Siapa di sini sering lakukan pemeriksaan payudara, tak kiralah di depan cermin atau ketika mandi? Pernah tak sambil kamu periksa, rasa seperti ada ketulan di sekitarnya?
Ketulan sel kanser payudara ke ni?
Jangan panik ye, kerana kebanyakan ketulan di payudara bukanlah sel kanser dan ianya tidak berbahaya. Tambah-tambah lagi pada wanita di bawah usia 40 tahun. Nak tahu apakah ketulan yang tak berbahaya itu? Jom baca perkongsian di bawah;
2 jenis ketulan payudara yang tak berbahaya
Berkongsi di Twitter, Doktor Ahmad Samhan mendedahkan ada 2 jenis ketulan yang tidak berbahaya. Antaranya adalah fibrocystic (fibroadenosis) dan fibroadenoma.
Tambahnya lagi hanya 1 dalam 10 ketulan payudara adalah kanser. Manakala 10 daripada 100 orang wanita berisiko mendapat kanser payudara.
#1 Fibrocystic (Fibroadenosis)
Untuk info kamu, fibrocystic ini merupakan ketulan abnormal yang tidak berbahaya walaupun ianya membuatkan payudara menjadi berketul dan terasa sakit.
Antara ciri-ciri lain fibrocystic adalah:
- Ketulan boleh terjadi dalam bentuk pepejal atau cyst yang mengandungi cecair.
- Terjadi pada wanita yang berusia di antara 30 tahun sehingga 60 tahun.
- Saiz ketulan boleh berubah-ubah, bergantung pada kitaran haid.
- Rasa sakit pada ketulan.
- Tidak mengalami perubahan warna kulit.
- Bentuk kantung bersaiz kecil.
#2 Fibroadenoma
Bagi fibroadenoma pula, ketulan ini terjadi disebabkan oleh perubahan hormon ketika remaja (pertama kali datang haid) dan wanita yang pra-menopaus. Ianya boleh hilang dengan sendiri dan tidak berisiko.
Ciri-ciri fibroadenoma:
- Bersaiz kecil di antara 2-3 cm dan boleh berubah mengikut kitaran haid.
- Kerap berlaku di kalangan wanita yang berumur 19 tahun sehingga 30 tahun.
- Berbentuk bulat atau bujur, dan tidak sakit.
- Tidak menyebabkan perubahan kulit pada payudara.
- Bersifat kenyal dan boleh berubah tempat.
- Dipengaruhi oleh hormon estrogen.
5 langkah mudah untuk lakukan pemeriksaan sendiri
Sekiranya kamu tidak pernah lakukan pemeriksaan payudara sendiri atau tidak tahu akan caranya, mari Wanista kongsikan di bawah:
Langkah 1: Berdiri di depan cermin. Luruskan bahu dan tangan di pinggang. Perhatikan saiz, bentuk dan warna payudara dalam keadaan normal.
Langkah 2: Angkat tangan ke atas dan perhatikan perubahan yang sama (saiz, bentuk dan warna payudara).
Langkah 3: Lihat jika ada cecair keluar dari puting payudara. Cecair itu boleh terjadi dalam bentuk air, cecair berwarna susu, kuning atau darah.
Langkah 4: Dalam posisi baring, letakkan sebelah tangan di belakang kepala. Raba dan tekan payudara dan sekitar ketiak untuk mencari bengkak atau ketulan. Lakukan dalam gerakan membulat.
Langkah 5: Sama seperti langkah 4, tukar posisi ke keadaan berdiri atau duduk.
Jangan malu dan malas untuk periksa payudara kamu secara berkala. Jika ada ketulan, bengkak atau kesakitan segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.