Berbanding dengan sinaran UV daripada matahari, wajah kita sebenarnya lebih terdedah dengan sinaran cahaya biru atau dikenali sebagai Blue Light.
Kalau kamu tak tahu, Blue Light ini sebenarnya ada di mana-mana sahaja walaupun kamu berada dalam rumah. Ini kerana cahaya ini datangnya daripada lampu, komputer malah telefon pintar kamu.
Selain boleh rosakkan kulit sama seperti sinaran UV, Blue Light ini juga mempunyai kecenderungan juga untuk merosakkan mata.
Dan sebenarnya ada cara untuk elakkan kerosakan kulit mahupun mata. Ikut 5 langkah yang mudah ini sedikit sebanyak kamu boleh kurangkan potensi kerosakan itu.
Langkah 1: Wajib pakai sunscreen setiap hari
Sunscreen ini dari dahulu sehingga sekarang pemakaiannya boleh dikatakan wajib untuk semua orang bagi menjaga kulit wajah daripada rosak.
Pemakaian sunscreen setiap hari boleh menghalang radikal bebas dan beberapa pencemaran lain yang mempunyai potensi merosakkan kulit.
Selain perlu pakai sebelum keluar rumah, sebenarnya kamu juga perlu pakai di dalam rumah. Senang kata setiap masa kamu perlu pakai sebaik sahaja lepas bangun tidur.
Ini kerana Blue Light juga boleh merosakkan kulit yang mengandungi kolagen dengan menghasilkan radikal bebas. Kesannya kulit akan mempunyai binyik-bintik gelap, jeragat dan kedutan pramatang.
Langkah 2: Letakkan filter atau film di skrin gajet
Ramai yang kerja dari rumah sekarang, adakah kamu memasang penapis radiasi atau filem penapis cahaya?
Bagi mereka yang sering bekerja dan melihat komputer dan telefon dalam tempoh yang lama, Wanista mengesyorkan kamu untuk memasang penapis-penapis ini.
Bukan apa, penapis radiasi mahupun penapis filem cahaya membantu menyerap gelombang cahaya yang dapat membahayakan mata.
Selain itu, penapis-penapis ini juga boleh kurangkan Blue Light yang boleh merosakan kulit kita tanpa disedari.
Langkah 3: Pilih skincare yang bantu kulit daripada rosak
Untuk menjaga dan halang kulit daripada rosak, penting untuk kamu pilih skincare yang mengandungi bahan yang dapat kuatkan skin barrier.
Antara ciri-ciri skincare yang diperlukan adalah untuk menambah kelembapan kulit, bahan-bahan antioksidan dan mencerahkan.
Kalau kamu mahu membeli barangan skincare, pastikan kamu pentingkan bahan seperti Vitamin C, niacinamide, hyaluronic acid dan ceramide.
Langkah 4: Guna CC Cream atau BB Cream sebagai asas mekap
Berbeza dengan foundation, CC Cream dan BB Cream sebenarnya mempunyai campuran sunscreen di dalamnya.
Sesuai untuk mereka yang tidak gemar memakai sunscreen, kedua-dua produk ini mempunyai tekstur yang lebih ringan berbanding foundation. Pada masa yang sama kamu tidak perlu risau mengenai pori tersumbat.
Langkah 5: Elak dan kurangkan melihat skrin terlalu lama
Tak dinafikan ramai orang gemar untuk menghabiskan masa mereka dengan menatap telefon mahupun komputer. Penting sebenarnya untuk kamu berehat seketika dari menatap terlalu lama.
Ambil rehat selama 30 minit bagi setiap jam dan kawal tahap pencerahan gajet kamu sehingga mata berasa selesa. Ataupun kamu boleh gunakan penitis mata bagi mengelakkan mata menjadi kering dan letih.
Selain itu ia juga berfungsi sebagai pelembap mata. Apabila mata menjadi kering dan letih, penglihatan kamu akan menjadi kabur dan tidak fokus.
Tak dinafikan ada bermacam-macam cara lagi untuk halang Blue Light. Tetapi kalau kamu amalkan 5 langkah ini, tidak mustahil kesannya boleh kamu rasai dalam waktu yang singkat.
Selamat beramal!