Apabila mempunyai pasangan yang berbeza dengan diri kita, sudah semestinya kamu akan mengalami pelbagai jenis soalan.
“Adakah si dia sesuai dengan saya?”. “boleh ke hubungan ini bertahan?”, “si dia faham diri saya?”, “boleh ke saya adapt dengan persekitaran baru?” dan lain-lain lagi.
Mempunyai personaliti dan keperibadian yang berbeza tidak bermaksud hubungan tersebut boleh gagal. Sebaliknya hubungan introvert-extrovert ini sangat seimbang dan sesuai.
Yang penting setiap pasangan perlu berusaha untuk faham antara satu sama lain dan cari keserasian itu bersama-sama.
#1 Hadapi Konflik Bersama
Untuk pengetahuan kamu, individu introvert dan extrovert menangani konflik secara berbeza.
Bagi introvert mereka lebih suka menyelesaikannya secara bersendirian. Manakala extrovert gemar menyelesaikannya secara bersama-sama.
Nak atasi dan hadapi konflik yang berlaku, pasangan ini perlu memberikan masa selama 20-30 minit bersendirian, supaya kedua-duanya dapat berfikir dengan jelas dan mencapai kata sepakat.
#2 Sentiasa Berkomunikasi
“Communication is the key!”
Dalam mana-mana hubungan, komunikasi itu memang penting dan ianya menjadi satu kunci untuk sesebuah perhubungan bahagia dan kekal.
Konteks komunikasi ini termasuklah kamu memberitahu pasangan mengenai keperluan dan reaksi yang bakal ditunjukkan oleh kamu.
Bukan apa bila terangkan dan jelaskan terlebih dahulu, mereka tidak akan timbul salah faham dan tahu ianya bukan reaksi peribadi.
#3 Faham Keperluan Masing-Masing
Bagi pasangan introvert–extrovert, penting untuk kamu hormati, faham pilihan dan batasan masing-masing terutamanya apabila berlaku konflik atau perselisihan.
Apabila kamu menghormati pasangan yang berbeza dengan kamu, ia akan memudahkan hubungan kamu untuk mencapai kata sepakat dan berkompromi dalam apa jenis situasi sekalipun.
Sebagai contoh, kamu tidak akan terasa dengan pasangan introvert apabila mereka memerlukan masa bersendirian. Ataupun pasangan extrovert memerlukan masa bersama-sama dengan rakan.
#4 Jangan Sesekali Ubah Diri Pasangan
Paling penting sekali! Jangan ada niat untuk ubah pasangan menjadi seperti apa yang kita jangkakan.
Dalam perhubungan, penting untuk kamu faham tujuan asal kamu dan pasangan. Jangan mengubah pasangan melainkan ianya untuk memahami keperluan dan saling menyokong antara satu sama lain.
Jika kamu mengubah pasangan, si dia tidak akan berasa gembira malah perasaannya akan cepat pudar dan hanya berpura-pura bahagia di hadapan kamu.
#5 Cari Perkara Yang Boleh Dilakukan Bersama
Dalam perhubungan, meluangkan masa bersama itu penting. Tetapi bagi individu introvert dan extrovert, mereka memiliki idea yang berbeza dalam meluangkan masa.
Bagaimana kamu nak pastikan kedua-duanya mendapat manfaat dan luangkan masa bersama?
Mudah sahaja, kamu berdua perlu berbincang dan berkongsi mengenai idea-idea untuk meluangkan masa bersama supaya ianya menjadi momen yang berharga dan bermakna dalam perhubungan.
Bagi pasangan introvert-extrovert ini, kamu sama sahaja dengan pasangan yang lain. Tiada istilah gagal selagi kamu belum mencuba.
Keperibadian kamu yang berbeza itu membuatkan hubungan menjadi lebih menarik dan mencabar untuk diterokai.
Jadi letakkan kepercayaan, komunikasi dan kasih sayang sebagai kunci di dalam perhubungan. Selamat beramal!