Mengejutkan apabila seorang lelaki tampil mengaku dirinya sebagai anak kepada pasangan diraja iaitu Prince Charles dan Camilla.
Mendakwa dirinya memiliki bukti yang kukuh, Simon Dorante-Day yang berusia 55 tahun itu sedang berusaha untuk membawa perkara ini ke mahkamah.
Simon telah memuat naik sebuah foto yang membuktikan bahawa dia adalah anak daripada hubungan rahsia pasangan itu ketika mereka masih remaja.
Nak tahu sama ada perkara ini benar atau tidak, ikuti kupasan yang menampilkan beberapa ‘bukti’ daripada Simon Dorante-Day di bawah.
‘Bukti’ 1: Datuk dan nenek angkat bekerja untuk Queen Elizabeth II dan Prince Philip
Simon mengatakan dirinya telah diambil sebagai anak angkat ketika berusia 8 bulan oleh sebuah pasangan iaitu Karen dan David-Day.
Pada ketika itu juga datuk dan nenek angkatnya, Winifred dan Ernest Bowlden telah bekerja untuk pasangan diraja Britain iaitu Queen Elizabeth II dan Prince Philip sebagai tukang kebuh dan tukang masak.
“Nenek angkat berulang-ulang kali memberitahu saya bahawa Prince Charles dan Camilla adalah ibu bapa kandung saya. Dan Camilla telah menjaga saya sebelum ibu bapa angkat menjaga.”
Selain itu Simon juga memberitahu bahawa Camila telah menggunakan hubungan kerajaan dan beberapa pegawai untuk merahsiakan kelahirannya.
Dan pada masa yang sama, mereka mula mencari penyelesaian dengan meminta anak Winifred mengambil Simon sebagai anak angkat.
‘Bukti’ 2: Hubungan Prince Charles dan Camilla (1965) serta kehilangan Camilla daripada khalayak ramai
Menerusi kajian yang dilakukan oleh Simon, Prince Charles dan Camilla bertemu buat kali pertama di Winston Churchill pada Januari 1965.
“Sebelum saya dilahirkan pada April 1966, Camilla telah menghilangkan diri selama 9 bulan daripada khalayak ramai. Manakala Prince Charles pula berada di Australia ketika itu.”
Simon juga mengatakan ketika masih kecil dia dibawa ke beberapa rumah di sekitar Portsmouth untuk meluangkan masa dengan seorang wanita yang dipercayai Camilla.
Ketika itu, dia hanya bersendirian dengan wanita itu di dalam rumah berkenaan sementara ibu bapa angkatnya dan beberapa pegawai menunggu di luar rumah.
‘Bukti’ 3: Sijil kelahirannya hanyalah rekaan semata-mata
“Hospital tersebut tidak pernah melahirkan bayi yang tunggal pada tahun saya dilahirkan.”
Simon terkejut apabila mengetahui hospital di dalam sijil kelahirannya itu tidak mempunyai sebarang rekod mengenainya dan menganggap ini hanyalah rekaan semata-mata.
Dia juga mengatakan bahawa nama ibu bapa di dalam sijil tersebut adalah rekaan dan ianya ditulis menggunakan tulisan tangan ibu angkatnya, Karen.
‘Bukti’ 4: Ahli keluarganya yang lain kelihatan seperti keluarga Diraja Britain
Mula membuat perbandingan di antara dirinya, anaknya dan anggota keluarga diraja Britain, Simon mendakwa mereka semua memiliki persamaan.
Dipetik daripada Sunrise, Simon memberitahu bahawa anaknya, Liam kelihatan seperti Queen Elizabeth II ketika muda.
“Saya hanya berkongsi di Facebook dan ada beberapa orang mula ambil gambar Liam dan tukarnya menjadi hitam putih sebelum meletakkan di sebelah Queen Elizabeth II.”
Melihatkan perbandingan gambar tersebut, Simon berkata dia semakin hari semakin nampak persamaan tersebut dengan dirinya dan anak-anaknya.
Simon juga mengatakan dia memiliki mata berwarna coklat dan pernah mendakwa warna matanya telah berubah dalam beberapa jenis pembedahan ketika kecil. Manakala Prince Charles dan Camilla memiliki mata berwarna biru.
‘Bukti’ 5: Princess Diana tahu kewujudannya
Menerusi temu bual dengan New Idea, Simon memberitahu bahawa dia percaya Princess Diana tahu mengenai kelahirannya.
“Saya yakin Princess Diana tahu tentang kewujudan saya kerana ketika itu ada banyak khabar angin di dalam keluarga diraja, dan salah satunya adalah mengenai saya.”
Dia juga merasakan Princess Diana ketika itu berada di titik kekeliruan apabila dia perlu mencari jawapan mengenai hidupnya, adakah dia dianiaya dan sebagainya.
Walaupun ramai yang mengatakan Simon melakukan hal ini demi wang dan mahu menjadi terkenal, tetapi dia mengatakan sebaliknya.
Melalui ‘bukti-bukti’ yang dikumpul olehnya, Simon tidak akan berputus asa untuk mencari jawapan dan keadilan untuk dirinya.
Menurut kamu bagaimana? Kongsikan dengan Wanista adakah Simon anak sebenar Prince Charles dan Camilla atau tidak.