Terkenal dengan watak sebagai Lydia dalam telemovie “Girlfriend Aku Dari Neraka“, siapa sahaja yang tidak kenal dengan Sharifah Sakinah?
Penuh dengan pelbagai jenis kontroversi sejak dari awal perjalanannya sebagai seorang anak seni sehinggalah sekaranga.
Baru-baru ini pula, Sharifah Sakinah telah mengejutkan orang ramai melalui luahan di program bual bicara “Hard To Heart” dengan pengacara Datuk Aznil Haji Nawawi.
Mahu Jadi Diri Sendiri
Tak dinafikan sebelum ini ramai pengguna media sosial kerap ‘menyerang’ akaun peribadinya dengan meninggalkan komen untuk menjaga nama baik keluarga dan ubah tindakannya.
Menerusi program tersebut, Sharifah Sakinah atau mesra disapa Sakinah telah memohon maaf kepada ibunya atas tindakannya selama ini.
“Kepada Umi, saya minta maaf kerana aibkan nama keluarga kerana Syed dan Sharifah sepatutnya jaga pakaian, adab, perangai dan segalanya.
Tapi saya tak boleh lakukan itu kerana saya tak tahu kenapa, saya masih lagi mahu menjadi diri sendiri.”
Pada masa yang sama, dia mengaku dirinya hanya mahu menjadi diri sendiri dan meminta untuk ibunya dan juga orang ramai faham akan tindakannya.
Mengaku Tengah Hadapi Masalah Kesihatan Mental
“Minta maaf sangat-sangat, saya harap Umi faham dengan keadaan saya kerana kesihatan mental saya sangat buruk sekarang.”
Mengaku dirinya menghadapi masalah kesihatan mental, Sakinah berkongsi dirinya telah berjumpa dengan doktor dan ahli terapi yang berlainan sejak beberapa tahun yang lalu bersama bekas suaminya.
“Saya takut dengan diri sendiri dan tindakan saya sama atau tindakan yang mungkin saya lakukan jika tidak mengambil pil. Saya yang menjadi bahaya kepada diri sendiri.”
Hasil rawatan dan kaunseling yang dijalani, Sakinah telah disahkan mengalami penyakit ADHD, kemurungan yang teruk, kebimbangan dan cenderung untuk cederakan diri sendiri.
Berhenti Seketika Dari Dunia Lakonan
Melihatkan masalah kesihatan mentalnya menjadi semakin buruk hari ke hari, Sakinah akhirnya mengambil keputusan untuk berhenti seketika dari dunia lakonan.
“Saya sudah memaklumkan bahaya saya akan berehat dari berlakon dan kini kamu tahu sebab sebenarnya. Saya perlukan rehat dan fokus kepada diri sendiri.”
Memberi perhatian sepenuhnya kepada diri sendiri terutamanya kesihatan mental, Sakinah mengharapkan supaya orang ramai terutamanya peminatnya faham kenapa dia mengambil keputusan itu.
Pilih Untuk Pindah Ke Luar Negara
Walaupun Sakinah mengalami masalah kesihatan yang buruk hari demi hari, dia bersyukur kerana orang di sekelilingnya masih lagi menerima dan menyokong dirinya.
Berkat doa orang ramai terutamanya keluarga, Sakinah menyatakan dirinya telah belajar untuk melepaskan tekanan dalam diri melalui senaman yang sering dia lakukan.
“Kadang kala solat sahaja tidak mencukupi dan kini saya sedar bahawa saya tidak dapat lakukan semua ini sendiri.”
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Sakinah menyatakan dirinya memerlukan perubahan pemandangan dan sebab itulah dia mengambil keputusan untuk berpindah ke luar negara.
Katanya, dia juga merancang untuk mendapatkan rawatan daripada doktor dan terapi sepenuhnya serta dipantau oleh tunangnya, Michael Hansen apabila mula berpindah ke luar negara.
Dengan keperibadian yang ceria dan mudah menggembirakan orang lain, Sakinah tidak terlepas daripada menjadi sasaran pembuli siber mengenai bentuk badan dan pakaiannya.
Apa-apa pun, Wanista doakan yang terbaik untuk Sharifah Sakinah untuk sembuh dengan secepat mungkin dan kembali dengan personaliti yang lebih ceria. ♥