Ada tak pembaca Wanista pernah menggunakan produk daripada jenama DYXY Cosmetics?
Tipulah kalau tak pernah dengar mengenai DYXY Cosmetics di mana-mana media sosial mahupun dalam kalangan pengamal kecantikan.
Memang terkenal sangat kerana ramai artis dan influencer mempromosikan jenama ini untuk menarik lebih ramai pembeli terutamanya kalangan wanita.
Baru-baru ini, DYXY Cosmetics dikatakan viral kerana ramai yang mengatakan produknya merupakan produk timbang kilo. Betul ke?
Ramai Kata Jenama Ini Produk Timbang Kilo
Melihatkan tweet yang dimuat naik oleh seorang pengguna di Twitter, ramai pengguna yang lain membalas posting tersebut dengan mengatakan jenama ini sebenarnya timbang kilo.
Ada yang pernah memakai produk jenama ini dan berhenti kerana wajah mereka menjadi lebih teruk dan tidak memberikan kesan seperti yang dimahukan.
Selain itu, seorang pengguna di Facebook pernah viral dahulu disebabkan dia mengguna produk jenama ini.
Produk Timbang Kilo Ada Bahan Yang Bahaya
Untuk pengetahuan kamu, produk timbang kilo menggunakan beberapa bahan kimia yang berbahaya untuk kulit wajah.
Jika memakainya dalam jangka masa yang lama, bahan-bahan kimia ini boleh merosakkan kulit kamu malah menjadikannya lebih teruk daripada asal.
Antara bahan yang berbahaya ialah:
Hydroquinone
Bagi kamu yang tidak tahu, hydroquinone bertindak sebagai agen pemutih yang berfungsi untuk mencegah pigmentasi kulit.
Penggunaan dalam jangka masa yang lama boleh menyebabkan kulit kamu menjadi makin nipis, skin barrier rosak, kulit menjadi kering, mudah terbakar apabila terkena matahari dan boleh menganggu sistem pernafasan.
Pada masa yang sama, bahan kimia ini boleh menjadi salah satu punca yang sangat berbahaya kepada ibu mengandung dan ibu yang menyusukan anak kecil.
Tretinoin
Manakala tretinoin pula digunakan sebagai bahan campuran untuk dijadikan sebagai krim perawatan kulit yang bermasalah. Bahan ini sering terdapat dalam produk yang mahu mencegah atau menghilangkan masalah jerawat.
Untuk menggunakan tretinoin, kamu perlu mendapatkan nasihat daripada doktor berkaitan dengan penggunaannya. Jika tiada pengawasan pakar dan doktor, kulit kamu boleh menjadi kemerahan, pedih, mengelupas dan sangat sensitif pada cahaya matahari.
Merkuri
Tak dinafikan bahan kimia ini memang kerap didengar. Berfungsi sebagai agen pemutih yang cepat, bahan ini sering digunakan dalam krim ataupun sabun.
Dibungkus dalam bentuk bukan organik, bahan kimia ini boleh merencatkan pembentukan melanin yang menjadikan tona kulit kita menjadi lebih cerah.
Guna dalam masa yang lama boleh mengakibatkan kesan seperti:
- kerosakan buah pinggang
- kulit menjadi merah dan ruam
- kerengsaan
- masalah berkaitan saraf iaitu Peripheral Neuropathy
Cara Kenal Pasti Produk Timbang Kilo
Sebelum kamu membeli mana-mana produk tempatan, pastikan kamu melakukan beberapa langkah ini untuk mengelakkan daripada terbelinya produk timbang kilo.
- Untuk tekstur krim, ia boleh menjadi terlalu likat, berkilat dan berwarna-warni.
- Kebiasaannya ada krim malam dan krim siang.
- Memberikan kesan seawal satu minggu selepas penggunaan.
- Kulit menjadi mengelupas, rasa sakit dan pedih serta merah-merah.
- Kulit dinaiki jerawat sebaik sahaja berhenti menggunakannya.
- Bau produk sangat kuat dan tajam.
- Tidak boleh didapati di farmasi mahupun drugstore.
Untuk pembaca Wanista sekiranya kamu mempunyai masalah kulit, lebih baik kamu mendapatkan rawatan daripada doktor dan pakar.
Elakkan daripada membeli barangan dan produk yang tidak berlesan malah meragu-ragukan. Selamat beramal!