Bukan dalam percintaan sahaja malah hubungan toksik boleh terjadi dalam persahabatan juga. Secara teori rakan membawa keselesaan dan menjadi peneman hidup. Tetapi jika kamu miliki rakan yang toksik, ia boleh meletihkan emosi, mental dan meninggalkan kekecewaan.
Sekiranya kamu tak berapa pasti sama ada kamu memiliki rakan toksik atau tidak, cuba perhatikan 5 tanda berikut.
Dia Sering Iri Hati Dengan Kamu
Hati-hati jika rakan kamu sering iri hati atau tidak puas hati, itu bermakna dia adalah rakan toksik. Kalau kamu nak tahu, rakan toksik tidak boleh melihat kamu lebih daripadanya.
Tak kiralah dari segi harta, tahap pembelajaran dan sebagainya, jika kamu lebih daripadanya dia akan iri hati dengan kamu. Malah dia akan berusaha dan bersaing untuk dapatkan lebih daripada kamu.
Dia Suka Cari Salah Kamu
Paling ketara!
Rakan toksik akan selalu mencari salah kamu. Kalau boleh dalam semua perkara seperti perbuatan, percakapan dan lain-lain lagi dia akan mencari salah kamu. Ini kerana dia merasakan dirinya sahaja yang betul dalam semua perkara walaupun sebenarnya dia adalah salah.
Susah Untuk Dihubungi Ketika Dicari
Jika kamu mempunyai masalah atau memerlukan seseorang untuk mendengar, rakan toksik akan mula menghilangkan dirinya. Seboleh-bolehnya dia akan cuba sehabis baik untuk mengelakkan diri daripada menolong kamu.
Jangan hairan kalau ada banyak alasan yang diberinya. Kalau sekali dua, tidak mengapa. Jika berulang kali, kamu boleh abaikan rakan toksik tersebut.
Suka Bermuka-Muka Dengan Kamu
Kalau kamu memiliki rakan yang suka bermuka-muka, berhati-hati ye. Jangan pula kamu berkongsi masalah dan rahsia kamu dengannya. Bukan apa, rakan sebegini berpotensi untuk menyebarkan rahsia dan masalah kamu pada orang lain.
Malah rakan sebegini bukanlah individu yang layak untuk dipercayai dan jujur dalam persahabatan!
Mempunyai Ego Yang Sangat Tinggi
Untuk pengetahuan kamu, rakan yang toksik mempunyai ego yang tinggi. Jika dia melakukan kesalahan, jangan haraplah untuk kamu mendengar permohonan maafnya.
Walaupun dia sedar akan kesilapannya, dia tidak akan mengaku silapnya dan tetap akan pertahankan apa yang dikatakanya. Jangan terkejut pula jika kamu yang terpaksa memohon maaf padanya.
Jadi itulah 5 tanda rakan toksik dalam persahabatan. Cuba check balik, ada tak rakan kamu macam ini?