Bagi individu yang bekerja secara syif, kamu pernah dengar tentang Shift Work Sleep Disorder (SWSD)? Tak dinafikan bekerja secara syif lebih memenatkan berbanding dengan bekerja dalam waktu normal.
Bukan apa, bekerja dalam waktu syif membuatkan ramai orang menghadapi waktu tidur dan rehat yang tidak mencukupi sebaik sahaja selepas waktu bekerja berbanding dengan pekerja waktu normal.
Perbezaan dari segi jam bekerja yang ketara ini boleh menganggu rehat dan memberi kesan kepada kesihatan seseorang individu. Kesannya ramai pekerja syif mempunyai kecenderungan untuk mengalami SWSD.
Apa sebenarnya yang kamu perlu tahu?
Shift Work Sleep Disorder (SWSD) ini sering berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja bukan pada waktu normal iaitu pada 9 pagi sehingga 5 petang setiap hari.
Bekerja di luar waktu yang normal atau secara syif boleh menyebabkan seseorang itu rasa mengantuk secara berlebihan dan boleh mempengaruhi waktu kerja seseorang individu.
Pada masa yang sama, bekerja dalam waktu syif boleh menganggu cicardian rhythm seseorang individu. Fungsi circardian rhythm ini adalah untuk mengatur waktu tidur dan waktu bangun setiap individu sepanjang 24 jam sehari.
Apabila mula mengalami SWSD, seseorang individu boleh menghadapi beberapa situasi ini:
- Berlaku kemalangan dan kesalahan di tempat kerja
- Mempunyai masalah atau tiada mood
- Mempunyai kemahiran mengatasi yang lemah dan gangguan fungsi sosial
- Mengalami masalah kesigatan seperti gastrointestinal, cardiovascular dan metabolic.
- Boleh terlibat dengan dadah dan alkohol
Bahayanya kepada seseorang individu
Dalam diam, ramai yang tidak sedar SWSD ini boleh mendatangkan beberapa kesan buruk terhadap mereka yang menghadapinya.
-
Boleh alami gangguan tidur
Untuk pengetahuan kamu, tak semua pekerja syif mengalami masalah gangguan tidur. Seramai 10% sehingga 40% sahaja yang mengalaminya.
Bagi individu yang tidak biasa bekerja dalam waktu syif, mereka akan mempunyai kecenderungan kepada gangguan tidur yang teruk.
Gangguan ini boleh menyebabkan individu tersebut mengalami rasa mengantuk yang teruk dan berlebihan. Kesannya, badan akan sentiasa berasa tidak segar walaupun sudah mendapat tidur yang cukup.
-
Ada perkaitan dengan cicardian rhythm badan
Bekerja pada syif malam boleh mempengaruhi cicardian rhythm atau dikenali sebagai jam biologi seseorang.
Kalau kamu nak tahu, cicardian rhythm ini mengatur badan kamu untuk terjaga dan mengantuk pada waktu yang ditetapkan sepanjang 24 jam.
Selain mengatur waktu tidur dan terjaga, cicardian rhythm ini juga berfungsi dalam mempengaruhi suhu badan, tahap hormon dan rasa lapar.
Apabila seseorang individu mula menghadapi SWSD, dia akan mengalami perbezaan di antara cicardian rhythm dan jadual bekerjanya. Di mana badan terpaksa bekerja ketika badan mahu tidur dan sebaliknya.
-
Boleh alami insomnia dan rasa mengantuk yang berlebihan
Tak dinafikan mereka yang menghadapi SWSD mesti mempunyai kecenderungan untuk alami insomnia dan rasa mengantuk yang berlebihan.
Untuk masalah insomnia, mereka boleh alaminya mengikut perbezaan waktu bekerja. Rata-rata mereka yang alaminya akan mudah kehilangan waktu tidur sebanyak 1-4 jam setiap malam.
Bagi masalah mengantuk secara berlebihan boleh menyebabkan rasa letih dan kekurangan tenaga ketika seseorang individu bekerja pada waktu malam atau awal pagi.
Pada masa yang sama, individu ini akan sentiasa merasakan diri mereka perlu untuk tidur walaupun sekejap semasa tengah bekerja.
Bagaimana nak atasinya masalah ini?
Bagi individu yang bekerja syif pada waktu selain 9 pagi sehingga 5 petang, mereka perlu bersiap sedia untuk dapatkan tidur yang nyenyak ketika waktu siang.
Untuk mendapatkan tidur yang nyenyak tanpa gangguan di siang hari, kamu boleh lakukan beberapa perkara ini:
- Kurangkan pendedahan diri terhadap cahaya matahari ketika pulang dari kerja syif malam bagi elakkan ‘daytime clock‘ dalaman diaktifkan.
- Cuba untuk jaga jadual tidur yang teratur walaupun pada hujung minggu atau hari cuti.
- Wujudkan suasana yang tenang dan gelap ketika waktu tidur.
- Elakkan diri daripada bermain dengan telefon atau mendengar lagu sebelum tidur.
Tips untuk tidur dengan lebih nyenyak dan berkesan
- Jika bekerja pada syif malam, elakkan untuk bekerja dalam syif tersebut secara berturut-turut.
- Elakkan daripada melakukan pusingan syif dengan kerap. Jika terpaksa, lebih baik kamu bekerja dalam syif pagi sehingga malam daripada urutan terbalik iaitu syif malam ke pagi.
- Hadkan pengambilan kafein. Cuba untuk minum kopi di awal syif dan jangan minum selepas waktu tengahari untuk elak kamu hadapi masalah tidur selepas kerja.
- Jangan tidur dalam keadaan yang terang, seperti bilik tanpa langsir atau membuka lampu.
- Tetapkan jadual tidur dan bangun setiap hari.
- Gunakan blackout blind atau langsir tebal untuk menghalang cahaya luar masuk ke dalam bilik ketika kamu tidur pada waktu siang.
Tidak kiralah sama ada bekerja dalam waktu normal atau syif, setiap daripada kita perlu ada waktu rehat sekurang-kurangnya 6 jam sehingga 8 jam sehari.
Jika kamu bekerja secara syif, sesuaikan diri dengan waktu tidur baru mengikut syif kamu. Sekiranya sering mengalami gangguan tidur, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapat rawatan awal.