Bagi individu yang menghadapi penyakit eczema, tak dinafikan kamu memerlukan penjagaan yang teliti dan rapi.
Bukan apa, jika kamu tidak memberi perhatian dan tidak teliti dalam menjaganya, penyakit ini boleh menjadi teruk.
Walaupun tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit ini secara 100%, tetapi ada beberapa jenis alternatif lain yang boleh dilakukan untuk kurangkan rasa pedih dan sakit.
Dalam banyak-banyak alternatif, kamu boleh mencuba merawat penyakit eczema dengan menggunakan beberapa jenis essential oil ini.
Minyak Jojoba
Sangat popular dalam barangan penjagaan badan, minyak jojoba ini dikatakan mempunyai kesan anti-radang yang dapat digunakan untuk pelbagai jenis masalah kulit seperti jangkitan kulit dan penyembuhan luka.
Kalau kamu tak tahu, penyakit eczema mampu mengeringkan dan meninggalkan kesan seperti kulit bersisik dan minyak jojoba sangat sesuai digunakan kerana boleh melembapkan kulit dan merawat kulit kering.
Minyak Borage
Diekstrak daripada biji tanaman borage, minyak ini mengandungi Essential Fatty Acids (EFA) dan Gamma Linolenic Acid (GLA) yang dapat mengurangkan gejala penyakit eczema.
Kandungan EFA yang tinggi dapat membantu pesakit eczema melegakan kegatalan, keradangan dan melembapkan kulit yang kering.
Dan ada sesetengah orang mempunyai reaksi yang berbeza apabila menggunakan minyak jenis ini. Ada yang mengalami keradangan dan ada yang tidak.
Minyak Tea Tree
Untuk pengetahuan kamu, minyak tea tree ini mengandungi sifat anti-radang yang dapat mengurangkan kerengsaan pada kulit kamu.
Pada masa yang sama, minyak ini boleh menjadi antimicrobial yang bertujuan membantu melawan dan mencegah kuman yang menyebabkan jangkitan.
Selain itu, minyak tea tree ini sangat bagus digunakan setiap hari kerana minyak ini boleh membersihkan udara untuk mencegah allergens daripada memburukkan lagi penyakit eczema.
Minyak Kelapa
Tak dinafikan minyak kelapa memang kaya dengan pelbagai jenis kebaikan untuk kesihatan. Dan salah satunya adalah meredakan penyakit eczema yang meradang.
Kalau kamu nak tahu, minyak kelapa yang mempunyai sifat antimicrobial dapat mengurangkan jangkitan kuman pada kulit.
Dan minyak ini juga mempunyai sifat anti-radang yang dapat menenangkan kulit yang kering dan mengelupas disebabkan oleh keradangan.
Minyak Calendula
Dikenali sebagai “mother of skin“, minyak Calendula ini sering digunakan dalam rawatan alternatif penyakit eczema.
Menurut kajian, minyak yang berasal dari bunga Calendula atau bunga Marigold ini lebih berkesan berbanding trolamine dalam mencegah dermatitis.
Untuk mengurangkan bengkak, pedih dan sakit akibat penyakit eczema, minyak ini sesuai digunakan kerana ia mempunyai sifat anti-radang.
Minyak Pudina
Digunakan dalam pelbagai jenis rawatan alternatif, minyak pudina ini boleh membantu melegakan gangguan pencernaan, rasa loya dan kegatalan pada badan.
Menurut kajian, minyak ini mengandungi mentol yang dapat mengurangkan rasa gatal. Tetapi kamu perlu mencampurkannya dengan minyak lain kerana kepekatan yang tinggi boleh menyebabkan kerengsaan yang berpanjangan.
Selain itu, elakkan daripada guna di bahagian wajah atau kanak-kanak kerana jika terbau minyak ini dalam jangka masa yang lama, ia boleh mendatangkan bahaya.
Minyak Biji Matahari
Menjadi sumber antioksidan dan Vitamin E untuk kulit, minyak biji matahari ini sangat sesuai digunakan untuk mengurangkan kekeringan dan meningkatkan penghidratan kulit.
Menurut kajian yang dilakukan, Vitamin E dalam minyak biji matahari boleh mengurangkan tanda-tanda keradangan pada kulit dan melegakan kepedihan akibat kulit kering.
Cara Terbaik Untuk Guna Essential Oil
Untuk pengetahuan kamu, ada 5 cara yang boleh kamu gunakan essential oil untuk lebih berkesan.
- Mandian – Letakkan sebanyak 1% sehingga 2% essential oil ke dalam mandian air suam dan rendam badan selama 20 minit sehingga 30 minit.
- Kompres Penyejuk – Dalam semangkuk air, letakkan sebanyak 2 titik essential oil dan kacau sehingga sebati. Kemudian celup kapas dan tekap secara perlahan-lahan di tempat yang gatal atau merengsa.
- Semburan Essential Oil – Campurkan essential oil dan carrier oil dengan nisbah 2:1. Kemudian campurkan air dalam dalam botol semburan.
- Losyen – Ambil losyen yang kamu suka, tambahkan beberapa titis essential oil ke dalamnya dan goncang sehingga sebati.
- Minyak Urut – Campurkan beberapa titis essential oil dan carrier oil. Kemudian urut perlahan-lahan di bahagian kawasan yang merengsa.
Sebelum menggunakan mana-mana essential oil, kamu perlu tahu tak semua orang akan mengalami keputusan yang sama.
Apa-apa pun lakukan patch test terlebih dahulu untuk tahu sama ada essential oil tersebut sesuai atau tidak dengan kamu.