Letakkan kereta di bawah pokok, nak keluar rumah pergi kerja mesti nampak banyak najis burung di atas kereta.
Boleh stress sebab bukan hanya sedikit, tetapi boleh dikatakan separuh kereta mempunyai bintik-bintik najis haiwan tersebut.
Tak semua orang melakukannya, tetapi ada segelintir orang akan membiarkan sahaja najis burung di atas kereta tanpa membersihkannya.
Kalau kamu nak tahu, sebenarnya tak elok kamu biarkan najis burung di atas kereta lama-lama. Ada kesannya yang ramai orang tak tahu.
Kenapa tak boleh biarkan najis burung di atas kereta?
Bukan sahaja merosakkan pandangan, tetapi najis burung ini juga mempunyai kecenderungan untuk merosakkan cat kereta kamu.
Untuk pengetahuan kamu, najis burung mengandungi asid urik yang mengandungi tahap kadar pH asid yang tinggi iaitu sekitar 3 sehingga 4.5.
Berbeza daripada mamalia, burung tidak mempunyai pundi kencing mahupun perut untuk mengasingkan pepejal dari cecair. Dan kesemua sisa ini berkumpul di organ yang disebut sebagai cloaca.
Kemudian, sisa tersebut bercampur dengan asid urik yang dihasilkan oleh buah pinggang yang menyebabkan ia cukup untuk merosakkan cat kereta.
Habis! Memang boleh rosak cat kereta
Apabila najis burung terkena permukaan kereta kamu, ia secara perlahan-lahan akan ‘membakar’ varnis iaitu clear coat, wax dan cat sehingga meninggalkan kesan kawah yang nipis seperti sehelai kertas.
Kemudian, semakin lama semakin dalam ia menembusi lapisan pelindung cat di mana ia mula merosakkan cat kereta kamu secara keseluruhan.
Secara teorinya, najis burung ini memang menjadi bahan pengakis cat kereta yang utama. Lagi teruk dan cepat terhakis sekiranya cuaca menjadi panas.
Ini kerana sinaran matahari akan menyebabkan cat berkembang dan jadikannya lebih terdedah kepada najis burung yang berasid tinggi itu.
Bagi sesetengah situasi, najis burung boleh tinggalkan kesan dalam hanya beberapa minit sahaja.
Bagaimana nak bersihkan najis burung?
Nak elakkan daripada cat kereta kamu rosak dengan cepat, kamu perlu bersihkan dengan segera sebaik sahaja melihatnya.
Sebelum membersihkan, kamu perlu tahu najis burung ini ada dua jenis iaitu najis yang kelihatan pudar dan najis yang berkedut atau merekah.
Bagi najis yang kelihatan pudar, ianya mudah dicuci dengan serta merta. Caranya kamu hanya perlu menggunakan kain basah atau tisu basah sahaja. Lap dan tekan sedikit di permukaan kereta kamu sehingga ia hilang.
Untuk najis yang berkedut atau merekah, najis ini agak susah sedikit untuk dibersihkan. Dengan gunakan kain basah atau tisu basah, lap permukaan tersebut sehingga bersih.
Penting untuk kamu tahu, jangan tekan dan berikan tekanan yang kuat terhadap najis yang berkedut atau merekah kerana ia boleh beri kesan pada cat kamu (serap masuk ke dalam cat dan rosakkan).
Cara lain yang boleh digunakan
Selain daripada itu, ada beberapa cara lain untuk kamu mencuci najis burung di kereta seperti:
- Nampak sahaja najis burung, terus mencuci dan jangan biarkan ia keras terlalu lama.
- Gunakan kain basah untuk bersihkannya.
- Boleh juga guna air soda kosong atau serbuk soda.
- Gunakan bahan pencuci yang sesuai untuk cat.
- Pakai kain khas seperti kain microfiber untuk tidak rosakkan permukaan kereta.
- Semburan WD-40 boleh menghilangkan najis burung dengan cepat.
- Gunakan pencuci pakaian tanpa pewangi di kawasan najis yang kering dengan letakkan beberapa titis ke atasnya sebelum lap.
Penting!!!
Sekiranya najis burung tersebut berada di cermin kereta, jangan sesekali menggunakan wiper untuk bersihkannya. Ini kerana ia boleh menyebarkan najis ke bahagian lain dan mencalarkan cermin.
Kalau kamu nak elakkan daripada kereta terkena najis burung, selain daripada menggunakan sarung pembalut kenderaan yang khas, kamu juga boleh letakkan kereta di bawah kawasan yang berbumbung.
Ingat kalau kamu sayang kereta, lakukan beberapa perkara seperti yang dikongsi oleh Wanista. Selamat beramal ♥