Baru-baru ini, Pitas iaitu sebuah daerah di Kudat telah diisytiharkan sebagai satu kawasan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).
Penemuan penularan virus tersebut disedari apabila kebanyakan khinzir yang diternak telah mati secara besar-besaran di beberapa ladang ternakan.
Menurut Jabatan Veterinar Sabah (JPVS), pihak mereka telah mengambil beberapa tindakan dengan memusnahkan, mengawal aktiviti mengangkut dan menjual produk khinzir di kawasan tersebut.
Walaupun virus ini tidak boleh menular dalam kalangan manusia tetapi ia boleh menjejaskan penternakan dan daging khinzir yang terkena virus tersebut.
Demam Babi Afrika, Apa Yang Kamu Perlu Tahu?
Demam Babi Afrika (ASF) adalah penyakit virus yang menular dan boleh mematikan pelbagai jenis khinzir sama ada domestik mahupun liar.
ASF ini bukanlah satu ancaman bagi kesihatan manusia. Ini kerana virus tersebut tidak boleh ditularkan dari khinzir ke manusia. ASF ini berlaku di kebanyakan tempat terutamanya Afrika.
Sekiranya ASF mula menular dalam kawanan khinzir, penyakit ini tidak mempunyai sebarang rawatan atau vaksin yang tersedia bagi menangani penyakit ini.
Virus ini boleh dihentikan dengan salah satu cara seperti mengawal keluaran keluar dan masuk khinzir dalam pasaran atau dihapuskan secara besar-besaran. Pada masa yang sama, kawasan yang terjejas akan dinyah kuman sehingga diyakini selamat.
Bagaimana ASF Boleh Jejaskan Ternakan Khinzir?
Virus ASF ini boleh menyebabkan penyakit dan kadar kematian yang tinggi pada kawanan khinzir. Tidak kiralah bayi khinzir mahupun khinzir dewasa, semuanya mempunyai potensi untuk terjejas.
Antara tanda-tanda yang berlaku pada khinzir yang dijangkiti ialah:
- Suhu demam yang tinggi.
- Tiada selera makan
- Sering berasa lemah
- Kulit mengalami kemerahan, bintik atau lesi hitam di bahagian ekor, telinga dan bawah kaki.
- Cirit-birit
- Keguguran
- Susah bernafas
Kematian dalam khinzir ini boleh berlaku dalam masa 7 hari sehingga 10 hari tetapi kematian secara tiba-tiba boleh terjadi pada kawanan yang terdedah dengan teruk.
Walaupun ada khinzir yang pulih, tetapi haiwan ini boleh menjadi pembawa virus bagi beberapa bulan seterusnya.
Bagaimana Virus Ini Boleh Menular?
Virus ASF ini boleh menular apabila penternak memberikan makanan yang tidak masak atau terjejas dengan virus ini kepada kawanan khinzir yang diternak.
Virus ini kemudiannya dapat disebarkan dengan mudah melalui hubungan secara langsung dengan haiwan yang dijangkiti, cecair badan seperti hidung, oral, najis dan darah serta tisu.
Selain itu, virus ini juga boleh menular secara tidak langsung dengan beberapa objek yang tercemar seperti kenderaan, peralatan, kasut mahupun pakaian.
Pada masa yang sama, beberapa spesies kutu juga boleh menjadi penyebab kepada virus ini. Iaitu serangga ini menghisap darah lalat atau serangga lain yang mungkin menjadi perantara virus di antara khinzir.
Lindungi Ternakan Khinzir Dengan Cara Ini
Walaupun virus ini merebak dengan mudah dalam beberapa persekitaran terutamanya pada suhu yang rendah, tetapi kamu boleh lindungi ternakan khinzir dengan beberapa cara.
- Jangan beri makanan produk khinzir mentah atau tidak dimasak kepada ternakan.
- Pantau haiwan ternakan setiap hari bagi melihat sebarang gejala penyakit yang boleh terjadi.
- Asingkan ternakan khinzir yang baru selama beberapa minggu sebelum memasukkan mereka dalam kawanan sedia ada.
Sekiranya ternakan tetap dijangkiti dengan virus, kamu boleh menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar terdekat bagi menghalang penularan tersebut daripada disebarkan dengan lebih teruk.