Bagi sesetengah orang, mahu menurunkan berat badan bukannya senang. Seperti yang kita tahu, ianya sebuah proses yang akan mengambil masa yang lama.
Untuk menurunkan berat badan dengan berkesan, sudah semestinya kita memerlukan perancangan yang rapi dan teliti di mana ia melibatkan gaya pemakanan dan senaman.
Kalau diikutkan perancangan tersebut sememangnya memerlukan usaha yang berganda. Tetapi adakah kamu tahu bahawa perubahan kecil yang dilakukan setiap hari juga boleh membantu kamu menurunkan berat badan?
Mungkin kamu akan rasakan ianya susah, tetapi jangan risau. Dengan beberapa perubahan kecil yang ringkas dan mudah ini, kamu boleh melihat kesannya dalam jangka masa yang panjang.
Wajib Bersarapan Pagi
Ramai yang menganggap sarapan pagi sebenarnya tidak penting dan tidak memainkan peranan dalam menurunkan berat badan. Tetapi sebenarnya tanggapan itu salah.
Tidak mengambil sarapan pagi dapat membuatkan berat badan semakin naik, diabetes dan kolestrol yang tinggi. Jadi penting untuk bersarapan pagi kerana ia dapat menjaga berat badan dengan lebih sihat.
Tetapi jangan pula kamu mengambil sarapan pagi seperti roti canai dan sebagainya. Malah ambil makanan yang berkhasiat dan kaya dengan nutrien untuk tenaga dan kesihatan tubuh.
Kerap Minum Air Kosong
Kadang kala jika kamu makan lebih banyak daripada kebiasaannya, cuba semak kembali sama ada kamu minum air kosong secukupnya atau tidak?
Bukan apa, kadang kala apabila badan tidak mendapat jumlah air yang secukupnya, ia akan menjadi keliru sama ada kamu dahaga atau lapar. Kesannya kamu akan cenderung makan dengan lebih banyak berbanding minum air.
Untuk pengetahuan kamu, minum air dengan banyak boleh mengekalkan badan sentiasa terhidrat selain meningkatkan metabolisme dan membantu proses pencernaan berlaku dengan lebih baik.
Cara yang terbaik bagi mengekalkan badan terhidrasi, minum air secukupnya setiap kali berasa dahaga atau sebanyak 8 gelas atau lebih dalam masa sehari. Selain air, kamu juga boleh kekal terhidrasi dengan makan buah dan sayur yang kaya dengan kandungan air.
Lebih Banyak Sayur Lebih Bagus
Lebihkan sayur dalam hidangan kamu merupakan salah satu keputusan yang baik kerana ia dapat kurangkan kalori tanpa perlu kamu risau seberapa banyak yang kamu makan.
Tetapi jangan sembarangan makan sayur-sayuran. Penting untuk kamu tahu setiap satu manfaat jenis sayur untuk badan.
Bagi sayur yang berkanji seperti ubi ia mengandungi lebih banyak kalori berbanding dengan sayur yang kaya dengan kandungan air seperti bunga kobis dan zucchini.
Tidur Yang Cukup Sangat Penting!
Pernah tak kamu rasa stress sepanjang hari disebabkan tidak mendapat tidur yang cukup? Apabila badan menjadi tertekan, tidak mustahil ia dapat meningkatkan kemungkinan kamu untuk naik berat badan.
Ketika kamu tidak mendapat tidur yang cukup, tahap hormon kortisol dalam badan boleh meningkat dengan mendadak. Dalam pada masa yang sama, ia juga boleh menghalang kamu daripada menurunkan berat badan.
Ini kerana lebih lama kamu berjaga, lebih banyak masa untuk kamu makan. Jadi dapatkan tidur yang mencukupi sekurang-kurangnya 8 jam setiap malam.
Waktu Makan Hanya Untuk Makan Saja
Kamu perasan tak apabila makan di hadapan TV atau bermain telefon, kamu akan cenderung makan dengan lebih banyak? Sebab itulah ketika waktu makan, penting untuk kamu fokus pada aktiviti makan sahaja.
Dan penting untuk kamu makan di kawasan yang khas seperti ruangan makan atau di dapur kerana kamu akan hanya fokus kepada makan dan tidak membuat perkara lain.
Bukan apa, jika kamu menonton televisyen sambil makan, kamu tidak perasan yang kamu telah makan dengan lebih banyak dan kesannya berat badan mula naik dengan mendadak.
Boleh Makan Lemak Tapi Lebih Baik Makan Lemak Sihat
Bukan kesemua jenis lemak tidak boleh dimakan. Ada lemak yang bagus untuk kesihatan kamu seperti lemak sihat.
Berbanding dengan lemak tepu seperti daging, susu dan sebagainya, kamu perlu hadkan pengambilannya ke dalam diet kamu. Malah lebihkan pengambilan makanan yang mengandungi unsaturated fats yang kaya dengan nutrien seperti alpukat, minyak zaitun, kekacang dan ikan berlemak iaitu salmon.
Makan makanan yang mengandungi lemak sihat ini bukan sahaja membuatkan kamu cepat rasa kenyang, malah ia juga dapat elakkan kamu makan secara berlebihan.
Pada permulaannya mungkin kamu berasa susah untuk lakukan beberapa perubahan kecil ini kerana ia sudah sebati dalam rutin harian. Tetapi jika kamu tekad untuk berubah, ia tidak mustahil untuk dilakukan.