Sakit kepala dibuatnya, bila mana anak gadis atau teruna yang dijaga dengan penuh kasih sayang tiba-tiba luah diri mereka telah jatuh cinta.
Jadi sebagai ibu bapa, nasihat yang bagaimana kamu harus kamu ungkap pada anak yang baru belasan tahun mengenai soal hati?
Tanpa mengulas panjang, mungkin kamu boleh berikan beberapa nasihat dan pandangan seperti ini terhadap fasa yang mereka sedang atau bakal lalui berdasarkan aspek di bawah.
Jaga Kehormatan Diri Dan Saling Menghormati
- Foto – Chicago Parent
Apabila anak sedang asyik dibuai perasaan, penting untuk kamu berikan sedikit nasihat kepada anak agar menjaga kehormatan diri.
Beri nasihat kepada anak tidak salah untuk jatuh cinta, tetapi belajar menghormati dan menjaga kehormatan diri serta letakkan prinsip dalam hubungan anak mereka harus saling menghormati antara satu sama lain.
Jaga Batas Dan Identiti Diri
- Foto – Raising Children Network
Selain itu, pesankan kepada anak bahawa pada ketika ini mereka berdua (anak dan pasangan) masih muda dan merupakan seorang pelajar.
Oleh itu, beri nasihat kepada anak agar mereka tidak lupa identiti mereka sebagai anak dan pelajar dan harus utamakan masa depan dan batas diri perlu ada agar tidak hanyut dalam dunia cinta yang belum tentu capai ke jinjang pelamin.
Belajar Untuk Matang
- Foto – Pinterest
Selain itu, katakan kepada anak dalam fasa seperti inilah mereka perlu belajar untuk menjadi matang dan lihat dari perspektif luar kotak.
Terapkan dalam jiwa anak jika mereka berdua ingin mengharungi alam percintaan diusia yang awal, kedua-dua mereka perlu belajar untuk jadi matang dan lihat sendiri sejauh mana hubungan dapat bertahan apabila fikiran jadi lebih terbuka.
Belajar Bahagi Masa
- Foto – Complete Wellbeing
Bukan itu saja, ungkapkan kata-kata semangat dan motivasi kepada anak dengan jadikan hubungan cinta yang dilalui ketika ini sebagai permulaan untuk menjadi seorang anak, pelajar dan pasangan yang bijak membahagi masa.
Katakan kepada mereka, individu yang bijak menjaga masa dalam hubungan antara keluarga, kekasih dan pelajaran adalah seorang yang berjaya dalam hidup mereka.
Ibu Bapa Kongsi Pengalaman Cinta
- Foto – Metro Parents
Untuk menyelami dan menunjukan kamu sebagai ibu bapa memahami fasa yang anak-anak sedang lalui, kongsikan pengalaman cinta monyet kamu sebagai pengajaran kepada anak.
Kadang-kala kita sebagai ibu bapa tidak perlu pergi jauh, dengan kongsikan pengalaman diri kepada anak dan berikan highlight-kan apa yang penting dalam hidup sudah cukup memadai.
Dan percaya pada anak bahawa mereka akan belajar untuk jadi matang, serta tahu batas yang harus di jaga setelah mengetahui serba sedikit kisah silam kamu sebagai pengajaran.
Jangan Terus Marah Dan Reject Anak
- Foto – Parent Productivity
Sebagai ibu bapa jangan terus memarahi dan mengherdik anak, jika mereka sedang melalui fasa ‘cinta monyet’ atau fasa menyelami perasaan di usia muda mereka.
Sebaliknya nasihat, pandangan dan bagaimana cara untuk cegah diri dari hanyut dalam dunia asmara dengan cara yang berhemah.
Kerana pengalaman yang mereka sedang lalui atau bakal lalui kelak merupakan salah satu proses tumbesaran dalam perjalanan hidup mereka juga.