Kadang kala hairan juga kenapa kita sering melihat para atlet memakan buah pisang? Tidak kiralah di antara atau sebelum memulakan latihan mahupun pertandingan. Tidak bolehkah mereka ini makan makanan lain?
Untuk pengetahuan kamu, buah pisang ini sebenarnya mengandungi pelbagai jenis khasiat. Sama seperti minuman bertenaga, buah pisang ini juga dapat memberikan kebaikan yang sama sepertinya.
Buah pisang ini sebenarnya bagus untuk dimakan tidak kiralah untuk para atlet mahupun orang biasa. Jadi antara kebaikan buah pisang inilah yang menjadi pilihan kebanyakan atlet.
Cepat Dan Jimat Kos
Untuk pengetahuan kamu, buah pisang adalah salah satu cara yang mudah, cepat dan jimat kos dalam mengurus para atlet. Selain itu, buah pisang ini juga mengandungi nutrien yang diperlukan oleh atlet ketika bersenam mahupun pertandingan.
Tidak perlu risau lagi kerana buah pisang ini boleh didapati sepanjang tahun dan kosnya yang sangat murah. Buah pisang ini boleh dimakan begitu sahaja atau dihasilkan dalam bentuk protein shake.
Makan buah pisang dalam masa dua jam sebelum melakukan senaman dapat membantu berikan dan kekalkan tenaga yang cukup sepanjang latihan. Dalam pada masa yang sama ia dapat bantu kurangkan tempoh pemulihan selepas bersenam.
Meningkatkan Prestasi
Jika kamu makan sebelum, semasa dan selepas bersenam, buah pisang ini dapat membantu tingkatkan prestasi seseorang atlet.
Untuk mendapatkan kesan yang efektif iaitu sama seperti minum minuman bertenaga, cuba kamu makan setengah buah pisang untuk setiap 15 minit ketika bersenam.
Selain mengandungi lemak yang rendah dan menyihatkan jantung, buah pisang ini juga mengandungi pelbagai jenis vitamin, mineral dan juga serat makanan.
Kaya Dengan Potassium
Secara puratanya, buah pisang mengandungi lebih daripada 450mg potassium iaitu sebanyak 13% jumlah yang diperlukan oleh seseorang individu.
Untuk pengetahuan kamu, potassium merupakan sumber mineral yang penting dalam pemeliharaan gula dalam darah dan fungsi jantung. Jadi makan buah pisang dapat membantu kamu daripada menghadapi tekanan darah tinggi dan juga atherosclerosis.
Selain itu, sebagai electrolyte, potassium dapat membantu badan kekalkan keseimbangan cecair dalam sel badan di mana ia dapat mencegah daripada berlakunya kekejangan otot.
Mengandungi Tyrosine
Sebuah pisang mengandungi 12mg tyrosine iaitu asid amino yang digabung dengan kandungan vitamin dalam buah tersebut. Fungsinya adalah membantu otak para atlet menghasilkan norepinephrine iaitu bahan kimia yang sama seperti dopamine.
Apabila bahan kimia ini dihasilkan, ia mampu meningkatkan tahap kewaspadaan para atlet untuk kekal fokus dan bermotivasi ketika latihan serta pertandingan.
Selain daripada buah pisang, beberapa makanan lain seperti badam, biji labu, alpukat dan biji bijan juga mengandungi tyrosine.
Menjadi Sumber Tenaga
Bagi setiap buah pisang, buah ini mengandungi 30g karbohidrat yang menjadikannya sumber tenaga yang paling berkesan untuk para atlet.
Karbohidrat ini dapat membekalkan para atlet dengan beberapa bahan bakar ketika bersenam kerana ia menyokong aktiviti otot. Dalam pada masa yang sama, ia juga penting untuk sistem saraf.
Menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal, seorang ahli gimnasium yang mengambil pisang sebelum memulakan latihan dapat memberikan tenaga seperti yang dijangka oleh pengkaji.
Tinggi Dengan Vitamin C
Buah pisang menjadi pilihan kebanyakan atlet kerana, ia mengandungi jumlah Vitamin C yang sangat tinggi. Untuk sebuah pisang, kandungan Vitamin C adalah sebanyak 15% iaitu sama jumlah seperti yang diperlukan oleh badan.
Kebaikan Vitamin C ini adalah ia dapat menguatkan bahagian otot, tendon dan juga ligament selain memastikan sistem imun kamu sentiasa kuat ketika bersenam.
Jika kamu melakukan aktiviti berat dan memberi tekanan sehingga menyebabkan kerosakan tisu lembut, Vitamin C dalam pisang ini dapat membantu cepatkan dan tingkatkan pembaikan luka yang berlaku.
Dalam pada masa yang sama, Vitamin C dalam buah pisang dapat memainkan peranan penting dalam sintesis adrenalin sepanjang melakukan latihan mahupun pertandingan.
Patutlah kebanyakan atlet lebih menyukai buah pisang. Banyak rupanya khasiat dan kebaikan terhadap badan.
Tetapi tidak semestinya perlu menjadi atlet baru boleh makan buah pisang, orang biasa juga boleh mendapat kebaikan yang sama jika mereka memakannya.