Pernah tak kamu terfikir kenapa setiap kali hidung berdarah, secara automatik kita akan mendongak kepala ke atas?
Ada yang mengatakan cara tersebut bagus untuk hentikan pendarahan hidung, tetapi seorang paramedik mengatakan cara tersebut salah dan berbahaya. Terutamanya pada kanak-kanak.
Sebagai ibu bapa, kalau anak mengalami pendarahan hidung, jangan kamu terus dongakkan kepala mereka. Sangat berbahaya dan cara ini yang betul untuk kamu lakukan.
Kenapa Paramedik Cegah Tindakan Dongak Kepala?
Nikki Jarcutz iaitu co-founder Tiny Heart Foundation menerangkan tindakan dongak kepala anak ke atas boleh beri kesan kepada kesihatan anak mereka.
Untuk pengetahuan ibu bapa, ketika mendongakkan kepala anak ke atas boleh membuatkan darah tersebut mengalir masuk secara ke saluran perut dan jantung.
Kesan pengaliran darah ini, anak kamu akan mengalami muntah atau tercekik. Ini kerana saluran pernafasan mereka tersumbat dan dipenuhi dengan jumlah darah yang banyak.
Jangan Biar Anak Jolok Hidung Dengan Jari
Tak dinafikan kanak-kanak sangat suka memasukkan jari ke dalam hidung mahupun mulut.
Sekiranya kamu melihat anak mengalami pendarahan hidung, cepat-cepat cegah dan tahan jari mereka dari menjolok hidung. Bahaya!
Ini kerana hidung merupakan kawasan yang sangat sensitif, lembut, mudah untuk terluka dan melecet.
“Kebanyakan pendarahan hidung yang berlaku disebabkan oleh kanak-kanak menjolok jari ke bahagian hidung”, ujar pakar Otolaryngologits, Dr Erich Voight.
Apabila mereka menjolok ketika hidung berdarah, ia akan menyebabkan jangkitan dan penularan bakteria secara terus dari jari ke hidung.
Untuk pengetahuan kamu, hidung merupakan bahagian badan yang mempunyai bekalan darah yang banyak. Iaitu sebanyak 5 arteri di bahagian depan hidung.
Kawasan Segitiga ‘Kematian’
Jika kamu tidak tahu, mulut dan hidung merupakan kawasan yang ‘kritikal’ dan digelar sebagai kawasan segitiga ‘kematian’. Kenapa?
Ini kerana mulut dan hidung merupakan tempat yang mudah terkena jangkitan dan kuman menular dengan cepat.
Pada masa yang sama, terdapat urat di kedua-dua kawasan ini yang boleh memberi kesan kepada carvenous sinus yang terletak di bahagian otak.
Menurut Dr Jeremy Brauer (penolong professort klinikal di NYU Langone Medical Centre), jika berlakunya jangkitan di kedua-dua kawasan ini, ia akan merumitkan proses sembuh dan rawatan.
Sekiranya menjadi luka yang teruk, ia boleh menular ke bahagian otak dan tidak mustahil juga boleh menyebabkan maut.
Cara Yang Tepat Hentikan Pendarahan Hidung
Bagi ibu bapa yang menghadapi situasi anak mengalami pendarahan hidung, kamu tidak perlu menjadi panik tetapi lakukan beberapa langkah ini:
- Langkah 1: Pastikan anak berada dalam keadaan yang selesa sama ada duduk atau berdiri.
- Langkah 2: Pastikan kepala dicondongkan ke arah depan dan pastikan kepala tidak berada di bawah jantung iaitu terlalu menunduk.
- Langkah 3: Picit hidung dan bernafas melalui mulut.
- Langkah 4: Tunggu sehingga darah berhenti dan bersihkan hidung menggunakan tisu basah atau kain yang lembut.
Mendongakkan kepala ke atas bukan sahaja bahaya kepada kanak-kanak malah ia boleh membawa kesan yang sama kepada orang dewasa.
Jadi selepas ini kalau kamu atau kanak-kanak mengalami pendarahan, ingat lakukan dalam cara yang betul okay?