Bila tengah bercinta, sudah semestinya setiap pasangan mahukan hubungan mereka kekal sampai bila-bila.
Tetapi kalau mahukan begitu, kenapa ada pasangan yang memilih untuk memutuskan hubungan mereka di tengah jalan?
Sampaikan kadang kala tak tahu salah siapa sebenarnya. Setiap hubungan yang terputus itu ada sebabnya tersendiri.
Bagi Wanista, salah satu sebabnya hubungan terputus di tengah jalan mungkin yang ini.
Selalu cemburu buta
Memang betul kalau cemburu itu bagus dan ianya menjadi simbolik kepada perasaan sayang. Tetapi kalau setiap masa cemburu, bagus ke?
Kalau kamu nak tahu, cemburu buta ini boleh membuatkan pasangan kamu akan melakukan sesuatu di luar jangkaan.
Seperti memeriksa telefon, menuduh kamu lakukan sesuatu atau mengekori kamu ke mana sahaja tanpa pengetahuan kamu.
Akhirnya untuk membuatkan pasangan kamu tidak selalu cemburu buta, mulalah kamu mengorbankan perasaan dan terpaksa lakukan sesuatu supaya si dia tidak berasa curiga dengan tindakan kamu.
Tiada tujuan yang pasti
Lihat pasangan yang lain, masing-masing mempunyai tujuan yang sama dan jelas mengenai perhubungan mereka. Tetapi adakah kamu jelas dengan tujuan hubungan kamu?
Bagi pasangan yang tidak mempunyai tujuan yang jelas, mereka akan sering menghadapi konflik kerana tiada kesefahaman.
Sebagi contoh, ada pasangan yang belum bersedia untuk berkahwin, ada yang tidak bersedia untuk pikul tanggungjawab, berhubungan kerana takut rasa sendiri, rasa bosan dan sebagainya.
Suka mengawal pasangan
Memang menakutkan kalau dapat pasangan yang suka mengawal. Tidak kiralah apa yang kamu lakukan, keluar, bergaul atau apa-apa sahaja pasti si dia akan memerhati dan kawal gerak-geri kamu.
Menjadi individu yang possessive dan mendominasi pasangan boleh membuatkan hubungan tersebut menjadi tidak sihat dan berbahaya.
Bukan apa, silap haribulan kalau kamu tersilap cakap atau bertindak, tidak mustahil si dia boleh memukul atau bereaksi di luar jangkaan kamu.
Setiap topik jadi pergaduhan
Pernah tak alami situasi ini? Kalau boleh apa sahaja yang dikeluarkan oleh mulut kamu atau pasangan, mesti ia akan menjadi topik pergaduhan.
Tidak kiralah sama ada gaduh kecil atau gaduh besar, ia boleh memenatkan kedua-dua pihak dan memilih keputusan untuk menghentikan hubungan ini.
Kerap kali berkorban untuk pasangan
Kalau kamu nak tahu, untuk sebuah hubungan yang bahagia masing-masing perlu mempraktikkan terma “give and take” terhadap satu sama lain.
Jika perhubungan kamu tidak mempunyai sebarang tolak ansur dan sering kali berkorban untuk pasangan, hati-hati ia boleh jadi bahaya.
Ini kerana pasangan kamu akan sentiasa mengabaikan perasaan kamu dan sering berfikir kamu tidak akan menolak apa sahaja kemahuannya walaupun kamu tidak mahu.
Sering kali ungkit kesalahan atau kisah lama
Siapa di sini yang sering ungkit kesalahan atau kisah lama dalam perhubungan?
Kerap kali mengungkit kesalahan atau kisah lama yang sama boleh membuatkan pasangan menjadi muak dan bosan dengan perangai kamu.
Tiada sesiapa yang tidak pernah melakukan kesalahan dan mengulangi kesalahan yang sama. Tetapi kalau kamu sering berbuat demikian, jangan terkejut kalau pasangan tinggalkan kamu dan memilih orang lain.
Keluarga atau rakan tak suka pasangan kamu
Sering menjadi punca utama kenapa hubungan sesetengah pasangan putus di tengah jalan adalah tiada persetujuan keluarga mahupun teman rapat.
Ini kerana apabila keluarga atau teman rapat menentang hubungan kamu, secara tidak langsung ia akan mempengaruhi pemikiran dan rasa terhadap pasangan.
Jika teruskan juga, jangan terkejut jika ada tekanan dan tentangan yang lebih ‘dasyat’ daripada keluarga mahupun teman rapat kamu.
Kadang kala memutuskan hubungan di tengah jalan boleh berikan kesan yang besar pada emosi dan ubah hidup kamu secara drastik.
Mungkin sekarang kamu rasakan sebagai kehilangan besar tetapi beberapa tahun akan datang kamu boleh lihat sama ada keputusan ini sebagai sebuah keputusan tepat atau tidak yang pernah dilakukan.