Ada sesetengah orang alami kegelisahan atau anxiety yang biasa seperti mahu lakukan persembahan atau berjumpa dengan orang baru. Tapi ada juga yang alami kegelisahan yang teruk dan tidak terkawal. Sampaikan mengganggu kehidupan peribadi dan aktiviti harian.
Memang stress bila nak atasi kegelisahan ini tapi jika kamu di peringkat awal, cuba lakukan 5 cara di bawah bagi membendungnya daripada menjadi lebih teruk.
Tidur
Kenapa perlu tidur setiap kali rasa gelisah?
Sebenarnya tidak cukup tidur pun boleh mempengaruhi tahap tekanan dan gelisah. Jadi dapatkan tidur di antara 7 jam sehingga 9 jam dalam masa seminggu. Kemudian lihat sama ada kamu masih menjadi gelisah atau tidak selepas itu.
Insomnia boleh menjadi salah satu gejala kegelisahan yang biasa. Pada masa yang sama, hadkan screen time dan pengambilan kafein untuk membantu kamu dapatkan waktu tidur yang betul serta lengkap.
Kekal Aktif
Tak semua orang suka bergerak secara aktif, ada yang lebih suka untuk duduk dalam rumah atau habiskan masa dengan tidur. Tetapi jika kamu mengalami kegelisahan, sebenarnya bergerak dan kekal aktif dapat membantu mengawalnya secara 100%.
Tak kisahlah sama ada kamu pelajari tarian TikTok, berjalan di taman permainan atau lakukan yoga, setiap pergerakan ini akan meningkatkan hormon endorfin iaitu hormon bahagia.
Aromaterapi
Untuk pengetahuan kamu, aromaterapi ini melibatkan penggunaan minyak pati (essential oil) untuk meningkatkan mood, merehatkan badan dan mengurangkan kegelisahan. Jika kamu tidak tahu minyak pati manakah yang sesuai untuk merawat kegelisahan, Wanista syorkan kamu mencuba minyak pati;
- Lavender
- Ylang ylang
- Buah limau gedang
- Clary sage
- Bergamont
Untuk guna minyak pati ini, ada beberapa caranya. Yang paling praktikal dan mudah adalah letakkan beberapa titis minyak pati kegemaran kamu di pergelangan tangan dan leher. Bau minyak pati tersebut akan membantu saraf kamu menjadi lebih tenang dan selesa.
Teknik Bernafas
Perasan tak bila kamu jadi gelisah, secara automatik nafas menjadi tidak teratur dan degupan jantung naik mendadak? Nak atasi atau meredakannya, kamu memerlukan teknik bernafas yang betul iaitu box breathing.
Proses box breathing hanya memerlukan 4 langkah sahaja dan ianya berkesan dalam mengurangkan tekanan dan meningkatkan mood kamu.
- Duduk tegak dan hembus perlahan-lahan melalui mulut untuk melepaskan udara keluar dari paru-paru.
- Tarik nafas melalui hidung selama 4 saat untuk isi kembali udara ke paru dan bahagian perut.
- Tahan nafas selama 4 saat dan hembus keluar udara melalui mulut selamat 4 saat. Rasakan pergerakan keluar udara dari perut dan paru-paru.
- Kemudian tahan nafas selama 4 saat. Ulang proses No.1 sehingga No.3 selama 4 kali.
Ubat-Ubatan Herba
Selain daripada bergantung pada ubat-ubatan klinikal, beberapa ramuan dan suplemen herba juga berkesan dalam mengawal gejala kegelisahan. Kalau kamu nak tahu, ubat-ubatan herba terbukti dapat membantu kamu berehat dan berasa lebih tenang.
Antara ubat-ubatan herba yang terkenal adalah lavender, lemon balm, chamomile, passion flower dan kava. Untuk mengambilnya kamu boleh ambil dalam bentuk kapsul, suplemen atau sebagai teh.
Sekiranya kelima-lima cara di atas tidak berkesan untuk kamu, segera dapatkan khidmat nasihat dan rawatan daripada doktor okay! Selamat beramal.