik’ dan ‘paling baik'”, ujar Adam Grant, Professor Psikologi Universiti Pennsylvania.
Dalam pada masa yang sama, beberapa kajian lain turut dijalankan bagi mempersoalkan tentang kesahihan ujian tersebut. Iaitu kemampuan ujian MBTI dalam menghubungkan jenis ‘personaliti’ individu dengan tepat dalam dunia realiti.
Selain itu, pakar dan penyelidik sering mempersoalkan tentang ketepatan ujian ini kerana apabila individu yang sama menjalani ujian ini secara berkali-kali, ia memberikan keputusan yang berbeza.
Keputusan Ujian Yang Tak Konsisten
Secara teorinya, kebanyakan orang masih menganggap ujian MBTI ini memberikan keputusan yang tepat. Tetapi malangnya, ujian ini sebenarnya memberikan keputusan yang tidak konsisten.
Penyelidik mendapati sebanyak 50% individu yang melakukan ujian semula akan mendapat hasil keputusan yang berbeza-beza berbanding dengan ujian MBTI yang pertama. Keputusan ini tetap berubah walaupun jarak masanya itu hanya sebulan atau beberapa minggu.
Selain itu, ujian MBTI ini tidak tepat kerana beberapa analisis menunjukkan perbezaan yang ketara apabila ia tidak berkesan dalam meramalkan kejayaan seseorang individu dalam pekerjaannya.
Keputusan yang tidak konsisten ini bukan diukur melalui sifat peribadi seseorang, tetapi secara tepatnya keputusan yang berbeza ini disebabkan oleh mood pada masa itu.
Jadi tidak hairanlah kenapa keputusan ujian itu berbeza kerana setiap individu pasti mengalami perubahan mood setiap hari. Dan ianya mempunyai potensi untuk menjawab jawapan yang berbeza-beza.
Bukan Sepenuhnya Ujian MBTI Tidak Berguna
Kebanyakan orang tertarik untuk menduduki ujian keperibadian MBTI ini adalah kerana mereka mempunyai keinginan untuk memahami diri sendiri dan juga orang lain.
Menurut Dr. Ashton iaitu Professor Psikologi di Universiti Brock, Ontario, 4 jenis personaliti yang digunakan dalam MBTI sebenarnya boleh digunakan bagi menggambarkan keperibadian seseorang.
“MBTI boleh menjadi titik permulaan untuk seseorang individu mula memahami dirinya dengan menggunakan alat ini. Ujian ini sebenarnya boleh menjadi salah satu cara untuk seseorang mempraktik dengan lebih terperinci dalam pergaulan dan pemikiran”, ujarnya.
Walaupun kamu menggunakan ujian MBTI ini dengan tujuan untuk memahami diri sendiri dan orang lain, tetapi kamu perlu tahu untuk tidak terlalu bergantung secara 100% terhadap keputusannya.
Apa-apa pun, lebih baik dapatkan nasihat daripada pakar psikologi untuk pemahaman dan maklumat yang tepat.