Penjagaan kesihatan faraj penting untuk setiap wanita. Tetapi ada segelintir daripada kita tak cukup peka dan malas untuk menjaga kawasan intim ini.
Apabila kamu ambil mudah dan tidak peka, mulalah ada beberapa masalah timbul seperti kegatalan, iritasi, ruam termasuklah beberapa benjolan yang pelik.
Bila sentuh atau rasa seperti ada benjolan di sekitar faraj, jangan panik tetapi semak terlebih dahulu apakah benjolan tersebut.
Teruskan baca kupasan dalam entri ini untuk tahu berapa jenis benjolan yang boleh muncul di faraj dan adakah ianya berbahaya.
#1 Benjolan lembut di sekitar bibir faraj
Untuk pengetahuan kamu, benjolan lembut di sekitar bibir faraj ini dikenali sebagai Bartholinitis iaitu keadaan di mana bukaan faraj menjadi tersumbat menyebabkan cecair memasuki kelenjar.
Keadaan ini tidak berbahaya dan boleh diatasi dengan menjaga kawasan faraj dengan betul dan gunakan air suam ketika membasuhnya. Tetapi jika kamu alami kesukaran berjalan, sukar buang air kecil atau demam, kamu perlu segera berjumpa dengan doktor.
#2 Benjolan berwarna sama seperti kulit
Jika kamu rasa seperti ada benjolan seakan-akan jerawat di faraj, ia adalah gejala syringoma. Kamu tak perlu risau kerana gejala ini tidak berbahaya dan ianya terjadi disebabkan oleh kelenjar peluh menjadi tersumbat.
Sangat berbeza dengan Bartholinitis, benjolan ini berbentuk lebih kecil dan terletak di atas faraj. Untuk elakkannya atau merawatnya, kamu perlu menjaga kebersihan faraj dengan teliti.
#3 Benjolan disebabkan rambut masuk ke dalam kulit
Kalau kamu nak tahu, situasi ini sering berlaku ketika kamu mencukur atau waxing. Ini kerana rambut tidak tumbuh dengan sempurna iaitu masuk ke dalam kulit dan bukannya ke bahagian luar.
Secara logiknya rambut tumbuh di bahagian bawah kulit. Jika cara mencukur atau waxing tidak betul, ia boleh sebabkan rambut tumbuh secara terbalik sehingga menyebabkan benjolan, keradangan dan boleh juga jadi nanah.
#4 Benjolan yang luka atau bernanah
Ketika kamu menyentuh benjolan di faraj, cuba rasa sama ada ianya bernanah ataupun luka. Jika ya, berkemungkinan benjolan itu sebenarnya bisul.
Kebiasannya bisul ini timbul disebabkan oleh teknik cukur dan waxing yang tidak betul. Apabila ada bisul di faraj, elakkan daripada picit supaya kulit di sekitarnya tidak alami kerengsaan dan menjadi teruk.
Jika benjolan bisul tersebut masih ada dan tidak surut dalam masa dua minggu, segera berjumpa dengan doktor untuk merawatnya.
#5 Benjolan jerawat di sekitar faraj
Selain daripada wajah, faraj juga mempunyai kecenderungan untuk dinaiki jerawat. Benjolan jerawat di faraj selalunya berwarna merah, menjengkelkan dan kadang kala mengandungi nanah.
Jika benjolan jerawat di faraj bernanah, kamu boleh nampak ianya muncul sebagai lebam atau benjolan putih di sekitar bibir faraj.
Keadaan ini sebenarnya tidak berbahaya dan kamu boleh hilangkan jerawat ini dengan elak daripada memicit dan biarkan faraj kamu lakukannya sendiri.
#6 Benjolan seperti ketuat
Sekiranya kamu mempunyai benjolan ketuat di faraj, ianya adalah sejenis jangkitan kelamin (STI) yang terjadi disebabkan oleh strain spesifik seperti human papilomavirus (HPV).
Benjolan ini berukuran kecil, permukaannya kasar dan selalunya berwarna kulit atau lebih gelap. Benjolan ketuat ini tidak berbahaya dan tidak menyebabkan masalah kesihatan.
Walaupun ianya tak berbahaya, tetapi kamu perlu berjumpa dengan doktor untuk tahu sama ada ianya disebabkan oleh HPV yang berisiko mengakibatkan kamu mendapat kanser serviks dan beberapa masalah kesihatan lain.
Jika kamu sering alami keadaan benjolan seperti di atas atau lain, terlebih dahulu jangan panik. Apa-apa pun segeralah berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan dan ketahui jenis benjolan di faraj.