Cuba kamu ingat kembali, di manakah kamu sering melihat mi segera dimakan seperti makanan ruji?
Ya betul itu, kebanyakannya orang Korea Selatan sahaja yang makan mi segera dengan lebih kerap.
Tidak kiralah dalam drama, filem sehinggalah ke reality show, boleh dikatakan setiap kali makanan disediakan mestilah hidangan mi segera atau dipanggil sebagai ramen segera.
Kalau kita lihat itu hanya di dalam kaca televesyin sahaja, tetapi bagaimana pula dengan orang biasa? Adakah mereka juga makan mi segera hampir setiap hari?
Hanya Di Kaca TV Atau Realiti?
Untuk pengetahuan kamu, mi segera sememangnya popular dalam kalangan masyarakat Korea Selatan. Tidak kiralah kamu kaya ataupun miskin, pasti hidangan mi segera tidak boleh dilupakan.
Menurut pengguna Quora, Jenny Lee mengatakan setiap orang akan memakan mi segera. Menerusi agensi pengguna Korea Selatan, sebanyak 7 orang daripada 10 orang akan makan mi segera sebanyak seminggu sekali.
Manakala sebanyak 15% rakyat Korea Selatan akan makan lebih daripada tiga kali dan sebanyak 30% akan makan sebanyak 2 kali seminggu. Kalau dihitung kembali, banyak sangat jumlah mi segera yang dimakan!
Hidangan mi segera ini sering dimakan di kedai-kedai serbaneka, kedai tepi jalan malah ketika melakukan aktiviti di luar rumah seperti berkhemah atau bersama-sama dengan rakan.
Senang dibawa ke mana sahaja dan mudah disediakan inilah yang menjadi penyebab kenapa ramai yang memilih mi segera berbanding dengan hidangan makanan yang lengkap.
Siapa Yang Kerap Makan Mi Segera?
Untuk pengetahuan kamu, rakyat Korea yang kerap kali makan mi segera ini terdiri daripada golongan remaja dan dewasa. Walaupun sebenarnya mi segera ini tidak elok untuk kesihatan tetapi ia menjadi makanan yang paling cepat disediakan.
Selain itu, mi segera ini juga tidak begitu mahal harganya dan mampu untuk dibeli oleh orang miskin. Bagi mereka yang tidak dapat membeli makanan yang sihat dan hidangan yang lengkap, mi segera menjadi penyelesaian dan penyelamat daripada kebuluran.
Dalam pada masa yang sama, golongan bujang atau tinggal bersendirian tidak mempunyai masa untuk masak makanan, jadi mereka turut makan mi segera dan gantikannya sebagai makanan ruji.
Kenapa Mi Segera Menjadi Pilihan?
Bagi kamu yang tertanya-tanya mengapa mi segera yang menjadi pilihan utama mereka berbanding dengan makanan lain, ini adalah beberapa sebabnya.
- Harga
Di Korea Selatan, sepaket atau secawan mi segera hanya dijual dengan harga sekitar RM4 sahaja. Harganya yang murah dan mampu dibeli oleh sesiapa sahaja termasuklah orang miskin.
Seseorang individu juga boleh mendapatkan mi segera ini tidak kira di mana mereka berada. Sama ada di kafe internet, perpustakaan, kedai serbaneka malah ketika mendaki bukit pun ada kedai yang menjualnya.
- Senang Dan Mudah Dibawa
Disediakan dalam bentuk cawan mahupun paket, mi segera ini sememangnya satu makanan yang mudah dan senang dibawa ke mana-mana sahaja.
Tidak kiralah kamu mahu bercuti, melakukan aktiviti di luar rumah mahupun dating dengan pasangan, mi segera pasti menjadi pilihan utama. Senang disediakan dan tidak memerlukan banyak bahan, pejam mata sahaja mi segera siap untuk dimakan.
Saiz, harga dan tidak cepat rosak membuatkan mi segera ini popular dalam kalangan rakyat Korea Selatan.
- Tunggu 3 Minit Sahaja Dan Siap!
Kebanyakan kedai serbaneka di Korea Selatan akan menyediakan kawasan khas bagi menyediakan mi segera. Pihak kedai serbaneka akan memberikan air panas secara percuma kepada pelanggannya.
Bagi pelanggan pula, ia menjadi satu kemudahan yang terbaik kerana mereka tidak perlu keluar mencari air panas bagi menyediakan mi segera. Dan mi segera ini senang disediakan.
Kamu hanya perlu membuka penutupnya, isi dengan air panas dan tunggu selama 3 minit sebelum memakannya. Masa penyediannya yang singkat membuatkan makanan ini menjadi pilihan orang ramai.
Bukan apa, kadang kala pelajar mahupun pekerja yang pulang dengan letih dan berasa lapar tidak mempunyai masa untuk masak makanan. Jadi, paling senang dan tak perlu tunggu lama, mi segera jawapan mereka.
Tidak hanya di Korea Selatan sahaja, beberapa negara lain turut menjadi ‘gila’ dalam makan mi segera. Tetapi tidak sekerap seperti orang Korea. Apa-apa pun, pastikan kamu makan mi segera secara berkala bagi menjaga kesihatan badan.