Perasan tak kalau di Korea dan beberapa negara Asia yang lain, penggunaan kutleri mereka sangat berbeza?
Di Korea, masyarakat lebih gemar memakai kutleri yang diperbuat daripada logam berbanding dengan China dan Jepun yang menggunakan kayu dan buluh.
Agak-agak kamu kenapa Korea tidak memakai kutleri yang diperbuat oleh kayu dan buluh? Dan kenapa mereka lebih gemar memakai kutleri yang berasaskan logam?
Tak Rosak Dan Tahan Lebih Lama
Kutleri yang berasaskan logam tahan lebih lama berbanding dengan kutleri yang diperbuat daripada kayu dan buluh.
Ini kerana kutleri logam tahan panas dan tidak mudah patah dan rosak. Pada masa yang sama, kutleri logam boleh digunakan bertahun-tahun lama dan tidak perlu ditukar dengan kerap.
Seperti kutleri kayu dan buluh, ianya tidak tahan lama dan mudah untuk rosak dengan cepat. Selain itu, kutleri jenis ini juga perlu ditukar atau dibuang selepas menggunakannya. Ini kerana lebihan sisa makanan masih boleh lagi terlekat di bahagian penyepit atau sudu selepas digunakan.
Pernah Menjadi Lambang Kekayaan
Siapa sangka penggunaan kutleri berasaskan logam ini sebenarnya membawa maksudnya tersendiri. Ketika zaman dahulu, penggunaan kutleri ini dianggap sebagai lambang kekayaan dan hanya boleh dipakai oleh orang atasan sahaja.
Ketika acara khas yang diadakan, golongan atasan hanya akan menggunakan kutleri berasaskan emas, perak mahupun tembaga sahaja. Manakala orang biasa akan menggunakan logam, kayu atau buluh.
Menjadi Alat Pengesan Racun
Penggunaan kutleri logam ini digunakan ketika zaman Baekje apabila keluarga kerabat diraja menggunakan kutleri perak bagi mengesan penggunaan racun dalam makanan.
Bagi kamu yang tidak tahu, kutleri perak akan berubah warna apabila terkena dengan bahan kimia yang beracun. Sejak daripada itu, orang biasa juga telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menukar kutleri kayu atau buluh kepada logam.
Lebih Bersih Berbanding Kayu Dan Buluh
Cuba kamu bayangkan, kutleri berasaskan kayu dan buluh mempunyai tahap penyerapan yang lebih tinggi berbanding dengan logam.
Walaupun sudah dicuci berulang kali, tidak mustahil kutleri tersebut masih mempunyai sisa-sisa makanan yang terkumpul atau tersekat di dalamnya.
Berbeza dengan logam, ianya tidak mudah menyerap dan senang untuk dibersihkan. Hanya menggunakan air panas dan direndam sahaja ia boleh menghakis sisa makanan daripadanya dan menjadikannya ia sebagai kutleri yang lebih bersih berbanding dengan kayu atau buluh.
Lebih Kuat Dan Tahan Lasak
Penggunaan kutleri logam menjadi pilihan dalam masyarakat Korea adalah disebabkan ia kuat dan tahan lasak ketika digunakan.
Sebagai contoh, ketika mengambil atau menggunakan untuk makanan yang berat seperti potongan daging besar ia akan menjadi alat yang tahan lasak dan tidak mudah untuk patah berbanding kayu.
Selain itu, kutleri logam juga tidak mudah untuk membengkok atau patah jika digunakan setiap hari. Malah ia dapat bertahan selama bertahun-tahun.
Jadi inilah yang menjadi salah satu penyebab kenapa masyarakat di Korea lebih gemar menggunakan kutleri logam berbanding dengan kayu atau buluh.
Tetapi kalau kamu mengunjungi restoran di Korea, jangan risau kalau mahu gunakan kutleri kayu atau buluh seperti penyepit kerana mereka ada menyediakannya dan hanya perlu meminta sahaja.