Setiap ibu bapa mempunyai cara tersendiri untuk menghukum anak-anak mereka. Tidak kiralah anak bergaduh sesama mereka, membuat salah, membuat perangai dan sebagainya.
Boleh dikatakan setiap hukuman ini mampu ‘mendiamkan’ anak dan jadikan mereka berkelakuan dengan baik. Hukuman yang dikenakan oleh ibu bapa ini sebenarnya bertujuan untuk anak-anak mereka tidak mengulangi kesalahan dan juga situasi yang sama.
Tetapi adakah ibu bapa tahu sebenarnya ada beberapa hukuman boleh ‘merosakan’ anak mereka. Berdasarkan kajian yang dilakukan, ada salah satu hukuman yang dapat mendisplinkan anak-anak dengan terbaik.
Digunakan oleh kebanyakan ibu bapa di luar negara, hukuman ‘bucu dinding’ dikatakan lebih efektif dalam membuatkan anak lebih matang dan berdisplin.
Apa Yang Kamu Perlu Tahu?
Untuk pengetahuan kamu, hukuman ‘bucu dinding’ ini adalah salah satu kaedah yang lebih berkesan dan efektif dalam menangani serta mengubah tingkah laku dan displin anak.
Berbanding dengan hukuman rotan, makian dan jeritan oleh ibu bapa, hukuman ini dianggap lebih positif dan mudah membentuk anak-anak.
Semasa menjalankan hukuman ini, ibu bapa perlu memberikan penerangan kepada anak mereka. Mengapa mereka perlu dihukum dan apakah perubahan tingkahlaku yang perlu dipatuhi oleh mereka.
Dengan menjalani hukuman ini, anak-anak akan diasingkan buat sementara waktu semaksimum 15 minit. Melalui kaedah hukuman ini, mereka akan terasing daripada persekitaran yang menyeronokkan. Berdasarkan situasi ini, anak-anak akan lebih memahami salah yang dilakukan dan tidak akan mengulanginya.
Bagaimana Mahu Lakukan Hukuman ‘Bucu Dinding’?
Untuk ibu bapa yang ingin jalankan hukuman ‘bucu dinding’ ini, kamu perlu melakukan beberapa langkah ini supaya anak-anak tidak mengambil mudah dan memahami kenapa hukuman ini dijalankan.
- Berikan arahan dalam situasi yang baik dan lihat reaksi anak. Beritahu mereka untuk berhenti lakukan apa sahaja yang dilakukan dan tunggu tindak balas mereka. Jika mereka berhenti, berikan pujian. Sekiranya tidak, pimpin mereka ke satu ruang yang lapang.
- Terangkan kepada anak mengapa kamu berbuat demikian. Gunakan nada suara yang tenang tetapi mereka tahu kamu bertegas. Jangan berleter atau membebel kerana ia akan membuatkan anak tidak menghiraukan kamu.
- Letak anak kamu di ruang bucu dinding. Jika mereka tidak mahu, beritahu dan tenangkan mereka. Sekiranya mereka mengikut arahan kamu, biarkan mereka tanpa lakukan apa-apa.
- Duduk dan berbincang dengan anak selepas waktu hukuman telah habis. Beritahu mereka tujuan kamu lakukan hukuman ini. Dan sekiranya mereka berkelakuan baik, kamu tidak akan buat begitu.
Adakah Denda Ini Berkesan?
Sesetengah ibu bapa mereka sering mempersoalkan sama ada hukuman ‘bucu dinding’ ini berkesan atau tidak. Bagi mereka, kaedah hukuman ini tidak berkesan dan hanya boleh digunakan untuk jangka masa yang pendek kerana ia tidak berkekalan.
Tetapi hukuman ‘bucu dinding’ ini sesuai dilakukan dan berkesan untuk anak-anak yang mempunyai masalah displin, kekasaran tingkah laku dan tidak mendengar kata. Daripada menyakitkan anak dengan merotan mereka, lebih baik kaedah begini digunakan.
Buat ibu bapa yang menginginkan anak-anak mereka menjalani hukuman tanpa menggunakan rotan atau jeritan, kaedah ini sangat sesuai dilakukan bagi mengajar dan membuatkan anak kamu faham tentang kesalahan mereka.