Hari Kekasih sudah tidak lama lagi. Tinggal beberapa hari sahaja lagi, tetapi yang tak seronoknya sambutan kali ini berlaku ketika negara sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lagi menyedihkan bagi pasangan jarak jauh, kerana sudah semestinya mereka tidak boleh menyambut Hari Kekasih bersama-sama. Tetapi kamu jangan risau! Thanks to teknologi yang semakin maju sekarang ini, kamu dan pasangan boleh menyambutnya secara virtual!
“Biar betul sambut secara virtual? Macam susah saja!”
Sebenarnya tidak susah pun untuk menyambutnya secara virtual. Kamu hanya perlukan rancangkannya dengan teliti dan pastikan pasangan kamu turut mengambil bahagian dalam menjayakan sambutan ini.
Jadi, penulis akan senaraikan beberapa idea yang boleh kamu lakukan dengan pasangan untuk menyambut Hari Kekasih.
Jom ‘Netflix And Chill’?
Best sangat kalau Hari Kekasih akan datang ini kamu dan pasangan berasa selesa di rumah sambil mengikuti siri Netflix kegemaran bersama-sama.
Walaupun kali ini tidak dapat dilakukan secara fizikal, kamu boleh meneruskan ‘tradisi’ ini dengan menonton secara dalam talian.
Pilih satu filem atau rancangan TV kegemaran kamu dan pasangan dengan menggunakan Chrome extension untuk ‘Netflix Party’. Melalui ini, kamu boleh berbual dengan pasangan seolah-olah kamu seperti berada secara bersebelahan.
Untuk pengetahuan kamu, ‘Netflix Party’ ini sering menjadi pilihan bagi pasangan jarak jauh kerana kamu boleh berkomunikasi sama ada melalui percakapan, teks, panggilan video dan sebagainya ketika menonton siri kegemaran atau filem.
Dinner Date Yang Romantik
Tak lengkaplah sambutan Hari Kekasih tanpa makan malam yang romantik sambil melihat pemandangan yang indah bersama si dia. Tetapi macam mana nak makan malam kalau PKP masih dijalankan?
Jangan risau dengan menggunakan panggilan video, kamu boleh ciptakan makan malam yang romantik yang tidak boleh dilupakan.
Rancangkan masa yang sesuai dengan si dia untuk menikmati malam malam sempena sambutan Hari Kekasih dengan selesa melalui panggilan video. Kamu juga boleh memberikan kejutan kepada si dia dengan memesan makanan kegemarannya.
Bagi membuatkan makan malam ini dilihat lebih real, kamu boleh bersiap dan berpakaian dengan kemas seolah-olah seperti mahu keluar dating.
Sediakan Makanan Bersama-Sama
Sekiranya kamu dan pasangan suka memasak bersama-sama, jangan berasa sedih kalau kali ini kamu tidak boleh lakukannya. Atasi jurang ini dengan menyediakan makanan melalui panggilan video. Rancang bersama-sama untuk menyediakan hidangan yang sama.
Untuk menjadikan panggilan video ini lebih menarik, kamu boleh cuba untuk mencabar pasangan bagi mengetahui siapakah yang menyediakan makanan yang lebih sedap. Melalui cabaran ini, kamu dan pasangan boleh menjadikan sesi memasak ini sebagai salah satu aktiviti yang menyeronokkan sambil bergurau senda.
Selepas selesai sediakan makanan, kamu juga boleh menikmati makanan tersebut bersama-sama sambil bertukar pendapat dan pandangan.
Bermain Permainan Video Secara Virtual
Bagi pasangan yang suka bermain permainan video bersama-sama, jangan risau kerana kamu boleh lakukannya walaupun berada dalam jarak yang jauh.
Rancang untuk tetapkan masa yang sesuai untuk bermain permainan video semasa Hari Kekasih ini. Kamu boleh mencabar pasangan untuk sebuah pertempuran epik secara maya sambil menghabiskan masa bersama-sama.
Kejutkan Si Dia Dengan Hadiah Istimewa
“Adakah awak Secret Santa saya?”
Paling menyeronokkan! Siapa sahaja yang tidak sukakan hadiah, tambah-tambah lagi perempuan. Walaupun nampak macam cliche, tetapi kamu boleh menghantar hadiah kepada pasangan secara diam-diam untuk membuatkan mereka menjadi lebih teruja menerimanya.
Selepas si dia menerima hadiah, kamu boleh membuka hadiah tersebut bersama-sama melalui panggilan video. Melaluinya, kamu boleh melihat reaksi kegembiraan, terharu serta keterujaan masing-masing.
Walaupun pelbagai jenis idea lagi boleh diaplikasikan secara virtual ketika menyambut Hari Kekasih, tetapi beberapa idea ini dikatakan mudah dan simple untuk dilakukan secara bersama. Selain menyambut Hari Kekasih secara norma baharu, sebenarnya ia boleh menjadi memori yang terindah. ❤️
Jadi sempena menyambut Hari Kekasih ini, apakah yang akan dilakukan oleh kamu dan pasangan?